Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selepas serangan udara, Israel lancar operasi darat di Gaza

Mar 20, 2025 | 2:12 PM
Kereta-kereta kebal tentera Israel dilihat berada di sempadan selatan Israel dengan utara Jaluran Gaza pada 19 Mac 2025 - sehari selepas Israel melancarkan serangan udara yang membunuh lebih 400 orang di wilayah Palestin itu.
Kereta-kereta kebal tentera Israel dilihat berada di sempadan selatan Israel dengan utara Jaluran Gaza pada 19 Mac 2025 - sehari selepas Israel melancarkan serangan udara yang membunuh lebih 400 orang di wilayah Palestin itu. - Foto AFP

KAHIRAH: Israel berkata tenteranya telah melancarkan operasi darat di tengah dan selatan Jaluran Gaza, sementara serangan udara keduanya membunuh sekurang-kurangnya 48 rakyat Palestin.

Operasi melibatkan tentera darat itu berlaku pada 19 Mac, sehari selepas lebih 400 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel paling maut sejak permulaan konflik pada Oktober 2023.

Serangan tersebut sekali gus menghancurkan perjanjian gencatan senjata yang dilaksanakan sejak 19 Januari.

Tentera Israel berkata operasinya telah meluaskan kawalan Israel ke atas Koridor Netzarim, yang membelah Gaza, dan merupakan gerakan “berfokus” yang bertujuan mewujudkan zon penampan separa antara utara dan selatan wilayah Palestin itu.

Kumpulan Hamas yang mentadbir Gaza berkata operasi darat dan pencerobohan ke dalam Koridor Netzarim adalah “pelanggaran baru dan berbahaya” terhadap perjanjian gencatan senjata yang berusia dua bulan itu.

Dalam satu kenyataan, kumpulan Palestin itu mengesahkan komitmennya terhadap perjanjian itu dan menyeru perantara supaya “mengambil tanggungjawab mereka”.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata satu serangan membunuh seorang kakitangan asing dan mencederakan lima pekerja di tapak PBB di tengah Bandar Gaza pada 19 Mac.

Kementerian kesihatan Gaza berkata serangan itu dilakukan oleh tentera Israel, tetapi Israel menafikannya dengan menyatakan ia menyasarkan tapak Hamas selepas ia mengesan persiapan untuk menembak ke wilayah Israel.

Pengarah Eksekutif Pejabat PBB bagi Perkhidmatan Projek, Encik Jorge Moreira da Silva, berkata: “Israel tahu ini adalah sebuah premis PBB, bahawa ada orang tinggal dan bekerja di situ. Ia merupakan sebuah kawasan tertutup. Ia adalah sebuah tempat yang sangat di sangat dikenali.”

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, menggesa siasatan penuh dijalankan dan mengutuk semua serangan ke atas kakitangan PBB.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata serangan itu meningkatkan bilangan pekerja PBB yang terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023 kepada 280 orang.

Di Sofia, Kementerian Luar Bulgaria berkata seorang warganya yang bekerja untuk PBB meninggal dunia pada 19 Mac di Gaza.

Israel, yang telah berikrar akan menghapuskan Hamas, berkata serangan terbarunya di Gaza “hanya permulaan”.

Serangan Israel sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023 telah membunuh lebih 49,000 rakyat Palestin dan menyebabkan krisis kemanusiaan dengan kekurangan makanan, bahan api dan air di Gaza.

Perang tersebut dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas selatan Israel, yang membunuh sekitar 1,200 orang dan menjadikan lebih 240 orang sebagai tebusan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg