Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel luaskan serbuan ke utara Gaza

Oct 14, 2024 | 12:41 PM
Rakyat Palestin mengangkut barang mereka ketika melarikan diri dari kawasan utara Jaluran Gaza pada 12 Oktober.
Rakyat Palestin mengangkut barang mereka ketika melarikan diri dari kawasan utara Jaluran Gaza pada 12 Oktober. - Foto AFP

GAZA: Tentera Israel meluaskan serbuan mereka ke utara Gaza dan kereta kebal di utara Bandar Gaza, membedil beberapa daerah kejiranan Sheikh Radwan dan memaksa ramai keluarga meninggalkan rumah mereka.

Pada awal pagi 14 Oktober, serangan udara Israel membunuh tiga orang dan mencederakan 40 yang lain apabila ia memusnahkan beberapa khemah penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di dalam Hospital Al-Aqsa, tempat sekitar sejuta orang berlindung.

Gambar yang tersebar di media sosial, menunjukkan beberapa khemah terbakar dan sebilangan penduduk Palestin cuba memadamkan api, lapor Reuters.

Tentera Israel berkata ia menyerang kumpulan militan yang beroperasi dari pusat arahan di dalam kawasan itu, menuduh Hamas menggunakan kemudahan awam seperti hospital untuk tujuan ketenteraan, yang dinafikan Hamas.

Pejabat media Gaza berkata serangan Israel telah membunuh kira-kira 300 rakyat Palestin di sana.

Ia berkata pengeboman Israel ke atas rumah awam dan tempat perlindungan bertujuan memaksa penduduk meninggalkan Gaza untuk selama-lamanya namun, Israel menafikannya.

Pada 13 Oktober, serangan kereta kebal Israel membunuh sekurang-kurangnya 22 warga Palestin di sebuah sekolah yang melindungi keluarga pelarian di kem Nuseirat di tengah Jaluran Gaza.

Kira-kira 15 kanak-kanak dan wanita adalah antara yang terbunuh di sekolah itu dan 80 orang lain cedera.

Beberapa jam sebelum itu, serangan udara Israel membunuh lima kanak-kanak di kem pelarian The Shati di Bandar Gaza.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa dan media Hamas berkata kanak-kanak itu bermain berhampiran sebuah kafe apabila mereka terbunuh oleh peluru berpandu yang dilepaskan dari dron Israel.

“Apa yang berlaku di utara Gaza sangat menakutkan,” kata pemangku ketua bantuan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Joyce Msuya, dalam satu hantaran di wadah media sosial X.

“Serangan oleh tentera Israel semakin hebat. Hospital terpaksa memindahkan pesakit mereka. Bekalan penting kehabisan. Orang ramai dipindahkan secara paksa, terputus daripada bantuan, dibiarkan kelaparan. Kekejaman mesti berakhir,” tambahnya.

Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Kamala Harris, berkata:

“Israel mesti segera melakukan lebih banyak untuk memudahkan aliran bantuan.”

Beliau berkata demikian susulan laporan PBB yang mengatakan bahawa tiada makanan memasuki utara Gaza selama hampir dua minggu.

Walaupun serangan utama adalah di utara, Israel juga menyerang kawasan lain di seluruh Jaluran Gaza.

Kementerian kesihatan pada 13 Oktober melaporkan sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh setakat ini.

Selepas setahun serangan Israel yang membunuh 42,000 rakyat Palestin, ratusan ribu penduduk telah kembali ke kawasan utara yang musnah.

Israel menghantar semula tentera lebih seminggu lalu untuk menumpaskan anggota Hamas yang dikatakan sedang berkumpul semula untuk lebih banyak serangan.

Hamas menafikan anggotanya beroperasi dalam kalangan orang awam.

Pegawai Palestin dan PBB berkata tiada kawasan selamat di Gaza.

Mereka juga telah menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan makanan, bahan api dan bekalan perubatan di utara Gaza. Terdapat juga risiko kebuluran di sana. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg