KAHERAH: Serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di Jabalia pada 8 September membunuh timbalan pengarah Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza, Mohammad Morsi, dan empat keluarganya di kawasan utara Jaluran Gaza, kata pegawai kesihatan.
Perkhidmatan Kecemasan Awam berkata dalam satu kenyataan bahawa kematian Morsi meningkatkan jumlah kematian anggotanya kepada 83 orang akibat serangan Israel sejak 7 Oktober.
Pihak Israel belum memberi sebarang kenyataan berhubung kematian Morsi.
Penduduk tempatan berkata tentera Israel juga telah meletupkan beberapa rumah di Zeitoun di Gaza, sekitar 5 kilometer dari Jabalia.
Pasukan perubatan berkata mereka tidak dapat menjawab panggilan terdesak oleh penduduk yang dilaporkan terperangkap di dalam rumah mereka, dengan ada yang cedera.
“Kami mendengar pengeboman dilakukan secara berterusan di Zeitoun, kami tahu mereka meletupkan rumah di sana, kami tidak tidur kerana bunyi letupan, deruan kereta kebal dan dron yang tidak berhenti mengelilingi kawasan itu,” kata seorang penduduk Gaza, yang tinggal sekitar 1 kilometer dari Zeitoun.
Israel dan Hamas terus menyalahkan satu sama lain atas kegagalan pengantara termasuk Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat, untuk mencapai persetujuan gencatan senjata.
Amerika sedang bersiap untuk membentangkan cadangan baru, tetapi prospek kejayaan kelihatan malap kerana jurang antara kedudukan kedua-dua pihak kekal besar.
Sementara itu pada 8 September, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan tempatan, melanjutkan kempen vaksinasi polio bagi kanak-kanak di selatan Jaluran Gaza selama sehari sebelum bergerak ke arah utara pada 9 September.
Kempen itu bertujuan memberi vaksin kepada 640,000 kanak-kanak di Gaza selepas kes polio pertama dalam tempoh 25 tahun dikesan.
Pegawai PBB berkata mereka telah mencapai kemajuan, setelah berjaya memberikan lebih separuh daripada kanak-kanak yang memerlukan ubat itu dalam dua peringkat pertama di selatan dan tengah Jaluran Gaza.
Pusingan kedua vaksinasi akan diperlukan empat minggu selepas yang pertama.
Perang meletus apabila Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel telah membunuh lebih 40,500 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg