Israel lulus langkah baru kukuh kawalan Tebing Barat, perluas petempatan
Israel lulus langkah baru kukuh kawalan Tebing Barat, perluas petempatan
TEL AVIV: Kabinet Keselamatan Israel pada 8 Februari meluluskan satu siri langkah baru yang dijangka membawa perubahan besar terhadap kerangka undang-undang dan pentadbiran awam di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus memperkukuh kawalan Israel serta membuka laluan kepada peluasan petempatan Yahudi di wilayah Palestin itu.
Menurut laporan media Israel, keputusan berkenaan didorong oleh Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, dan Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, yang selama ini dikenali sebagai tokoh utama sayap kanan tegar dalam pemerintahan pimpinan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu.
Penyiar awam Israel, Kan, melaporkan antara keputusan utama adalah pemansuhan undang-undang era Jordan yang selama beberapa dekad menghalang penjualan tanah milik rakyat Palestin kepada warga Yahudi di Tebing Barat.
Kabinet turut meluluskan pembukaan rekod pemilikan tanah yang sebelum ini dirahsiakan serta pemindahan kuasa kelulusan permit pembinaan di blok petempatan di Hebron daripada pihak berkuasa perbandaran Palestin kepada Pentadbiran Awam Israel.
Akhbar, Yedioth Ahronoth, menyifatkan langkah itu sebagai perubahan menyeluruh terhadap mekanisme pendaftaran dan pembelian tanah di Tebing Barat, yang bakal memudahkan proses pengambilalihan tanah oleh pihak Israel dan mempercepat pengembangan petempatan Yahudi di wilayah berkenaan.
Menurut laporan tersebut, pembukaan rekod tanah akan mendedahkan nama pemilik secara terbuka, sekali gus membolehkan pembeli Israel menghubungi pemilik Palestin secara langsung.
“Langkah ini mengurangkan halangan birokrasi dan membuka ruang baharu kepada pembelian tanah berskala besar,” lapor akhbar itu.
Kabinet keselamatan turut memansuhkan keperluan mendapatkan “permit transaksi khas” bagi melengkapkan urus niaga tanah serta mengurangkan peranan pengawasan karyawan Pentadbiran Awam Israel.
Prosedur yang sebelum ini ketat kini dihadkan kepada keperluan asas pendaftaran sahaja, satu perubahan yang disifatkan sebagai sukar dipatahkan pada masa hadapan.
Keputusan itu turut memperluas penguatkuasaan Israel ke kawasan yang diklasifikasi sebagai Kawasan A dan Kawasan B, iaitu wilayah yang sepatutnya berada di bawah pentadbiran awam Palestin, dengan alasan pelanggaran pembinaan tanpa lesen, isu air serta kerosakan tapak arkeologi dan alam sekitar.
Ini bermakna pihak berkuasa Israel kini berupaya melaksanakan perobohan dan rampasan harta Palestin walaupun di kawasan yang secara rasmi ditadbir oleh Penguasa Palestin dari segi pentadbiran awam dan keselamatan.
Di Hebron, Yedioth Ahronoth melaporkan, sebahagian keputusan itu melibatkan pemindahan kuasa perancangan dan pembinaan di sekitar Masjid Ibrahimi serta tapak keagamaan lain daripada majlis perbandaran Hebron kepada badan perancangan Pentadbiran Awam Israel.
Langkah itu secara langsung bercanggah dengan pengaturan di bawah Protokol Hebron 1997 yang dimeterai antara Israel dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Mengulas keputusan itu, Enci Katz dipetik Kan sebagai berkata langkah berkenaan “mencerminkan dasar jelas untuk mengukuhkan kehadiran Israel di Judea dan Samaria”, menggunakan istilah Ibrani bagi Tebing Barat.
Encik Smotrich pula mendakwa tindakan tersebut bertujuan “menamatkan diskriminasi terhadap peneroka Yahudi”.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua menteri menegaskan langkah itu akan “menghapuskan halangan undang-undang, mewujudkan kepastian sivil, dan membolehkan peneroka tinggal, membina dan membangun setara dengan setiap warganegara Israel”.
Encik Smotrich secara terbuka menyatakan matlamat politik di sebalik langkah itu.
“Kami berhasrat memperdalam akar kami di seluruh wilayah Tanah Israel dan menguburkan idea penubuhan sebuah negara Palestin,” katanya.
Encik Katz pula menambah: “Judea dan Samaria adalah jantung negara ini, dan mengukuhkannya adalah kepentingan keselamatan, nasional dan Zionis yang utama.”
Pihak berkuasa Palestin di Ramallah mengecam keras keputusan tersebut, menyifatkannya sebagai usaha terbuka untuk menakluk Tebing Barat yang diduduki.
Menurut kenyataan rasmi, langkah itu “mencerminkan percubaan Israel untuk menghalalkan peluasan petempatan, rampasan tanah, dan perobohan harta rakyat Palestin, termasuk di kawasan yang berada di bawah kedaulatan Palestin”.
Data Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok Palestin menunjukkan Israel melaksanakan 538 perobohan sepanjang 2025, menjejas kira-kira 1,400 rumah dan struktur Palestin, peningkatan mendadak yang disifatkan sebagai paling tinggi dalam sejarah terkini.
Keputusan Kabinet keselamatan ini dibuat beberapa hari sebelum lawatan Encik Netanyahu ke Amerika Syarikat untuk bertemu Presiden Donald Trump, yang sebelum ini menyatakan penentangan terhadap pengilhakan rasmi Tebing Barat oleh Israel.
Ketika ini, tidak termasuk Baitulmakdis Timur yang didakwa sebagai sebahagian wilayah Israel, lebih 500,000 rakyat Israel tinggal di petempatan dan pos haram di Tebing Barat, yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.
Sekitar tiga juta rakyat Palestin pula terus hidup di wilayah yang sama, di tengah-tengah tekanan perobohan, rampasan tanah, dan peluasan petempatan yang berterusan. – Agensi berita.

