Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel perkenal peranti elektronik kawal pergerakan di Tebing Barat

Jan 6, 2026 | 12:46 PM
Israel, Palestine, Badwi, bedouins, settlement
Lelaki Badwi Palestin berkumpul dalam sebuah khemah yang menghadap sebuah pos penempatan peneroka sayap kanan Israel yang baru dibina di tengah masyarakat Badwi Ras Ein al-Auja, berhampiran bandar Jericho, di Tebing Barat Palestin yang diduduki Israel, pada 1 Januari. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Tentera Israel akan memperkenalkan sistem teknologi baru untuk menguatkuasakan sekatan pergerakan di Tebing Barat yang didudukinya untuk rakyat Israel dan Palestin.

Langkah itu dikatakan media Israel bertujuan untuk mengekang peningkatan keganasan peneroka.

Keputusan itu membenarkan pasukan keselamatan “memasang peranti pemantauan teknologi pada individu yang tertakluk kepada perintah pentadbiran yang menyekat pergerakan mereka di Tebing Barat,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan pada 5 Januari.

Sistem tersebut akan membolehkan pemantauan “pelanggaran perintah sekatan dengan sewajarnya,” tambahnya.

Langkah itu diambil selepas permintaan oleh ketua agensi keselamatan domestik Shin Bet, Encik David Zini, sebagai tindak balas kepada peningkatan keganasan oleh peneroka Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, lapor stesen penyiar Israel, Channel 12.

Peranti pemantauan yang digunakan ialah gelang elektronik, menurut penyiar Israel itu.

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan AFP, tentera berkata langkah itu akan dikenakan kepada rakyat Israel dan Palestin.

Israel telah menduduki wilayah Palestin sejak 1967 dan kini, lebih daripada 500,000 rakyat Israel tinggal di sana, bersama-sama dengan kira-kira tiga juta penduduk Palestin.

Tentera Israel berkata penyingkiran sebarang peranti pemantauan merupakan satu kesalahan dan prosiding jenayah boleh diambil terhadap mereka yang melanggarnya.

Honenu, sebuah organisasi bantuan guaman Israel yang membantu tahanan daripada komuniti peneroka sayap kanan, mengecam keputusan itu dan berkata ia akan mengemukakan rayuan.

Dalam satu catatan di X, ia memetik salah seorang peguamnya yang menyatakan bahawa ia adalah “langkah tidak demokratik yang mengingatkan tentang kelakuan rejim yang menindas”.

Perintah sekatan pentadbiran melarang suspek yang tinggal di Tebing Barat daripada pergi ke kawasan tertentu atau berkomunikasi dengan orang tertentu.

Langkah lebih tegas – dikenali sebagai penahanan pentadbiran – membenarkan pasukan keselamatan Israel menahan suspek Tebing Barat, kedua-dua rakyat Israel dan Palestin, sehingga enam bulan tanpa pertuduhan.

Setelah memegang jawatan pada November 2024, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, telah menghapuskan penggunaan langkah itu terhadap rakyat Israel, tetapi ia masih dikuatkuasakan terhadap rakyat Palestin.

Sejak bermulanya perang di Gaza susulan serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023, keganasan juga telah meningkat di Tebing Barat.

Walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas yang berkuat kuasa pada Oktober 2025, keganasan tersebut masih berterusan sehingga kini. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg