PBB: Lebih 900 rakyat Palestin diusir dari Tebing Barat sejak awal 2026
PBB: Lebih 900 rakyat Palestin diusir dari Tebing Barat sejak awal 2026
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa tahap pemindahan paksa di Tebing Barat kekal tinggi, dengan lebih 900 rakyat Palestin diusir dari rumah dan komuniti mereka sejak awal 2026, susulan peningkatan keganasan peneroka Israel dan perobohan kediaman.
Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata pada 6 Februari bahawa data itu diperoleh daripada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA). “Sejak awal 2026, tahap pemindahan paksa kekal tinggi. Lebih 900 rakyat Palestin telah dipaksa meninggalkan rumah dan komuniti mereka, kebanyakannya akibat keganasan peneroka serta sekatan akses yang diikuti dengan perobohan,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau menambah bahawa hanya dalam tempoh dua minggu, dari 20 Januari hingga 2 Februari lalu, OCHA merekodkan lebih 50 serangan oleh peneroka Israel yang mengakibatkan kecederaan, kerosakan harta benda, atau kedua-duanya sekali.
“OCHA kini sedang menjalankan penilaian awal terhadap kerosakan dan keperluan susulan insiden-insiden ini bagi memaklumkan respons kemanusiaan oleh kami dan rakan-rakan kami,” kata Encik Dujarric.
Menurut PBB, keganasan peneroka kini menjadi faktor utama yang mendorong pemindahan paksa di Tebing Barat. Pada Januari sahaja, hampir 700 rakyat Palestin diusir, menjadikannya kadar tertinggi sejak perang di Gaza tercetus pada Oktober 2023.
Data OCHA menunjukkan sekurang-kurangnya 694 rakyat Palestin dipaksa meninggalkan kediaman mereka bulan Januari lalu. Angka ini meningkat ketara susulan pemindahan keseluruhan satu komuniti penternak Badwi di Ras Ein al-Auja, Lembah Jordan, di mana 130 keluarga meninggalkan kawasan tersebut selepas berbulan-bulan berdepan gangguan dan ancaman berterusan.
“Apa yang berlaku hari ini adalah runtuhnya seluruh komuniti akibat serangan peneroka yang berterusan, siang dan malam, sejak dua tahun lalu,” kata seorang penduduk Badwi, Encik Farhan Jahaleen, kepada AFP sebelum ini.
Satu laporan pada 2025 oleh pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Israel, Peace Now, menyatakan bahawa peneroka menggunakan aktiviti penternakan untuk mewujudkan kehadiran mereka di tanah pertanian yang digunakan oleh komuniti Palestin, sebelum secara berperingkat menafikan akses penduduk Palestin ke kawasan tersebut.
Bagi memaksa rakyat Palestin keluar, peneroka didakwa menggunakan gangguan, ugutan dan keganasan, “dengan sokongan pemerintah dan tentera Israel,” menurut laporan pertubuhan pemantau penempatan itu.
Pengarah Konsortium Perlindungan Tebing Barat, Cik Allegra Pacheco, berkata peneroka bertindak seolah-olah bebas daripada sebarang pertanggungjawaban berikutan ketiadaan tekanan antarabangsa yang berkesan terhadap pihak berkuasa Israel. “Tiada siapa benar-benar menekan Israel atau pihak berkuasa Israel untuk menghentikan perkara ini,” katanya. “Peneroka merasakan mereka mempunyai kekebalan sepenuhnya untuk terus melakukan keganasan.”
Beliau turut menyifatkan kurangnya perhatian antarabangsa terhadap situasi di Tebing Barat sebagai faktor utama yang memburukkan keadaan. “Semua mata tertumpu kepada Gaza apabila bercakap tentang Palestin, sedangkan kita sedang menyaksikan pembersihan etnik yang berterusan di Tebing Barat dan hampir tiada siapa memberi perhatian,” katanya.
Selain keganasan peneroka, perobohan rumah oleh tentera Israel turut menyumbang kepada pemindahan paksa. Pada Januari, seramai 182 lagi rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal selepas struktur dan kediaman mereka dimusnahkan atas alasan dibina tanpa permit.
Dalam pada itu, Encik Dujarric turut menekankan keadaan kemanusiaan yang kritikal di Jaluran Gaza, dengan laporan kematian dan kecederaan yang berterusan. Menurut beliau, pihak berkuasa kesihatan melaporkan puluhan kematian dan kecederaan dalam tempoh 24 jam lalu, selain ramai mangsa yang masih tidak dapat diakses oleh pasukan kecemasan.
“Semua pihak mesti memenuhi tanggungjawab mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam,” tegasnya.
Encik Dujarric turut memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bersama rakan pelaksana kemanusiaan yang berkaitan, telah menyokong pemindahan perubatan sekurang-kurangnya lapan pesakit dan 17 pengiring dari Gaza ke Mesir melalui lintasan Rafah, selain pemindahan terdahulu yang melibatkan tujuh pesakit dan 14 pengiring.
Beliau menegaskan lebih 18,500 pesakit di Gaza masih memerlukan rawatan khusus yang tidak tersedia secara tempatan, sambil mengulangi gesaan agar laluan rujukan ke Tebing Barat, termasuk Baitulmakdis Timur, dibuka semula.
Tebing Barat kini didiami lebih 500,000 warga Israel di penempatan dan pos yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa, manakala kira-kira tiga juta rakyat Palestin tinggal di wilayah tersebut. - Agensi berita

