Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael lulus projek 450 rumah penempatan baharu di Baitulmakdis Timur
Israel lulus projek 450 rumah penempatan baharu di Baitulmakdis Timur
Israel lulus projek 450 rumah penempatan baharu di Baitulmakdis Timur
BAITULMAKDIS: Pihak berkuasa Israel meluluskan rancangan membina kira-kira 450 unit rumah penempatan baharu di kawasan kejiranan Palestin di Umm Lison, Baitulmakdis Timur yang diduduki, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa projek itu akan mengubah komposisi penduduk serta meningkatkan ketegangan di kawasan berkenaan.
Kumpulan hak asasi Israel, Ir Amim, berkata Jawatankuasa Perancangan dan Pembinaan Daerah Baitulmaqdis meluluskan projek berkenaan selepas ia tertangguh lebih dua tahun akibat isu berkaitan pembangunan prasarana.
Menurut Ir Amim, kelulusan itu membuka laluan kepada pembinaan antara projek penempatan Israel terbesar yang pernah dirancang di tengah-tengah kawasan penempatan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur.
Umm Lison terletak di antara kawasan Jabal al-Mukabber dan Sur Baher serta kini mempunyai kira-kira 800 unit kediaman milik penduduk Palestin.
Bagaimanapun, pelan baharu itu mencadangkan pembinaan bangunan setinggi 10 tingkat yang mengandungi sekitar 450 unit rumah penempatan Israel.
Ir Amim berkata projek itu dijangka menempatkan hampir 2,000 penduduk Israel di tengah-tengah komuniti Palestin sedia ada.
“Projek ini akan mengubah secara ketara landskap bandar dan komposisi demografi Umm Lison melalui pembinaan ratusan unit penempatan baharu di kawasan penempatan penduduk Palestin,” menurut kenyataan pertubuhan itu.
Ir Amim menyifatkan projek berkenaan sebagai yang terbesar seumpamanya di kawasan kejiranan Palestin di Baitulmakdis Timur yang diduduki.
Sebagai perbandingan, kawasan penempatan Maale Zeitim di Ras al-Amud hanya mempunyai kira-kira 120 unit kediaman.
Pertubuhan itu turut memberi amaran bahawa kehadiran ribuan penduduk Israel di kawasan berkenaan berpotensi meningkatkan pergeseran dengan penduduk Palestin serta menjejaskan kestabilan keselamatan.
“Projek ini bukan sekadar pelan pembangunan biasa, sebaliknya mencerminkan keputusan politik yang jelas untuk mempercepatkan peluasan penempatan Israel di Baitulmakdis Timur,” katanya.
Ir Amim turut menuduh Majlis Perbandaran Baitulmakdis lebih mengutamakan kepentingan penduduk haram Israel berbanding hak penduduk Palestin di bandar itu.
Menurut pertubuhan berkenaan, pelan pembangunan bernombor 1049873 itu dikemukakan pada 2022 oleh syarikat Topodia.
Namun, proses kelulusannya tertangguh selepas Jawatankuasa Perancangan mengarahkan jalan menuju ke tapak projek diperbesarkan.
Ir Amim berkata kelewatan itu berlaku kerana pemaju swasta tidak mempunyai kuasa untuk mengemukakan pelan pembesaran jalan awam yang bukan milik mereka.
Keadaan berubah selepas Majlis Perbandaran Baitulmakdis mengambil alih pelan berkenaan dan memasukkan cadangan pembesaran jalan ke dalam projek sama, sekali gus membolehkan proses kelulusan diteruskan.
Pertubuhan itu menyifatkan campur tangan pihak berkuasa tempatan sebagai bukti komitmen politik Israel untuk menghidupkan semula projek yang sebelum ini tergendala.
“Penglibatan majlis perbandaran dalam menggerakkan semula projek ini menunjukkan keputusan politik yang jelas untuk melaksanakan antara projek penempatan paling besar dan berpengaruh di Baitulmakdis Timur dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa semua penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.
PBB turut memberi amaran bahawa peluasan penempatan berterusan akan menjejaskan prospek penyelesaian dua negara yang selama ini dianggap jalan terbaik untuk menamatkan konflik Israel-Palestin.
Sementara itu, rakyat Palestin terus menegaskan bahawa Baitulmakdis Timur yang diduduki mesti menjadi ibu negara negara Palestin pada masa depan, selaras dengan resolusi antarabangsa yang tidak mengiktiraf pendudukan Israel pada 1967 mahupun pengilhakan bandar itu pada 1980.
Kelulusan projek terbaharu itu dijangka menambah ketegangan di Baitulmaqdis Timur ketika masyarakat antarabangsa terus menggesa Israel menghentikan pembinaan penempatan baharu di wilayah Palestin yang diduduki. - Agensi berita
