TEL AVIV: Parlimen Israel meluluskan undang-undang baharu yang membuka laluan kepada perbicaraan ketenteraan terhadap ratusan rakyat Palestin yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Undang-undang itu diluluskan pada 11 Mei dengan sokongan besar daripada pemerintah dan pembangkang, apabila 93 daripada 120 ahli parlimen menyokong rang undang-undang tersebut tanpa sebarang bantahan.

Langkah itu dijangka menjadi antara proses perundangan paling besar dalam sejarah moden Israel, hampir tiga tahun selepas serangan yang dianggap paling berdarah dalam sejarah negara itu.

Pihak pendakwa raya Israel masih belum memuktamadkan pertuduhan terhadap tahanan terbabit dan sebahagian siasatan masih diteruskan, menurut dua pegawai kanan penguat kuasa Israel yang enggan dinamakan kerana kes itu masih berjalan.

Seorang pegawai berkata perbicaraan mungkin hanya bermula dalam tempoh setahun lagi.

Ahli parlimen pembangkang dan penulis bersama rang undang-undang itu, Cik Yulia Malinovsky, berkata sekurang-kurangnya 350 tahanan dijangka berdepan pertuduhan. “Ini lebih daripada sekadar undang-undang biasa. Ini adalah soal keadilan, warisan, memori dan sejarah,” katanya.

Menurut laporan media Israel, sebahagian suspek mungkin didakwa atas kesalahan genosid yang membawa hukuman mati di Israel.

Namun, langkah itu turut menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia dan beberapa ahli politik yang mendakwa undang-undang baharu tersebut boleh menjejaskan hak perbicaraan adil bagi tahanan Palestin.

Ahli parlimen pembangkang, Encik Ofer Cassif, berkata sistem kehakiman tidak sepatutnya dipandu oleh unsur balas dendam. “Adalah tidak masuk akal jika mahkamah dipengaruhi perasaan dendam ketika menentukan keputusan terhadap pesalah. Namun malangnya, itulah yang cuba dilakukan undang-undang ini,” katanya sebelum undian dijalankan.

Dalam serangan 7 Oktober 2023, ribuan anggota Palestin dari Gaza menyerbu selatan Israel dan membunuh kira-kira 1,200 orang menurut pihak berkuasa Israel. Mereka juga membawa kira-kira 250 tebusan ke Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyatakan serangan tersebut membabitkan kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Ahli parlimen Israel sering membandingkan perbicaraan akan datang itu dengan perbicaraan Adolf Eichmann pada 1961, pegawai kanan Nazi yang dihukum gantung selepas didapati bersalah atas jenayah Holocaust.

Serangan 7 Oktober kemudian mencetuskan perang besar di Gaza yang sudah berlanjutan hampir dua tahun. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 70,000 rakyat Palestin terbunuh sepanjang perang itu akibat serangan Israel.

Israel pula mendakwa sudah membunuh kebanyakan dalang utama serangan termasuk pemimpin tertinggi Hamas di Gaza, namun masih tidak jelas sama ada pemimpin kanan Hamas termasuk dalam kalangan tahanan yang bakal dibicarakan.

Di bawah undang-undang baharu itu, sebuah mahkamah tentera khas akan dihidupkan semula untuk mengendalikan kes terbabit dengan panel tiga hakim di Baitulmakdis. Sebahagian proses perbicaraan juga dijangka disiarkan secara langsung.

Langkah itu dijangka mendedahkan identiti tahanan serta dakwaan terhadap mereka buat pertama kali kepada umum.

Pemerintah Israel berkata undang-undang khas diperlukan kerana skala dan kerumitan serangan 7 Oktober dianggap luar biasa dan tidak dapat dikendalikan melalui sistem mahkamah biasa. Pihak berkuasa kehakiman turut menjelaskan kelewatan pendakwaan berpunca daripada siasatan yang rumit dan berterusan.

Ramai saksi berpotensi dilaporkan terbunuh dalam serangan itu, selain pihak penyiasat terpaksa memeriksa ratusan kenderaan terbakar dan rumah yang dipenuhi kesan tembakan.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia mendakwa undang-undang baharu itu mewujudkan sistem kehakiman berasingan yang boleh melemahkan hak asas tahanan Palestin.

Pengarah Jawatankuasa Awam Menentang Penyeksaan di Israel, Cik Sari Bashi, berkata tertuduh perlu diberi peluang membela diri secara adil. “Jika mahu perbicaraan sebenar, anda perlu memberi mereka peluang mempertahankan diri,” katanya.

“Apabila seluruh kekuatan negara tertumpu untuk membuktikan seseorang bersalah, keadaan itu akan menjadi tidak adil kepada tertuduh dan juga tidak memuaskan hati mangsa,” tambahnya.

Menurut undang-undang itu, tertuduh hanya perlu hadir secara fizikal dalam beberapa prosiding tertentu.
Mereka dibenarkan mendapatkan peguam, namun peguam bela awam tidak dibenarkan mewakili mereka.
Mahkamah juga diberi kuasa mengetepikan beberapa peraturan biasa berkaitan bukti dan prosedur jenayah.

Peguam kumpulan hak Palestin Adalah, Cik Muna Haddad, berkata undang-undang itu menghapuskan perlindungan minimum yang masih dimiliki tahanan Palestin dalam sistem perundangan Israel. Beliau mendakwa sebahagian tahanan ditahan dalam keadaan yang digambarkan peguam mereka sebagai menyerupai penyeksaan.

“Ini meningkatkan kebimbangan bahawa sabitan boleh dibuat berdasarkan pengakuan yang diperoleh di bawah tekanan,” katanya.

Sepanjang perang berlangsung, lebih 6,000 penduduk Gaza ditahan Israel di bawah undang-undang khas berkaitan tahanan musuh ketika perang.

Walaupun Israel bersetuju membebaskan sebahagian besar tahanan yang tidak dikaitkan dengan serangan 7 Oktober, kira-kira 1,200 rakyat Gaza masih ditahan menurut kumpulan hak Israel, HaMoked.

Bagi sebahagian keluarga mangsa serangan 7 Oktober, isu utama bukan sekadar menghukum pelaku, tetapi memastikan kegagalan keselamatan Israel turut disiasat.

Cik Hila Abir, yang kehilangan adiknya Cik Lotan dalam serangan di festival muzik Nova, berkata tumpuan sebenar sepatutnya untuk mengelakkan tragedi serupa berulang. “Matlamat sebenar bukan untuk menggantung sesiapa di dataran awam. Matlamat sebenar ialah mengelakkan bencana seterusnya,” katanya. - Agensi berita