Perkhidmatan konsular AS di Tebing Barat cetus kecaman meluas Palestin, negara Arab
Perkhidmatan konsular AS di Tebing Barat cetus kecaman meluas Palestin, negara Arab
RAMALLAH: Penguasa Palestin (PA), Hamas serta sekumpulan negara Arab mengecam pengumuman Amerika Syarikat untuk menawarkan perkhidmatan konsular di sebuah petempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, dengan menyifatkannya sebagai langkah yang mengukuhkan penguasaan Israel ke atas wilayah Palestin.
Kedutaan Amerika di Baitulmakdis pada 24 Februari mengumumkan ia akan menyediakan perkhidmatan pasport kepada warganegara Amerika di petempatan Efrat, yang terletak antara Baitulaham dengan Hebron, dalam satu acara sehari pada 27 Februari ini.
Kedutaan memaklumkan program itu sebahagian daripada inisiatif “Freedom 250” untuk mendekati semua rakyat Amerika di rantau berkenaan.
Namun, langkah itu segera mencetuskan bantahan keras.
Sekumpulan negara Arab dan Islam pada 25 Februari mengutuk kenyataan Duta Amerika ke Israel, Encik Mike Huckabee, sebagai “berbahaya dan menghasut”, sambil menegaskan ia merupakan “pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa”.
Kementerian Luar Palestin menyatakan kenyataan serta langkah Washington itu bercanggah dengan fakta sejarah, agama dan undang-undang antarabangsa, malah bertentangan dengan pendirian Presiden Amerika Donald Trump sendiri yang sebelum ini menolak pengilhakan Tebing Barat.
Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok (CWRC) di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) turut mengecam keputusan itu.
“Keputusan ini merupakan pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa dan secara terang memihak kepada pihak penjajah,” menurut kenyataan suruhanjaya tersebut.
Ketua CWRC Encik Mu’ayyad Sha’ban menegaskan semua petempatan Israel adalah haram di bawah Konvensyen Geneva Keempat.
Beliau berkata peluasan perkhidmatan diplomatik ke petempatan haram itu bercanggah dengan prinsip asas undang-undang antarabangsa yang melarang mana-mana negara daripada mengiktiraf atau memberi sebarang bentuk pengesahan terhadap situasi yang terhasil daripada pelanggaran undang-undang.
Menurutnya, tindakan tersebut seolah-olah memberikan legitimasi rasmi dan praktikal kepada pendudukan yang tidak sah.
Dalam kenyataan pada 25 Februari, Hamas menyifatkan langkah itu sebagai “berbahaya” dan secara praktikal memberi pengiktirafan kepada petempatan haram serta penguasaan Israel ke atas Tebing Barat.
Ramai pemerhati Palestin dan Israel daripada pelbagai spektrum politik melihat langkah itu sebagai usaha mengesahkan petempatan Israel yang dianggap haram oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa.
Mantan jurucakap rundingan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Encik Xavier Abu Eid, berkata tindakan tersebut menunjukkan percanggahan dasar Washington.
“Lima bulan selepas Presiden Trump menyatakan beliau menentang pengilhakan, wakilnya di lapangan menyediakan perkhidmatan dalam petempatan Israel, seolah-olah seluruh wilayah dianggap sebahagian Israel. Pengilhakan dinormalisasi sedikit demi sedikit,” katanya.
Israel sebaliknya menyambut baik keputusan itu.
Kementerian Luar Israel menyifatkannya sebagai “keputusan bersejarah” dan mengucapkan terima kasih kepada Washington kerana “menjadikan hubungan Israel-Amerika lebih rapat dan kukuh berbanding sebelum ini”.
Pengumuman tersebut dilakukan ketika Israel terus memperluas petempatan di Tebing Barat.
Pada 23 Februari, menteri luar dari 19 negara termasuk Qatar, Turkey, Perancis, Brazil, Mesir dan Arab Saudi menuduh pemerintahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu melakukan “pengilhakan de facto” tanah Palestin.
Ia susulan rancangan Israel mendaftarkan tanah di Kawasan C Tebing Barat – wilayah yang berada di bawah kawalan penuh Israel dan merangkumi 60 peratus kawasan tersebut serta mengisytiharkannya sebagai tanah negara jika pemilik Palestin gagal membuktikan hak milik.
Para menteri menyatakan tindakan itu “mengklasifikasi semula tanah Palestin sebagai tanah negara Israel, mempercepat aktiviti petempatan haram dan mengukuhkan pentadbiran Israel”.
Kini kira-kira 465,000 peneroka Israel tinggal di tanah Palestin, ramai daripadanya memiliki kewarganegaraan dwi Amerika-Israel.
Petempatan Efrat sendiri mempunyai sejumlah penduduk warga Amerika.
Langkah terbaru Washington dilihat menyimpang daripada dasar tradisional Amerika yang selama beberapa dekad menganggap petempatan Israel sebagai halangan keamanan.
Ketika pentadbiran pertama Trump, Setiausaha Negara ketika itu Encik Mike Pompeo pernah menyatakan petempatan tidak bercanggah dengan undang-undang antarabangsa – satu perubahan drastik dasar luar Amerika.
Walaupun Encik Trump berulang kali berkata beliau tidak akan membenarkan Israel mengilhak Tebing Barat, pemerintah Israel terus mempercepat pembinaan petempatan dan memperketat kawalan ke atas wilayah itu.
Rumah Putih setakat ini tidak memberi reaksi rasmi terhadap kritikan berkenaan.
Bagi Palestin, tindakan menyediakan perkhidmatan konsular di petempatan bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya simbol politik.
Seorang pegawai Palestin berkata: “Apa yang berlaku di lapangan sering lebih kuat daripada kenyataan diplomatik dan realitinya, langkah ini mengukuhkan penguasaan Israel.” – Agensi berita.

