Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel mahu Gaza yang aman, belum pasti biaya pembinaan semula

Jan 23, 2025 | 11:36 AM
Sehingga 1 Disember 2024, hampir 69 peratus atau 170,812 bangunan di Gaza telah musnah atau rosak akibat pengeboman Israel sejak perang 15 bulan.
Sehingga 1 Disember 2024, hampir 69 peratus atau 170,812 bangunan di Gaza telah musnah atau rosak akibat pengeboman Israel sejak perang 15 bulan. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Menteri ekonomi Israel berkata bahawa negaranya mahukan Gaza yang aman tetapi belum memutuskan sama ada akan membantu membiayai pembinaan semula wilayah yang telah musnah.

Encik Nir Barkat juga berkata Israel tidak akan membenarkan pembinaan semula pemerintahan Hamas yang katanya boleh membawa kepada satu lagi serangan rentas sempadan.

Gencatan senjata antara Israel dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari, dengan tumpuan kini beralih sebahagiannya kepada cara untuk membawa keamanan kekal selepas 15 bulan perang yang telah memporak-perandakan Jaluran Gaza dan meningkatkan ketegangan di Timur Tengah.

Encik Barkat menyatakan demikian dalam satu temu bual semasa mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland pada 22 Januari.

Menurutnya, pembinaan semula Gaza tidak mungkin dapat dilakukan melainkan Hamas mahukan keamanan yang berkekalan dengan Israel.

“Persoalan utama ialah apakah mereka mahu membina Gaza seperti Dubai atau membina semula Gaza seperti sebelum ini?” tanya Encik Barkat, merujuk kepada bandar Amiriah Arab Bersatu (UAE), hab perdagangan global, dan Gaza di bawah pemerintahan Hamas sejak 2007.

“Dubai mengiktiraf negara Israel, mereka memberi tumpuan kepada membangunkan ekonomi secara bersama, kami ingin melihat Dubai di rantau kami, bukan Gaza,” kata Encik Barkat, mantan datuk bandar Baitulmakdis.

Israel melancarkan serangannya ke atas Gaza selepas anggota Hamas menyerbu merentasi sempadan pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Lebih 46,000 orang telah terbunuh di Gaza sejak itu, menurut pegawai kesihatan Palestin.

Sebahagian besar wilayah pantai Palestin itu telah musnah dan kebanyakan 2.3 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal.

Sehingga 1 Disember 2024, hampir 69 peratus atau 170,812 bangunan di Gaza telah musnah atau rosak akibat pengeboman Israel, menurut imej satelit yang dianalisis oleh Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unosat).

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International pula berkata lebih 90 peratus bangunan di sepanjang 58 kilometer persegi wilayah sempadan Gaza dengan Israel telah “musnah atau rosak teruk” antara Oktober 2023 dengan Mei 2024. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg