Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel musnahkan aset ketenteraan Syria

Dec 11, 2024 | 10:56 AM
Pandangan dari udara ini menunjukkan kesan serangan semalaman yang dikaitkan dengan Israel ke atas pusat penyelidikan saintifik Barzeh yang mempunyai pertalian dengan kementerian pertahanan Syria di utara Damsyik pada 10 Disember.
Pandangan dari udara ini menunjukkan kesan serangan semalaman yang dikaitkan dengan Israel ke atas pusat penyelidikan saintifik Barzeh yang mempunyai pertalian dengan kementerian pertahanan Syria di utara Damsyik pada 10 Disember. - Foto AFP

TEL AVIV: Perubahan rejim di Syria telah mencetuskan tindak balas ketenteraan besar-besaran dari Israel.

Sejak 8 Disember, Israel melancarkan lebih 350 serangan udara ke atas aset ketenteraan di Syria, termasuk memusnahkan kapal perang, jet pejuang, dron, kereta kebal, sistem pertahanan udara dan kemudahan pembuatan senjata.

Menurut Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, tindakan itu bertujuan melindungi keselamatan Israel daripada ancaman golongan pelampau.

“Kami tidak berhasrat mencampuri urusan dalaman Syria, tetapi kami akan melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan kami,” kata Encik Netanyahu dalam sidang media pada 10 Disember.

Serangan udara itu berlaku selepas pemberontak berjaya menumbangkan rejim Bashar al-Assad, yang selama ini berkuasa di Syria.

Kumpulan pemberontak yang memimpin peralihan itu pernah dikaitkan dengan Al-Qaeda dan masih disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel mengambil tindakan segera untuk memastikan aset ketenteraan Syria tidak jatuh ke tangan kumpulan pelampau.

Menurut laporan tentera Israel, “serangan ini bertujuan melemahkan kemampuan ketenteraan Syria bagi memastikan mana-mana rejim baru tidak memiliki kuasa ketenteraan yang besar”.

Selain serangan udara, Israel turut melancarkan operasi darat buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun dengan memasuki zon penampan di Bukit Golan, kawasan yang diawasi oleh PBB sejak Perang Timur Tengah pada 1973.

Zon itu terletak berdekatan wilayah Syria yang masih dikuasai.

“Kami bertindak untuk mencegah pengumpulan militan di kawasan selatan Syria, sama seperti yang berlaku di Gaza dan Lebanon,” kata Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz.

Langkah itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Jurucakap PBB, Encik Stéphane Dujarric, menyatakan kehadiran tentera Israel di zon tersebut melanggar perjanjian 1974.

“Tidak sepatutnya ada kegiatan ketenteraan di kawasan ini,” tegasnya.

PBB dan beberapa negara termasuk Mesir mengecam tindakan Israel.

Pegawai Mesir menyifatkan langkah itu sebagai “melanggar undang-undang antarabangsa dan mengeksploitasi ketidakstabilan Syria untuk menambah wilayah”.

Utusan Khas PBB untuk Syria, Encik Geir Pedersen, turut memberi amaran bahawa serangan itu boleh menggagalkan usaha peralihan kuasa yang lancar di Syria.

“Sangat penting untuk semua pihak menghentikan tindakan yang merosakkan peluang transformasi di Syria,” katanya.

Serangan Israel juga memberi tamparan besar kepada prasarana Syria yang digunakan Iran untuk menghantar senjata ke Hezbollah di Lebanon.

Encik Netanyahu memberi amaran kepada kepimpinan baru Syria agar tidak membenarkan Iran kembali menggunakan wilayah mereka untuk tujuan ketenteraan.

“Jika rejim baru membenarkan Iran bertapak semula atau menyalurkan senjata kepada Hezbollah, kami akan bertindak balas dengan kekuatan penuh,” tegas Encik Netanyahu.

Penganalisis ketenteraan, Encik Miri Eisin, menyatakan bahawa Israel mengambil kesempatan daripada kekosongan kuasa di Syria.

“Israel sedang memanfaatkan peluang ini untuk melumpuhkan keupayaan ketenteraan Syria tanpa risiko perang besar-besaran dengan Iran dan Hezbollah,” katanya.

Walaupun Israel menyatakan tindakannya bersifat defensif, langkah itu menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan usaha perluasan wilayah lebih jauh.

Pegawai tentera Israel, Encik Nadav Shoshani, menafikan spekulasi tersebut dengan menegaskan bahawa “Israel tidak berhasrat menuju ke Damsyik, dan hanya bertindak untuk melindungi sempadan”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg