DAMSYIK: Tentera Darat Israel telah melintasi zon bebas tentera di sempadan Israel-Syria hujung, menandakan pencerobohan terang-terangan pertama ke wilayah Syria sejak Perang Oktober 1973, menurut dua pegawai Israel yang enggan dikenali.
Penempatan Israel dilakukan di tengah-tengah kejayaan kumpulan pemberontak menghalau, Presiden Bashar al-Assad, daripada kuasa dan keluar dari negara itu, mendorong negara-negara jiran untuk bersiap sedia untuk lebih banyak ketidakstabilan serantau.
Tentera Israel menguasai puncak gunung Gunung Hermon di sebelah sempadan Syria, serta beberapa lokasi lain yang dianggap penting untuk menstabilkan kawalan kawasan itu.
Leftenan-Jeneral Herzi Halevi, ketua staf tentera Israel, mengesahkan pada malam 7 Disember bahawa tentera Israel telah melangkaui zon penampan bebas tentera di Bukit Golan, dengan menyatakan Israel telah “mengerahkan tentera ke wilayah Syria”.
Israel telah beroperasi secara diam-diam di Syria selama bertahun-tahun di tengah-tengah konflik semasa dengan Hezbollah di Lebanon yang disokong Iran dan telah berperang di Syria untuk menyokong pemerintah Encik al-Assad yang kini digulingkan.
Baru-baru ini, tentera Israel lebih jelas dalam serangannya ke atas kawasan di Syria dengan alasan menyasarkan talian bekalan Hezbollah.
Penempatan tentera darat di luar zon tentera di Syria menandakan perubahan ketara dalam kemasukan pertama secara terang-terangan tentera Israel ke wilayah Syria sejak perjanjian gencatan senjata 1974 yang secara rasmi menamatkan perang terakhir antara Israel dengan Syria.
Tentera Udara Israel pada hujung minggu juga menyerang sasaran di Syria untuk memusnahkan aset tentera pemerintah yang boleh jatuh ke tangan pasukan pemberontak dan dianggap sebagai ancaman strategik oleh Israel, kata dua pegawai itu.
Sasaran Israel itu termasuk simpanan kecil senjata kimia, terutama gas mustard dan gas VX, yang kekal dalam pemilikan Syria di sebalik perjanjian sebelum ini untuk melucutkan senjata tersebut, tambah pegawai itu.
Tentera Israel juga menyasarkan pasukan yang dilengkapi radar dan kenderaan peluru berpandu pertahanan udara buatan Russia, serta simpanan peluru berpandu Scud, menurut dua pegawai itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg