Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael nafi beri lampu hijau kepada pasukan pengaman masuk Gaza
Pembinaan semula tidak akan dibenarkan selagi Hamas belum lucut senjata sepenuhnya
TEL AVIV: Pejabat Perdana Menteri Israel menafikan laporan bahawa kepimpinan politik negara itu telah meluluskan kemasukan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) ke Jaluran Gaza, sambil menegaskan pembinaan semula wilayah Palestin itu tidak akan dibenarkan selagi Hamas belum melucutkan senjata sepenuhnya.
Kenyataan itu dikeluarkan pada lewat 20 Ogos susulan laporan media Israel yang mendakwa persiapan sedang dibuat bagi penempatan pasukan antarabangsa di Gaza sebagai sebahagian daripada rancangan pascaperang Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
“Bertentangan dengan laporan media, kepimpinan politik belum meluluskan kemasukan pasukan antarabangsa ke Jaluran Gaza,” menurut Pejabat Perdana Menteri Israel.
“Israel telah menjelaskan bahawa tidak akan ada sebarang pembinaan semula di Jaluran Gaza sebelum Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya,” tambah kenyataan itu.
Penjelasan tersebut dibuat selepas rakaman yang disiarkan media Israel awal minggu ini menunjukkan beberapa pegawai tentera asing meninjau kawasan Rafah bersama anggota tentera Israel.
Beberapa laporan media menyifatkan lawatan itu sebagai petanda awal penempatan anggota ISF di Gaza.
Bagaimanapun, seorang pegawai yang mengetahui perkara itu memberitahu The Times of Israel bahawa rakaman tersebut sebenarnya menunjukkan “tinjauan tapak sebelum penempatan” oleh pegawai kanan tentera dari Burundi dan Uganda.
Lawatan itu dibuat ketika perbincangan awal berlangsung dengan Israel mengenai kemungkinan kedua-dua negara menyertai ISF.
Uganda dilaporkan telah meluluskan penghantaran tenteranya ke Gaza sebagai sebahagian daripada pasukan tersebut.
Pegawai Israel sebelum ini berkata Kabinet Keselamatan Israel telah meluluskan beberapa langkah undang-undang yang membolehkan kemasukan ISF secara terhad di bawah rancangan Gaza yang dipimpin Lembaga Keamanan.
Pada peringkat awal, pasukan itu dijangka melibatkan sekitar 200 anggota tentera dari negara yang dianggap “mesra” Israel.
Di bawah rancangan tersebut, ISF akan ditempatkan di kawasan tertentu di Gaza selepas tentera Israel berundur dan turut membantu dalam usaha keselamatan serta operasi kemanusiaan.
Amerika Syarikat juga dilaporkan sedang menyediakan lebih AS$206 juta ($264 juta) bagi menyokong pembentukan pasukan itu.
Bagaimanapun, pelaksanaan rancangan tersebut terus berdepan kebuntuan berhubung urutan proses melucutkan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel.
Satu pelan pelaksanaan yang dicadangkan sebelum ini menetapkan Hamas menyerahkan senjatanya secara berperingkat, seiring dengan pengunduran tentera Israel dari Gaza dan penghentian operasi ketenteraan.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menolak urutan itu dan menegaskan Hamas mesti dilucutkan senjata sepenuhnya sebelum sebarang pengunduran tentera Israel dilakukan.
Hamas pula menuntut Israel mematuhi gencatan senjata dan mengundurkan tenteranya dari Gaza. Kumpulan itu turut mempertikaikan urutan pelaksanaan rancangan Encik Trump.
Pertikaian itu berlaku ketika ketegangan kembali meningkat susulan serangan terbaru Israel di Gaza.
Turkey, Mesir dan Qatar, yang memainkan peranan sebagai pengantara dalam usaha menamatkan konflik Gaza, mengecam serangan Israel dan menggesa pemerintahan itu mematuhi kewajipannya di bawah perjanjian gencatan senjata.
Menurut pegawai kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak 18 Ogos.
Israel berkata serangan tersebut menyasarkan anggota Hamas.
“Peningkatan serangan Israel menjejaskan usaha serantau dan antarabangsa pada saat genting, ketika usaha intensif sedang dilakukan untuk melaksanakan Pelan Menyeluruh bagi Menamatkan Konflik Gaza,” menurut kenyataan bersama Turkey, Mesir dan Qatar.
Ketiga-tiga negara itu turut menggesa masyarakat antarabangsa dan Lembaga Keamanan, yang menyelia pelaksanaan gencatan senjata, mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan semua pihak mematuhi perjanjian dan mengelakkan ketegangan daripada meningkat.
Utusan Amerika, Encik Jared Kushner, menamatkan lawatan serantaunya pada 17 Ogos tanpa mencapai kemajuan ketara dalam usaha menggerakkan rancangan Encik Trump.
Menurut pegawai kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 1,283 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober lalu, manakala tentera Israel berkata empat askarnya terbunuh dalam tempoh sama.
Walaupun Lembaga Keamanan terus mengusahakan pembentukan ISF, pertikaian mengenai pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel kekal sebagai halangan utama kepada pelaksanaan fasa seterusnya rancangan Gaza. – Agensi berita.
