WASHINGTON: Pemerintahan Presiden Donald Trump memaklumkan Kongres bahawa ia akan menyediakan lebih AS$206 juta ($262 juta) bagi membiayai pasukan pengaman antarabangsa di Gaza, sekali gus menjadi peruntukan besar pertama Amerika Syarikat untuk melaksanakan rancangan keamanan dan pembangunan semula wilayah itu yang masih terbantut.

Menurut dua notis Jabatan Negara bertarikh 30 Julai yang dilihat Reuters, sebanyak AS$200 juta akan disalurkan kepada Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) bagi membiayai peralatan, prasarana, kenderaan dan kos operasi.

Sebanyak AS$6.3 juta lagi akan digunakan untuk mengubah suai sembilan kenderaan perisai Amerika yang sebelum ini diperuntukkan kepada Nepal bagi kegunaan ISF.

Notis berkenaan dihantar kepada jawatankuasa utama Kongres yang mengendalikan peruntukan serta hal ehwal luar dan belum pernah dilaporkan sebelum ini.

Peruntukan tersebut merupakan komitmen kewangan konkrit pertama Washington kepada ISF dan menunjukkan kesungguhan pemerintahan Encik Trump untuk meneruskan pelan damai Gaza, meskipun pelaksanaannya masih tersekat akibat perbezaan pendirian antara Israel dengan Hamas.

“ISF akan mengetuai operasi keselamatan, menyokong proses melucutkan senjata secara menyeluruh dan membolehkan bantuan kemanusiaan serta bahan pembinaan semula dihantar dengan selamat ke Gaza,” menurut salah satu notis tersebut.

Bagaimanapun, Washington berkata komposisi akhir ISF masih dalam rundingan dan belum menyatakan jumlah keseluruhan yang diperlukan bagi membiayai pasukan itu.

Encik Trump sebelum ini menubuhkan Lembaga Keamanan bagi mengawasi pelan 21 perkara untuk menamatkan perang di Gaza dan membangunkan semula wilayah Palestin yang mengalami kemusnahan besar itu.

Di bawah rancangan tersebut, ISF akan dikerahkan ke Gaza bagi mengambil alih tanggungjawab keselamatan di kawasan yang ditinggalkan tentera Israel.

Pasukan itu juga dijangka melatih pasukan polis Palestin yang baru, membantu penghantaran bantuan kemanusiaan dan menyokong proses melucutkan senjata Hamas.

Bagaimanapun, rancangan itu masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Utusan Encik Trump yang juga menantunya, Encik Jared Kushner, mengadakan pertemuan dengan pegawai Hamas pada 16 Ogos sebelum bertemu pemimpin Israel di Baitulmakdis pada 17 Ogos.

Rundingan itu berakhir tanpa sebarang kejayaan besar selepas kedua-dua pihak kekal dengan tuntutan masing-masing.

Seorang pegawai Lembaga Keamanan menyifatkan perkembangan sepanjang dua minggu lalu sebagai satu tempoh “kemajuan ketara” dan berkata badan itu kini mendapatkan ikrar pembiayaan tambahan.

Menurut pegawai Lembaga Keamanan tersebut, sebahagian dana diperlukan untuk membina pangkalan bagi pasukan antarabangsa di dalam Gaza, selain membiayai beberapa projek pembangunan semula.

Negara anggota Lembaga Keamanan sebelum ini menjanjikan AS$17 bilion bagi usaha pembangunan semula Gaza.

Namun, Reuters melaporkan pada April bahawa hanya sebahagian kecil daripada jumlah tersebut telah diterima.

Lembaga Keamanan setakat ini belum mendedahkan jumlah sebenar dana yang sudah dikumpulkan.

“Kami komited terhadap pelaksanaan sepenuhnya pelan damai 21 perkara Presiden yang bersejarah, dengan ISF menjadi komponen utama,” kata jurucakap Jabatan Negara, Encik Tommy Piggott.

Beliau berkata pemerintahan Encik Trump turut digalakkan oleh “kemajuan berterusan” yang dicapai Lembaga Keamanan.

Seorang lagi pegawai Jabatan Negara mengesahkan notis pembiayaan itu dihantar kepada Kongres dan menyifatkan peruntukan tersebut sebagai pembiayaan “permulaan”.

Pada 30 Julai, Encik Trump mengumumkan apa yang disifatkannya sebagai satu kejayaan apabila Hamas bersetuju melucutkan senjatanya secara berperingkat, sejajar dengan pengunduran tentera Israel dari Gaza.

Hamas berkata ia menerima pelan tersebut, tetapi menegaskan pelaksanaannya bergantung kepada Israel terlebih dahulu memenuhi komitmennya, termasuk menghentikan serangan dan mengundurkan tenteranya.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bagaimanapun menolak aturan itu bulan ini dan menegaskan tentera Israel tidak akan berundur sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.

Pendirian tersebut menyebabkan proses pelaksanaan pelan keamanan terus menemui jalan buntu.

Setakat ini, lima negara – Indonesia, Maghribi, Kazakhstan, Kosovo dan Albania telah menyatakan komitmen untuk menyumbang anggota tentera kepada ISF.

Mesir dan Jordan pula bersetuju membantu melatih pasukan polis Palestin.

Namun, masih belum jelas bila pasukan ISF boleh mula dikerahkan ke Gaza.

Notis kedua Jabatan Negara menyatakan sembilan kenderaan perisai yang pada asalnya diperuntukkan kepada Nepal akan digunakan untuk menyokong operasi ISF.

Albania dan Kosovo dijangka menjadi penerima pertama kenderaan tersebut sebagai sebahagian daripada penyertaan mereka dalam pasukan antarabangsa itu.

Gencatan senjata yang dicapai pada Oktober lalu berjaya mengurangkan tahap keganasan di Gaza, tetapi belum menghentikan sepenuhnya serangan Israel atau menghasilkan persetujuan mengenai pelucutan senjata Hamas.

Menurut pegawai kesihatan Gaza dan tentera Israel, lebih 1,200 rakyat Palestin serta empat askar Israel terbunuh di Gaza sejak gencatan senjata itu berkuat kuasa.

Peruntukan terbaru Washington kini memberi dorongan kewangan pertama kepada rancangan ISF, tetapi pelaksanaan sebenar pasukan itu masih bergantung kepada penyelesaian pertikaian utama mengenai pengunduran tentera Israel dan pelucutan senjata Hamas. – Agensi berita.