Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelan Gaza Trump diteruskan meski Netanyahu tolak pengunduran Israel
WASHINGTON: Pelan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk melucutkan senjata Hamas dan membawa kepada pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari Gaza masih diteruskan meskipun Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, secara terbuka menolak rangka kerja 15 perkara itu.
Seorang pegawai Lembaga Keamanan berkata pada 10 Ogos bahawa rundingan dengan Israel masih berjalan dan pelaksanaan pelan berkenaan akan dilakukan secara berperingkat berdasarkan tindakan yang dapat disahkan di lapangan.
“Pelan itu masih berjalan dan terus dilaksanakan,” kata pegawai berkenaan kepada Reuters.
“Proses ini berdasarkan pelaksanaan dan pengesahan di lapangan.
“Perbincangan dengan Israel masih diteruskan dan rangka kerja ini direka supaya setiap peringkat hanya bergerak ke hadapan selepas komitmen yang diperlukan dipenuhi,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Encik Netanyahu menegaskan bahawa tentera Israel tidak akan berundur dari Gaza sehingga Hamas benar-benar melucutkan semua senjatanya.
Dalam mesyuarat Kabinet pada 9 Ogos, beliau secara terbuka menolak dokumen 15 perkara yang disokong pemerintahan Trump.
“Saya mahu menjelaskan perkara ini Israel menolak dokumen 15 perkara itu,” katanya.
Menurut Encik Netanyahu, Israel tidak akan melakukan sebarang pengunduran sehingga Hamas menyerahkan “senjata berat, senjata ringan, semua senjata”.
“Kita bercakap mengenai pelucutan senjata yang sebenar,” katanya.
Pendirian itu memperlihatkan perbezaan ketara antara Encik Netanyahu dengan Encik Trump berhubung cara pelan berkenaan perlu dilaksanakan.
Encik Trump pada Julai lalu mengumumkan satu kejayaan besar dalam usahanya menamatkan kebuntuan di Gaza selepas Lembaga Keamanan mencapai persetujuan dengan Hamas.
Pelan itu menetapkan proses secara berperingkat dengan Hamas menyerahkan senjatanya kepada pentadbiran Palestin yang baharu di Gaza.
Sebagai pertukaran, Israel akan berundur secara beransur-ansur daripada kawasan yang dikuasainya, merangkumi lebih separuh wilayah Gaza sejak gencatan senjata Oktober lalu.
Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) pula akan bekerjasama dengan pasukan polis Palestin yang baharu bagi menjaga keselamatan wilayah itu.
Bagaimanapun, persoalan mengenai urutan pelaksanaan dan tempoh masa setiap peringkat mula menjadi antara isu utama yang menghambat kemajuan pelan tersebut.
Pegawai Lembaga Keamanan menegaskan Israel tidak diminta berundur hanya berdasarkan kepercayaan bahawa Hamas akan memenuhi janjinya.
“Rangka tindakan itu adalah antara Lembaga Keamanan dengan Hamas dan perbincangan dengan Israel masih diteruskan.
“Israel tidak diminta bergantung kepada kepercayaan atau mengambil langkah yang tidak boleh ditarik balik sebelum tindakan yang diperlukan disahkan di lapangan,” katanya.
Walaupun Encik Netanyahu menolak dokumen tersebut, pegawai berkenaan berkata Israel masih menunjukkan kerjasama di lapangan, termasuk mengurangkan serangan yang sebelum ini berlaku hampir setiap hari di Gaza.
Serangan Israel dilaporkan meningkat pada hujung minggu selepas persetujuan dengan Hamas dicapai, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh, menurut pegawai kesihatan Gaza.
Serangan itu bagaimanapun sebahagian besarnya terhenti selepas wakil Lembaga Keamanan, Encik Nickolay Mladenov, bertemu Encik Netanyahu pada 3 Ogos lalu.
Encik Mladenov, bekas utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Timur Tengah, sebelum itu mengkritik serangan tersebut yang menurutnya telah “membunuh orang awam dan memusnahkan bekalan perubatan yang menjadi keperluan penduduk”.
Pelan Trump menetapkan sebuah jawatankuasa antarabangsa akan terlebih dahulu mengesahkan pematuhan Israel terhadap syarat gencatan senjata yang dicapai pada Oktober lalu, termasuk menghentikan operasi ketenteraan.
Selepas itu, Hamas perlu “melucutkan dan menyimpan” senjata beratnya menerusi proses yang diselia sekumpulan teknokrat Palestin yang disokong Amerika.
Tentera Israel kemudian akan berundur secara berperingkat, manakala kumpulan bersenjata Palestin yang sebelum ini dipersenjatai Israel untuk memerangi Hamas juga dikehendaki menyerahkan senjata mereka.
Bagaimanapun, jadual terperinci pelaksanaan langkah berkenaan masih perlu dirundingkan.
Perjanjian 15 perkara itu menetapkan jadual pelucutan senjata sepatutnya dimuktamadkan dalam tempoh 14 hari selepas semua pihak meluluskan perjanjian tersebut.
Ketidakpastian kini timbul berikutan penolakan terbuka Encik Netanyahu terhadap dokumen itu.
Pegawai kanan Hamas, Encik Husam Badran, pula mendakwa pendirian Encik Netanyahu menunjukkan Israel, bukannya Hamas, menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan rancangan tersebut.
Pemerintahan Trump berharap perjanjian itu dapat memecahkan kebuntuan yang berlarutan hampir setahun di Gaza.
Walaupun gencatan senjata Oktober lalu menamatkan perang selama dua tahun, sebahagian besar daripada kira-kira dua juta penduduk Gaza masih tinggal di kawasan khemah sementara.
Israel pula menegaskan pembinaan semula secara besar-besaran tidak akan dibenarkan selagi Hamas belum melucutkan senjata.
Di Israel, terdapat keraguan sama ada Hamas benar-benar bersedia menyerahkan keseluruhan senjatanya, memandangkan kumpulan itu sejak sekian lama meletakkan perjuangan bersenjata sebagai sebahagian daripada pendekatannya.
Encik Netanyahu pada masa sama berdepan tekanan politik menjelang pilihan raya Israel pada musim luruh ini, pilihan raya nasional pertama sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang Gaza.
Meskipun Encik Netanyahu berulang kali berjanji mencapai “kemenangan mutlak”, Hamas masih menguasai sebahagian kawasan Gaza hampir tiga tahun selepas perang bermula.
Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Encik Trump ditubuhkan bagi mengawasi pelaksanaan gencatan senjata dan proses selepas perang di Gaza.
Rundingan dengan Hamas sebelum ini dikendalikan beberapa pegawai yang dilantik Encik Trump, termasuk Encik Mladenov, dalam usaha mencari formula yang membolehkan Hamas menyerahkan senjatanya sambil membuka jalan kepada pengunduran tentera Israel.
Dengan kedua-dua pihak masih berbeza pendirian mengenai urutan pelucutan senjata dan pengunduran tentera, cabaran utama kini adalah menentukan langkah mana perlu dilaksanakan terlebih dahulu tanpa menggagalkan keseluruhan pelan damai itu. - Agensi berita
