Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Padah menanti jika tebusan tidak dibebas

Dec 3, 2024 | 12:56 PM
Encik Donald Trump, memberi amaran tentang kesan buruk jika tebusan Israel di Gaza tidak dibebaskan apabila beliau mula menyandang jawatan sebagai Presiden pada 20 Januari.
Encik Donald Trump, memberi amaran tentang kesan buruk jika tebusan Israel di Gaza tidak dibebaskan apabila beliau mula menyandang jawatan sebagai Presiden pada 20 Januari. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 2 Disember memberi amaran tentang kesan buruk jika tebusan Israel di Gaza tidak dibebaskan apabila beliau mula menyandang jawatan.

Ancaman itu dibuat selepas diplomasi menyeluruh oleh pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini masih gagal mencapai sebarang perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan perang Israel di Gaza dan membebaskan tebusan yang ditahan sejak 14 bulan lalu.

“Jika tebusan tidak dibebaskan sebelum 20 Januari 2025, tarikh saya mula menyandang jawatan sebagai Presiden Amerika, akan ada padah yang perlu dibayar di Timur Tengah dan bagi mereka yang bertanggungjawab melakukan kekejaman ini terhadap kemanusiaan,” tulis Trump di wadah Truth Social.

“Mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan lebih keras daripada sesiapa yang pernah dikenakan tindakan dalam sejarah panjang Amerika. Bebaskan tebusan sekarang!’’ tegas beliau.

Encik Trump telah berikrar memberi sokongan padu kepada Israel tetapi juga bercakap tentang keinginannya mendapatkan perjanjian di pentas dunia.

Hamas melancarkan serangan paling dahsyat yang tidak pernah berlaku ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Serangan itu telah membunuh lebih 1,200 orang, kebanyakannya orang awam dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Daripada semua tebusan Israel itu, sebahagiannya dipercayai telah mati sejak ditahan dalam perang di Gaza.

Baki 97 orang yang masih ditahan di Gaza, 35 dikatakan tentera telah terkorban.

Serangan balas dan berterusan Israel sehingga kini telah membunuh 44,429 orang di Gaza, berdasarkan angka kementerian kesihatan wilayah itu yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Perang turut menyebabkan sebahagian besar Gaza telah musnah dan dilanda masalah kelaparan dek kekurangan bantuan kemanusiaan yang disalurkan ke wilayah itu – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg