Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kabinet Israel luluskan 19 petempatan baru di Tebing Barat

Dec 22, 2025 | 1:25 PM
Israel, Palestine, West Bank, Tebing Barat, settlement
Tentera Israel yang lengkap bersenjata menjalankan rondaan mingguan di kawasan petempatan Israel di Hebron, di Tebing Barat, yang diduduki Israel, pada 20 Oktober. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Kabinet Keselamatan Israel meluluskan 19 petempatan baru di Tebing Barat yang didudukinya.

Ia satu langkah yang dikatakan oleh Menteri Kewangan berhaluan kanan negara itu pada 21 Disember bertujuan untuk menghalang penubuhan sebuah negara Palestin.

Keputusan itu menjadikan jumlah petempatan yang diluluskan sejak 2022 kepada 69, menurut kenyataan pejabat Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich.

Kelulusan terkini itu dibuat beberapa hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata peluasan petempatan Israel di Tebing Barat – yang semuanya dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa – telah mencapai tahap tertinggi sejak 2017.

“Cadangan oleh Encik Bezalel Smotrich dan Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, untuk mengisytiharkan dan memformalkan 19 petempatan baru di Judea dan Samaria telah diluluskan oleh Kabinet,” kata kenyataan itu, tanpa menyatakan bila keputusan itu dicapai.

Encik Smotrich merupakan penyokong lantang pengembangan petempatan dan juga seorang peneroka.

“Di lapangan, kami menghalang penubuhan sebuah negara Palestin.

“Kami akan terus membangun, membina dan menetap di tanah warisan nenek moyang kami, dengan keyakinan terhadap keadilan di pihak kami,” tambahnya.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, mengutuk apa yang beliau sifatkan sebagai pengembangan petempatan Israel “tanpa henti” di wilayah yang didudukinya.

Ia “terus mencetuskan ketegangan, menghalang akses rakyat Palestin ke tanah air mereka dan mengancam daya maju sebuah negara Palestin yang merdeka sepenuhnya, demokratik dan berdaulat”, katanya pada awal Disember.

Sejak bermulanya perang di Gaza, seruan untuk penubuhan sebuah negara Palestin telah berleluasa, dengan beberapa negara Eropah, Canada dan Australia baru-baru ini bergerak untuk mengiktiraf gagasan tersebut, yang mendapat kecaman dari Israel.

Satu laporan PBB menyatakan pengembangan penempatan berada pada tahap tertinggi sejak 2017, apabila PBB mula menjejaki data sedemikian.

“Angka ini mewakili peningkatan mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya,” kata Encik Guterres, sambil menyatakan purata 12,815 unit rumah telah ditambah setiap tahun antara 2017 dengan 2022.

“Pembangunan ini mengukuhkan lagi pendudukan haram Israel dan melanggar undang-undang antarabangsa serta menjejaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri,” tegas beliau.

Tidak termasuk Baitulmakdis Timur, yang telah diduduki Israel sejak 1967, lebih 500,000 rakyat Israel tinggal di Tebing Barat, bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin.

Pejabat Encik Smotrich berkata 19 petempatan yang baru diluluskan terletak di kawasan yang digambarkannya sebagai “sangat strategik”, sambil menambah bahawa dua daripadanya – Ganim dan Kadim di utara Tebing Barat – akan dibangunkan semula selepas dirobohkan dua dekad yang lalu.

Meskipun semua petempatan Israel di wilayah Palestin dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa, namun beberapa kawasan yang dibangunkan secara tidak rasmi juga haram di mata pemerintah Israel.

Bagaimanapun, kebanyakannya dibenarkan kemudiannya oleh pihak berkuasa Israel.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah memberi amaran kepada Israel tentang peluasan di Tebing Barat.

“Israel akan kehilangan semua sokongannya dari Amerika jika itu berlaku,” kata Encik Trump dalam temu bual baru-baru ini dengan majalah Time.

Keganasan di Tebing Barat telah melonjak sejak perang Gaza meletus pada Oktober 2023.

Tentera atau peneroka Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 1,027 rakyat Palestin di Tebing Barat sejak permulaan perang Gaza.

Sekurang-kurangnya 44 rakyat Israel telah terbunuh di Tebing Barat dalam serangan Palestin atau operasi ketenteraan Israel dalam tempoh yang sama. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg