Israel perluas operasi darat di Lebanon selepas serangan ke atas jambatan utama
Israel perluas operasi darat di Lebanon selepas serangan ke atas jambatan utama
BEIRUT: Tentera Israel pada 22 Mac mengumumkan bahawa ia akan memperluaskan operasi darat terhadap Hezbollah di Lebanon sambil memberi amaran bahawa kempen itu akan berlanjutan dalam tempoh panjang, ketika Beirut mengecam tindakan tersebut sebagai pelanggaran jelas terhadap kedaulatan negara.
Tentera Israel sebelum itu diarahkan untuk memusnahkan beberapa jambatan yang didakwa digunakan oleh kumpulan Hezbollah yang disokong Iran bagi melintasi Sungai Litani. Media rasmi Lebanon melaporkan beberapa serangan udara dilancarkan di selatan negara itu.
Seorang wartawan AFP melaporkan asap tebal kelihatan berkepul dari sebuah jambatan berhampiran bandar Tyre yang terkena serangan. “Operasi terhadap organisasi pengganas Hezbollah baru sahaja bermula... Ini adalah operasi jangka panjang,” kata Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir dalam satu kenyataan. Beliau menambah, “Kami kini sedang bersiap untuk memperluaskan operasi darat dan serangan secara terancang.”
Jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Effie Defrin, turut memaklumkan bahawa peluasan operasi darat dijangka bermula dalam tempoh seminggu.
Presiden Lebanon , Encik Joseph Aoun, memberi amaran bahawa serangan ke atas jambatan tersebut merupakan “peningkatan berbahaya dan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Lebanon”, serta boleh menjadi petanda awal kepada pencerobohan darat.
Lebanon mula terheret ke dalam konflik Asia Barat apabila Hezbollah melancarkan serangan roket ke atas Israel pada 2 Mac sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan bersama Israel-Amerika Syarikat.
Tentera Israel menyatakan bahawa ia telah “menyerang laluan lintasan di Sungai Litani yang digunakan oleh Hezbollah untuk bergerak dari utara ke selatan sungai di Lebanon”.
Menurut Agensi Berita Nasional Lebanon (NNA), tiga serangan ke atas jambatan berhampiran Tyre telah “menyebabkan kerosakan besar sehingga tidak lagi boleh digunakan”, sebelum satu lagi serangan dilaporkan berlaku.
NNA turut melaporkan bahawa serangan tersebut merosakkan rangkaian elektrik serta menyebabkan kerosakan serius kepada kedai, kebun dan taman di kawasan sekitar.
Encik Aoun berkata tindakan menyasarkan jambatan itu adalah “cubaan untuk memutuskan hubungan geografi antara kawasan selatan Litani dan wilayah lain di Lebanon”.
Dalam perkembangan lain, NNA melaporkan tentera Israel turut “meletupkan beberapa buah rumah di bandar Taybeh” berhampiran sempadan Israel.
Terdahulu, Israel mendakwa serangan roket dari Lebanon mengorbankan seorang orang awam, namun kemudian menyatakan ia sedang menyiasat sama ada insiden itu melibatkan tembakan daripada tenteranya sendiri. Dua anggota tentera Israel sebelum ini dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di selatan Lebanon.
Kementerian Kesihatan Lebanon memaklumkan empat orang terbunuh dalam dua serangan semalam, manakala jumlah korban sepanjang tiga minggu konflik kini mencecah 1,029 orang, dengan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Hezbollah pula mendakwa telah melancarkan sekurang-kurangnya 60 serangan, kebanyakannya menyasarkan tentera dan pangkalan Israel di utara Israel serta selatan Lebanon, kawasan di mana tentera Israel telah melakukan serangan darat.
Kumpulan itu berkata mereka menyasarkan tentera Israel di bandar pesisir Naqura, berhampiran sempadan barat, ketika laporan NNA menyebut berlaku “pencerobohan Israel” dan pengeboman hebat di kawasan berkenaan.
Hezbollah juga melaporkan pertempuran sengit di bandar sempadan strategik Khiam, selain di Maroun al-Ras, Marwahin dan beberapa kawasan lain di sepanjang sempadan.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata beliau bersama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengarahkan tentera untuk “memusnahkan semua jambatan di Sungai Litani yang digunakan untuk aktiviti pengganas, bagi menghalang pergerakan pejuang dan senjata ke selatan”. Sungai Litani terletak kira-kira 30 kilometer di utara sempadan Israel.
Awal minggu ini, Israel turut menyerang dua jambatan lain di sungai tersebut dengan alasan yang sama.
Encik Katz berkata tentera juga diarahkan untuk “mempercepatkan pemusnahan rumah di kampung berhampiran sempadan bagi menghapuskan ancaman terhadap komuniti Israel”.
Media Lebanon turut melaporkan sekurang-kurangnya satu serangan berlaku di Lembah Bekaa di timur negara itu.
Tentera Israel mendakwa telah membunuh seorang anggota Hezbollah pada 21 Mac yang dikenal pasti sebagai “komander pasukan khas dalam unit elit Radwan”.
Israel sebelum ini telah memberi amaran kepada penduduk di beberapa kawasan selatan Lebanon supaya berpindah, sambil menyatakan hasrat untuk mewujudkan zon penampan bagi melindungi penduduk di utara Israel. - Agensi berita

