Peluru berpandu, dron terus gempur Timur Tengah pada hari ke-12 perang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluru berpandu, dron terus gempur Timur Tengah pada hari ke-12 perang

Mar 11, 2026 | 2:20 PM

Peluru berpandu, dron terus gempur Timur Tengah pada hari ke-12 perang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
serangan udara
Asap tebal kelihatan di sebuah bangunan selepas serangan dilaporkan berlaku di Teheran, Iran, dalam gambar tangkap layar yang diambil daripada video media sosial pada 11 Mac, di tengah konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran. - Foto REUTERS

TEHERAN: Semboyan amaran bergema di beberapa negara Asia Barat lewat malam Selasa 10 Mac hingga 11 Mac ketika Israel dan Amerika Syarikat meneruskan serangan ke atas Iran, sementara Teheran melancarkan serangan balas terhadap Israel serta sekutu Washington di rantau tersebut.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan gelombang ke-35 operasi ketenteraan terhadap sasaran di rantau itu, termasuk pangkalan tentera Amerika di Asia Barat serta lokasi di tengah Israel.

Menurut agensi berita Tasnim yang bersekutu dengan IRGC, operasi tersebut dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Israel dan Amerika Syarikat.

Tentera Israel pula mengumumkan bahawa mereka telah memulakan satu lagi gelombang serangan terhadap sasaran pemerintah Iran di Teheran.

Kira-kira 20 minit selepas itu, tentera Israel berkata mereka mengesan peluru berpandu dilancarkan dari Iran dan mengarahkan orang awam supaya segera berlindung di kawasan perlindungan.

Keadaan tegang itu berulang beberapa kali sepanjang malam dan awal pagi 11 Mac apabila penduduk dibenarkan keluar dari tempat perlindungan sebelum diarahkan kembali semula selepas amaran serangan baharu.

Di Lebanon, penduduk Beirut melaporkan beberapa letupan kuat akibat serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan Dahiya di selatan bandar itu, yang dikenali sebagai kubu kuat kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.

Letupan tersebut dapat dilihat dan didengar di seluruh bandar selama beberapa jam.

Penduduk tempatan berkata serangan bermula pada sebelah petang, beberapa jam selepas tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk.

Jurucakap tentera Israel sebelum itu berkata Hezbollah didakwa menyimpan senjata di kawasan berkenaan.

Selepas tengah malam, tentera Israel memaklumkan bahawa mereka menyerang infrastruktur Hezbollah di Dahiya secara serentak dengan operasi terhadap Iran.

Hezbollah pula berkata mereka telah melancarkan 30 serangan terhadap Israel pada 10 Mac.

Kementerian Kesihatan Lebanon memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh dalam serangan Israel di negara itu pada hari yang sama.

Kesan konflik turut dirasai di beberapa negara Teluk.

Kementerian Dalam Negeri Bahrain mengarahkan penduduk mencari perlindungan selepas siren amaran dibunyikan di negara itu awal pagi 11 Mac.

Pasukan Pertahanan Bahrain melaporkan bahawa sejak konflik bermula, mereka telah memintas 106 peluru berpandu dan 176 dron.

Kementerian Pertahanan Kuwait pula berkata lima dron telah dikesan memasuki ruang udara negara itu pada 10 Mac.

Di Qatar, kementerian pertahanan memaklumkan bahawa negara tersebut berdepan tujuh serangan peluru berpandu sepanjang hari.

Arab Saudi pula melaporkan bahawa mereka berjaya memintas empat dron dan tujuh peluru berpandu balistik dalam beberapa serangan awal pagi 11 Mac.

Setakat 10 Mac, kerajaan Saudi berkata lebih 110 serangan dron, sekurang-kurangnya sembilan peluru berpandu balistik dan enam peluru berpandu jelajah telah dilancarkan ke arah negara itu sejak perang tercetus.

Di Amiriah Arab Bersatu (UAE), kementerian pertahanan berkata negara itu turut berdepan gelombang serangan peluru berpandu balistik dari Iran.

Menurut kementerian tersebut, sembilan peluru berpandu balistik dan 35 dron dikesan pada 10 Mac sahaja.

Sejak konflik bermula, UAE melaporkan bahawa sebanyak 1,475 dron Iran, lebih 260 peluru berpandu balistik dan lapan peluru berpandu jelajah telah disasarkan ke arah negara itu.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, sebelum ini memberi amaran bahawa 10 Mac akan menjadi “hari paling sengit serangan” terhadap Iran.

Beliau berkata matlamat utama operasi ketenteraan tersebut adalah untuk memusnahkan keupayaan peluru berpandu Iran serta industri pertahanan negara itu.

“Matlamat kami termasuk memusnahkan stok peluru berpandu Iran, pelancar peluru berpandu mereka dan asas industri pertahanan mereka,” katanya.

Beliau turut berkata tentera Amerika mahu melemahkan kekuatan tentera laut Iran serta memastikan negara itu tidak dapat memperoleh senjata nuklear.

Namun perkembangan di lapangan menunjukkan jumlah serangan pada 10 Mac jauh lebih rendah daripada yang dijangkakan.

Menjelang 4 pagi pada11 Mac di Teheran, hanya beberapa letupan direkodkan sepanjang malam.

Menurut wartawan Al Jazeera yang berada di ibu negara Iran, jumlah serangan malam tersebut merupakan antara yang paling sedikit sejak perang bermula.

Sepanjang 10 Mac, hanya beberapa letupan dilaporkan di Teheran dan kawasan sekitarnya.

Selain ibu negara, serangan turut berlaku di beberapa wilayah lain termasuk Kerman di selatan Iran, Shiraz, yang menyaksikan tiga kematian, serta Karaj dan Isfahan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg