Korban konflik Timur Tengah meningkat di seluruh Asia Barat, ribuan maut dan cedera
Korban konflik Timur Tengah meningkat di seluruh Asia Barat, ribuan maut dan cedera
DUBAI: Konflik bersenjata antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel yang bermula pada 28 Februari kini semakin merebak ke seluruh Asia Barat, dengan angka korban dilaporkan meningkat di beberapa negara di rantau tersebut.
Sejak serangan udara Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran dilancarkan, gelombang serangan balas Iran telah melanda beberapa negara jiran, termasuk Israel dan negara Teluk, sekali gus menyebabkan kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam serta anggota keselamatan.
Agensi berita AFP melaporkan bahawa sekatan pelaporan di beberapa kawasan konflik menyukarkan pengesahan bebas terhadap semua angka korban.
Namun angka yang dilaporkan setakat ini berdasarkan maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pemerintah, tentera, kementerian kesihatan serta organisasi penyelamat di negara-negara terjejas.
Iran mencatatkan jumlah korban paling tinggi dalam konflik yang sedang berlangsung ini.
Kementerian Kesihatan Iran pada 9 Mac memaklumkan bahawa lebih 1,200 orang telah terbunuh akibat serangan Amerika dan Israel sejak perang bermula.
Menurut kementerian itu, sekitar 200 wanita dan 200 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun termasuk dalam kalangan korban, manakala lebih 10,000 orang awam dilaporkan cedera.
“Sejak serangan bermula, lebih 1,200 orang terbunuh dan lebih 10,000 orang awam mengalami kecederaan,” menurut kenyataan kementerian kesihatan Iran.
Sementara itu, Yayasan Syuhada dan Hal Ehwal Veteran Iran yang dikendalikan pemerintah berkata jumlah korban akibat serangan udara Amerika dan Israel telah meningkat kepada 1,230 orang.
Sebelum ini, Bulan Sabit Merah Iran melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 787 orang terbunuh setakat 3 Mac.
Bagaimanapun, organisasi pemantau Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA), mengganggarkan angka korban lebih tinggi.
Menurut HRANA, sekurang-kurangnya 1,708 orang terbunuh, termasuk 1,205 orang awam, antaranya sekurang-kurangnya 194 kanak-kanak.
Angka itu juga merangkumi 187 anggota tentera serta 316 individu yang status mereka belum dikenal pasti.
Di Israel, pasukan penyelamat dan pihak tentera melaporkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh sejak Iran melancarkan serangan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika dan Israel.
Pasukan penyelamat Israel berkata 11 orang awam terbunuh manakala puluhan lagi cedera.
Sembilan daripada mangsa maut terbunuh dalam satu serangan ke atas bandar Beit Shemesh, termasuk empat kanak-kanak.
Tentera Israel pula mengumumkan kematian dua anggota tenteranya dalam pertempuran di selatan Lebanon.
Di Lebanon, kementerian kesihatan negara itu berkata sekurang-kurangnya 486 orang terbunuh dan 1,313 lagi cedera dalam tempoh seminggu serangan udara yang berterusan.
Pada 8 Mac, kementerian tersebut memaklumkan bahawa angka korban sebelum ini menunjukkan sekurang-kurangnya 394 terbunuh, termasuk 83 kanak-kanak dan 42 wanita.
Tentera Lebanon turut melaporkan bahawa tiga anggota tenteranya terkorban dalam konflik tersebut.
Setakat ini, kumpulan Hezbollah yang terlibat dalam pertempuran dengan Israel belum mengumumkan jumlah korban di pihak mereka.
Di negara Teluk, pihak berkuasa tempatan serta Komando Pusat Tentera Amerika Syarikat (Centcom) melaporkan sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh sejak Iran mula melancarkan serangan ke rantau tersebut.
Sebahagian besar mangsa yang maut terdiri daripada anggota tentera dan pasukan keselamatan, namun sekurang-kurangnya 10 orang awam turut terbunuh.
Di Kuwait, tentera dan kementerian kesihatan melaporkan enam kematian, termasuk dua anggota tentera Kuwait, dua pengawal sempadan serta dua orang awam, salah seorang daripadanya seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Kementerian Pertahanan Amiriah Arab Bersatu (UAE) pula melaporkan enam kematian, termasuk empat orang awam dan dua anggota tentera.
Dua anggota tentera tersebut dilaporkan maut selepas sebuah helikopter terhempas akibat kerosakan teknikal.
Di Arab Saudi, agensi pertahanan awam melaporkan dua orang awam terbunuh akibat serangan berkaitan konflik tersebut.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain pula mengesahkan dua kematian.
Di perairan Oman, pusat keselamatan maritim negara itu melaporkan seorang pelaut maut di laut.
Sementara itu, Qatar melaporkan 16 orang cedera namun tiada kematian direkodkan setakat ini.
Centcom turut mengesahkan bahawa enam anggota tentera Amerika terbunuh di Kuwait dan seorang lagi maut di Arab Saudi.
Di Iraq, kumpulan pro-Iran berkata 16 anggotanya terbunuh dalam serangan udara yang mereka dakwa dilakukan oleh Israel dan Amerika.
Di wilayah autonomi Kurdistan Iraq pula, pihak berkuasa berkata seorang pengawal lapangan terbang terbunuh dalam serangan dron ke atas Lapangan Terbang Erbil.
Sekurang-kurangnya dua anggota Kurdi Iran turut dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Iran.
Di Jordan, jurucakap tentera Brigedier Jeneral Mustafa Hayari berkata sekurang-kurangnya 14 orang cedera akibat serpihan peluru berpandu dan dron Iran yang jatuh di beberapa kawasan negara itu.
“Kecederaan berlaku akibat serpihan peluru berpandu dan dron yang jatuh di beberapa kawasan,” katanya.
Namun setakat ini, Jordan tidak melaporkan sebarang kematian berkaitan konflik tersebut. – Agensi berita.

