BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah mengarahkan tentera melaksanakan operasi di Tebing Barat selepas beberapa siri letupan berlaku pada beberapa buah bas di kawasan berhampiran Tel Aviv.
Serangan itu dilihat sebagai percubaan besar-besaran untuk menyerang prasarana pengangkutan di Israel.
Menurut polis Israel, tiga bas diletupkan di dua pinggir bandar di luar Tel Aviv, manakala empat bahan letupan turut ditemui.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Perkhidmatan keselamatan Israel pada 21 Februari menuding jari kepada kumpulan militan Palestin sebagai pihak yang bertanggungjawab atas serangan tersebut, yang berlaku di Bat Yam, sebuah kawasan yang majoritinya berbahasa Russia.
Serangan di Bat Yam itu dirakam dalam video yang menunjukkan kerosakan besar pada bas-bas yang diletakkan di depoh.
Media Israel melaporkan bom tersebut sepatutnya meledak semasa waktu pagi 21 Februari yang sibuk, tetapi dipercayai telah meletup lebih awal sekitar 9 malam waktu tempatan.
Datuk Bandar Bat Yam, Encik Tzvika Brot, menyifatkan kejadian itu sebagai “satu kejaiaban” kerana tiada sesiapa yang cedera.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, segera menyalahkan militan dari Tebing Barat dan mengarahkan Tentera Pertahanan Israel (IDF) supaya meningkatkan operasi di kem pelarian Palestin, khususnya di Tulkarem.
“Saya telah mengarahkan Tentera Pertahanan Israel agar meningkatkan kegiatan bagi menggagalkan penggasan di kem pelarian Tulkarem dan kem-kem pelarian di Judea dan Samaria,” kata Encik Katz dalam satu kenyataan.
Walaupun tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab, sayap tentera Hamas, Batalion Tulkarem, mengeluarkan kenyataan di saluran Telegram mereka, mengancam untuk membalas dendam atas kematian rakyat Palestin dalam operasi Israel.
“Kami tidak akan melupakan untuk membalas dendam selagi pendudukan masih ada di tanah air kami,” kata kenyataan tersebut.
Tentera Israel dalam kenyataan mereka menyebut bahawa mereka kini membantu polis dan agensi perisikan, Shin Bet, dalam menyiasat kejadian tersebut untuk mencari suspek.
Letupan tersebut menjadi peringatan yang jelas tentang serangan bom yang pernah berlaku di Israel pada awal 2000-an, meskipun serangan sebegitu kini sudah jarang berlaku.
Selepas kejadian tersebut, tentera Israel mengumumkan mereka akan memperhebat operasi ketenteraan di Tebing Barat dan menyekat pintu masuk di kawasan tertentu, walaupun mereka tidak menyatakan lokasi-lokasi khusus.
Sejak sebulan lalu, tentera Israel telah memperhebat operasi berskala besar di Tebing Barat, yang dikatakan menyasarkan pejuang Islam.
Keadaan itu berlaku dalam suasana gencatan senjata yang rapuh antara Hamas dengan Israel di Gaza, selepas 16 bulan perang.
Kementerian Pengangkutan Israel turut mengarahkan pihak berkuasa transit awam supaya menghentikan semua perkhidmatan bas, kereta api dan kereta api ringan bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan, lapor media Israel. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg