Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump beku dana pasukan keselamatan Penguasa Palestin di Tebing Barat

Pembekuan bantuan berlaku di tengah kegiatan pengganasan yang kian meningkat di Tebing Barat
Feb 20, 2025 | 11:26 AM
Pasukan keselamatan Penguasa Palestin ditempatkan di khemah pelarian Palestin di Jenin, Tebing Barat, yang diduduki pada 18 Januari susulan perjanjian yang dicapai dengan militan tempatan.
Pasukan keselamatan Penguasa Palestin ditempatkan di khemah pelarian Palestin di Jenin, Tebing Barat, yang diduduki pada 18 Januari susulan perjanjian yang dicapai dengan militan tempatan. - Foto AFP

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah menghentikan semua pembiayaan untuk pasukan keselamatan Penguasa Palestin (PA) sebagai sebahagian daripada pemotongan bantuan terkini.

Laporan yang diterbitkan oleh akhbar, The Washington Post, pada 19 Februari menyatakan bahawa pembekuan bantuan itu berlaku di tengah-tengah peningkatan kegiatan pengganasan yang ketara di Tebing Barat.

Akhbar Israel, The Jerusalem Post, sebelum ini melaporkan bahawa Tentera Pertahanan Israel (IDF) sedang menangani tahap pengganasan yang serupa dengan zaman Intifadah Kedua.

Semasa penggal pertama Encik Trump, semua bantuan langsung kepada PA dihentikan kecuali untuk latihan dan pembaharuan bagi pasukan keselamatan.

Pasukan keselamatan PA dilatih melalui Pejabat Penyelarasan Keselamatan yang berpusat di Baitulmakdis.

Ia diuruskan oleh Amerika dan beberapa negara lain.

Jurucakap pasukan keselamatan Palestin, Briged-Jeneral Anwar Rajab, memberitahu The Washington Post bahawa Amerika dianggap sebagai, “dermawan utama kepada projek-projek PA”, termasuk latihan keselamatan dan pemerkasaan pasukan keselamatan tersebut.

Laporan itu turut memetik seorang pegawai Israel yang enggan dikenali yang menyatakan bahawa Pejabat Penyelaras Keselamatan Amerika Syarikat (USSC) tidak terjejas dengan pembekuan bantuan itu.

“Penderma lain telah berjanji untuk menampung kekurangan yang ditinggalkan oleh pembekuan bantuan Amerika,” tambah pegawai tersebut.

Namun, seorang pegawai berpangkat kolonel yang bertanggungjawab dalam latihan di Institut Latihan Pusat PA memberitahu The Washington Post bahawa pembekuan bantuan itu telah menghentikan beberapa program latihan keselamatan.

Beliau berkongsi maklumat dan enggan namanya disiarkan mengikut protokol pejabatnya.

Seorang pegawai PA yang enggan dikenali menjelaskan bahawa Amerika sebelum ini membiayai pembinaan gelanggang tembak maya untuk institut latihan tersebut yang diperlukan.

Ini kerana Israel tidak membenarkan PA mengimport peluru untuk latihan tembakan sebenar atas alasan keselamatan.

Pembinaan gelanggang tembak maya itu hampir siap sebelum pembekuan bantuan berlaku tetapi kini ia terhenti.

Menurut laporan tersebut, institut latihan keselamatan itu sedang mencari sumber pembiayaan alternatif.

Pembekuan bantuan juga menyebabkan penangguhan mesyuarat antara Amerika dengan pasukan keselamatan PA yang dijadualkan untuk menilai operasi PA terhadap kegiatan pengganasan di Jenin, yang dihentikan selepas tentera Israel memulakan operasi di Tebing Barat pada Januari.

Pembekuan bantuan itu menjadikan pasukan keselamatan Palestin kekurangan dana dan menghadapi kesukaran mengekalkan keamanan di Tebing Barat, terutama apabila kumpulan seperti Briged Jenin berusaha merebut pengaruh dan kawalan.

Seorang pegawai PA menyatakan bahawa keadaan semakin rumit kerana PA sedang berjuang untuk mengekalkan pemerintahan di Tebing Barat dan pada masa yang sama menegaskan bahawa mereka mempunyai keupayaan untuk mentadbir Gaza selepas perang.

“Dengan dana yang semakin berkurang, pasukan keselamatan PA tidak dapat melaksanakan tugas mereka dengan sepenuhnya,” jelas pegawai tersebut.

“Kami berusaha untuk mengekalkan keamanan di kawasan yang semakin bergolak ini, tetapi kekurangan dana telah menjejas keupayaan kami,” tambahnya.

Pasukan keselamatan PA yang sudah lama kekurangan dana dan tidak mendapat sokongan penuh daripada ramai rakyat Palestin, memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan di Tebing Barat.

“Kami mengharapkan sokongan daripada penderma lain agar dapat terus menjalankan tugas kami dengan berkesan,” kata Encik Anwar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg