BAITULMAKDIS: Tentera Israel berkata ia telah memperluas operasinya di Gaza beberapa hari sebelum lawatan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, ke Washington.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, merancang mengadakan pertemuan dengan Encik Netanyahu, di Rumah Putih pada 7 Julai.
Menurut Encik Trump, beliau akan mengambil pendirian “amat tegas” dalam pertemuan itu.
“Saya boleh katakan, beliau (Netanyahu) mahu hentikan perang. Saya percaya kita akan capai perjanjian minggu depan,” dakwanya.
Ini sedang Presiden Amerika itu terus mendesak gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza serta pembebasan baki tebusan yang masih ditahan.
Menurut kenyataan tentera Israel pada 1 Julai, operasi diperluas ke beberapa kawasan tambahan di Jaluran Gaza, membabitkan pembunuhan puluhan anggota Hamas dan pemusnahan ratusan prasarana termasuk terowong bawah tanah.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza kian meningkat dengan agensi pertahanan awam wilayah itu melaporkan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 26 orang pada 1 Julai.
Tentera Israel mendakwa ia “meningkatkan operasi untuk merungkai keupayaan tentera Hamas”.
Ia berkata bahawa dalam beberapa hari kebelakangan ini pihaknya telah “memperluas operasinya ke kawasan tambahan dalam Gaza, menghapuskan berpuluh-puluh anggota dan memusnahkan ratusan tapak prasarana pengganas di atas dan di bawah tanah.”
Jurugambar agensi berita, AFP, turut merakam imej kereta kebal Israel berhampiran sempadan selatan Israel-Gaza, serta kanak-kanak yang menggeledah runtuhan kediaman di Bandar Gaza.
Beberapa gambar lain memaparkan suasana hiba anggota keluarga yang menangisi kematian insan tersayang di Hospital Al-Shifa dan Hospital Al-Aqsa
Tentera Israel juga telah membunuh berpuluh-puluh rakyat Palestin yang datang untuk mendapatkan bantuan makanan di beberapa tempat pengagihan bantuan kemanusiaan, termasuk berhampiran Rafah dan Koridor Netzarim.
Ini menandakan kejadian terkini seumpama itu di pusat pengagihan bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) milik Israel dan disokong Amerika.
Pengagihan yang dikendalikan GHF itu telah dituduh sebagai “perangkap maut” bagi rakyat Palestin yang terdesak mendapatkan bantuan.
Sejak GHF memulakan operasinya di Jaluran Gaza, hampir 600 rakyat Palestin terbunuh oleh tembakan Israel, dengan lebih 4,000 orang cedera.
Lebih 170 pertubuhan bantuan menyeru agar skim pengagihan bantuan yang disokong Amerika dan Israel itu dihentikan segera.
Menurut mereka, pengagihan tersebut memaksa orang awam yang kelaparan “berjalan selama berjam-jam melalui kawasan berbahaya dan zon konflik aktif, hanya untuk berebut-rebut dalam suasana huru-hara di pusat pengagihan” bagi mendapatkan makanan.
Dalam masa yang sama, kepimpinan Israel kini berdepan dilema dalam menentukan hala tuju perang di Gaza.
Menurut sumber yang rapat dengan rundingan dalaman Israel, tiada keputusan dasar dimuktamadkan walaupun Encik Netanyahu telah mengadakan mesyuarat selama dua hari berturut-turut bersama barisan penasihat dan menteri kanan Kabinetnya.
Namun begitu, sumber itu memaklumkan, Encik Netanyahu dilihat semakin cenderung ke arah menerima satu perjanjian gencatan senjata.
Sementara itu, Encik Trump berkata bahawa gencatan senjata di wilayah yang dilanda perang itu boleh berlaku “pada minggu depan”.
“Kami berharap ia akan berlaku, dan kami sedang mengusahakan ia dilaksanakan pada minggu depan,” kata beliau ketika berlepas dari Washington ke Florida.
Encik Trump, mengumumkan pada 1 Julai bahawa Israel telah bersetuju dengan “syarat-syarat yang perlu” untuk memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari di Gaza.
Kenyataan itu dibuat menerusi wadah, Truth Social, ketika usaha diplomatik oleh Mesir, Qatar dan Amerika semakin dipertingkat untuk meredakan konflik yang berlarutan sejak Oktober 2023. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg