GAZA: Tentera Israel dilaporkan sedang menyiasat dakwaan kecederaan dan kematian orang awam Palestin yang berlaku berhampiran pusat bantuan makanan kendalian Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
Sejak operasi GHF bermula lewat Mei, sekurang-kurangnya 583 orang terbunuh dan lebih 4,000 lagi cedera, kata Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.
Tragedi itu berlaku ketika wilayah Gaza terus dilanda krisis kebuluran akibat sekatan ketat selama tiga bulan oleh Israel.
GHF, yang disokong oleh Amerika Syarikat dan Israel, mengendalikan hanya empat pusat bantuan di selatan dan tengah Gaza, meninggalkan kawasan utara antara yang paling terjejas tanpa akses kepada bantuan makanan.
“Kami terpaksa ambil risiko pergi ke pusat bantuan walaupun tahu kami boleh ditembak.
“Tapi kalau tidak pergi, anak-anak kami akan mati kelaparan,” kata seorang penduduk di Gaza Utara, Encik Khaled Mahfouz.
Laporan daripada Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med, menyebut bahawa pusat bantuan itu kini berubah menjadi “medan pembunuhan”, bukannya zon selamat.
Beberapa saksi mendakwa tembakan oleh tentera Israel berlaku secara rawak, malah ada yang menyasarkan terus ke kepala mangsa.
Satu laporan oleh akhbar, Haaretz, mendakwa tentera Israel diberikan arahan melepaskan tembakan ke arah orang awam tidak bersenjata yang menghampiri kawasan bantuan bagi menghalau atau menyuraikan mereka.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “fitnah yang jahat”.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataannya pada 30 Jun berkata:
“Kami sedang menyiasat laporan berkaitan kecederaan terhadap orang awam, dan sebarang pelanggaran undang-undang atau arahan IDF akan diteliti dan tindakan lanjut akan diambil jika perlu.”
IDF turut mengakui terdapat kejadian tembakan tidak tepat yang menyebabkan kematian, namun menafikan sebarang dakwaan tembakan disengajakan ke arah orang awam.
Pakej bantuan yang disalurkan GHF turut dikritik.
Walaupun Pertubuhan Makanan Sedunia menyarankan keperluan kalori harian sebanyak 2,100 kalori, bantuan yang diberi hanya sekitar 1,750 kalori sehari tanpa air bersih, ubat-ubatan atau bahan api.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, turut mengkritik sistem agihan GHF sebagai “tidak selamat secara asasnya”, dan menyatakan ia tidak sepatutnya menggantikan saluran bantuan yang dikendalikan PBB sebelum ini.
“Bantuan mesti disalurkan tanpa campur tangan ketenteraan, dan pusat agihan perlu benar-benar selamat,” kata beliau dalam kenyataan rasmi pada 27 Jun.
Dalam masa lapan hari pertama operasi GHF, lebih 100 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh berhampiran pusat bantuan, mendorong kecaman antarabangsa.
Namun setakat ini tiada siasatan bebas dijalankan dan tiada pihak yang dipertanggungjawabkan secara rasmi.
Ketua GHF, Encik Johnnie Moore, mengakui terdapat kematian, namun menolak semua kejadian itu berlaku kerana lokasi bantuan.
“Tidak benar 100 peratus kematian berlaku akibat berada berhampiran tapak GHF,” katanya kepada BBC.
Dalam kejadian berasingan pada 30 Jun, sekurang-kurangnya 21 orang penduduk Gaza terbunuh apabila serangan udara Israel menyasarkan, Kafe Al-Baqa, yang terletak di kawasan pantai Gaza barat.
Kafe tersebut sering digunakan oleh wartawan, aktivis dan penduduk tempatan sebagai ruang kerja dan akses Internet.
“Saya baru nak masuk ke kafe bila tiba-tiba letupan besar berlaku.
“Saya nampak rakan-rakan saya bergelimpangan. Suasana sangat mengerikan – darah, jeritan, mayat di mana-mana,” kata jurukamera tempatan, Encik Aziz Al-Afifi.
Pasukan penyelamat mengesahkan penemuan 20 mayat dan ramai lagi cedera parah, manakala pencarian masih diteruskan di tapak letupan yang meninggalkan kawah besar.
Tiada sebarang komen segera dikeluarkan oleh tentera Israel mengenai serangan itu.
Rakaman yang dimuat naik oleh aktivis di media sosial menunjukkan detik serangan peluru berpandu yang dipercayai dilepaskan oleh jet pejuang Israel, serta kesan kemusnahan selepas serangan.
“Kafe ini tempat kami berkumpul untuk bekerja. Sekarang tiada lagi,” ujar seorang pengguna kafe yang enggan dinamakan.
Serangan udara itu berlaku selepas Israel mengarahkan pemindahan besar-besaran di beberapa kawasan di Gaza – antara arahan pemindahan terbesar sejak peperangan disambung semula pada Mac.
Menurut laporan tempatan, sekurang-kurangnya lima lagi mayat ditemui dan puluhan yang cedera telah dibawa ke Hospital Al-Ahli di Bandar Gaza.
Pemerintah Amerika pada 27 Jun mengumumkan dana AS30 juta ($38.1 juta) untuk menyokong GHF, bantuan pertama yang diketahui diberikan secara langsung oleh Washington kepada kumpulan tersebut.
Ini berlaku selepas Israel bersetuju melonggarkan sekatan selepas tekanan daripada sekutu Barat dan amaran bahawa setengah juta penduduk Gaza sedang berdepan kebuluran. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg