Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS minta sokongan PBB capai perjanjian gencatan senjata di Gaza

Jun 4, 2024 | 1:50 PM
Letupan berlaku selepas pengeboman tentera Israel di Kem Pelarian Al Bureije di selatan Gaza pada 3 Jun, ketika Amerika Syarikat meminta sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencapai gencatan senjata di Gaza.
Letupan berlaku selepas pengeboman tentera Israel di Kem Pelarian Al Bureije di selatan Gaza pada 3 Jun, ketika Amerika Syarikat meminta sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencapai gencatan senjata di Gaza. - Foto EPA-EFE

NEW YORK: Amerika Syarikat berkata bahawa ia mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai ketetapan menyokong cadangan yang digariskan oleh Presiden Joe Biden untuk menamatkan pertempuran antara Israel dengan Hamas di Jaluran Gaza.

Ia mengedarkan teks draf satu halaman pada 3 Jun, dilihat oleh Reuters, kepada majlis yang terdiri daripada 15 anggota itu.

Ketetapan itu memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undian menyokong dan tiada veto oleh Amerika, Perancis, United Kingdom, China atau Russia untuk diluluskan.

Draf itu menyeru Hamas supaya menerima perjanjian itu dan “melaksanakan termanya sepenuhnya tanpa berlengah-lengah dan tanpa syarat”.

Ia juga “menekankan peri perlunya pihak-pihak yang terlibat mematuhi syarat perjanjian yang telah dipersetujui, dengan tujuan menghentikan permusuhan secara kekal”.

Cadangan Amerika itu dibuat seminggu selepas Algeria mencadangkan draf ketetapan Majlis Keselamatan menuntut gencatan senjata di Gaza, pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh Hamas dan pada dasarnya mengarahkan Israel untuk “segera menghentikan serangan tenteranya” di Rafah.

Pada 31 Mei, Presiden Biden, ketika membentangkan apa yang disifatkannya sebagai cadangan tiga fasa Israel untuk gencatan senjata di Gaza sebagai balasan kepada pembebasan tebusan Israel, berkata “sudah tiba masanya untuk perang ini berakhir”.

Cadangan beliau itu mendapat reaksi awal yang positif daripada Hamas.

Pelan damai itu mencadangkan gencatan senjata selama enam minggu, di mana tentera Israel akan berundur dari kawasan berpenduduk di Gaza.

Tebusan, termasuk warga emas dan wanita, akan ditukar dengan ratusan tahanan Palestin.

Warga Palestin akan dibenarkan pulang ke ‘rumah dan kawasan kejiranan’ di seluruh Gaza.

Selain itu, bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza akan ‘melonjak’ kepada 600 trak sehari.

Dalam tempoh enam minggu terawal, Israel dan Hamas akan mengadakan rundingan bagi memastikan pelan itu diteruskan ke fasa kedua, iaitu penamatan kekal permusuhan.

Pelan pembinaan semula Gaza akan bermula sejurus selepas itu, disokong oleh Amerika dan masyarakat antarabangsa, yang akan membangunkan kediaman, sekolah dan hospital.

“Ramai pemimpin dan banyak pemerintah, termasuk di rantau ini, telah menyokong rancangan ini dan kami menyeru Majlis Keselamatan untuk menyertai mereka dalam menyeru pelaksanaan perjanjian ini,” kata Duta Besar Amerika ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, dalam satu kenyataan.

Beliau menggesa anggota majlis supaya menerima pakai ketetapan itu.

“Kita mesti bercakap dengan satu suara untuk menyokong perjanjian ini,” katanya.

Pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) negara demokrasi utama berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka “menyokong sepenuhnya dan akan berdiri di belakang perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang komprehensif”.

Menteri luar Arab Saudi, Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Mesir berkata adalah penting untuk “berurusan secara serius dan positif”. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg