Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Israel punya sejarah pergeseran dengan agensi PBB untuk Palestin

Rakyat Palestin melihat UNRWA sebagai talian hayat penting untuk berjuta-juta keturunan pelarian. Bagaimanapun, bagi Israel ramai yang melihat agensi itu sebagai penghalang untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin
Feb 12, 2024 | 05:30 AM



Tuduhan Israel terhadap 12 kakitangan agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Palestin, iaitu operasi bantuan utama di Gaza, adalah episod terbaru pergeseran selama beberapa dekad antara Israel dengan agensi itu.

Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB yang dikenali sebagai UNRWA, adalah salah satu badan tertua PBB.

Ditubuhkan pada 1949, UNRWA berfungsi untuk melindungi orang Arab Palestin yang telah melarikan diri atau meninggalkan kediaman mereka semasa peperangan hingga penubuhan negara Israel pada akhir 1940-an.

Apabila agensi PBB yang berasingan kemudiannya ditubuhkan untuk pelarian konflik lain, UNRWA kekal bebas.

Kepada rakyat Palestin dan penyokong mereka, kumpulan itu kekal sebagai talian hayat penting bagi berjuta-juta orang keturunan pelarian tersebut yang status dan masa depannya tidak pernah diselesaikan dalam rundingan antara pemimpin Israel dan Palestin.

Ia adalah salah satu majikan terbesar di Gaza dengan menggajikan 13,000 orang, kebanyakannya rakyat Palestin sebagai kakitangan.

Ramai daripada mereka tinggal di kawasan kejiranan bandar yang kurang membangun – masih dikenali sebagai kem pelarian – di bandar-bandar yang terdapat di serata rantau Timur Tengah.

Di Gaza, mereka membentuk majoriti penduduk dan UNRWA memainkan peranan penting dalam menyediakan mereka dengan pendidikan, perkhidmatan sosial dan semasa perang, bantuan dan perlindungan.

“Oleh kerana nasib mereka sebagai pelarian tidak pernah diselesaikan, mereka terus menjadi pelarian,” kata Encik Chris Gunness, bekas jurucakap UNRWA.

“Ini adalah sebahagian daripada orang yang paling terdedah di Timur Tengah,” katanya. “Mereka amat memerlukan agensi PBB yang dapat menyediakan perkhidmatan kecemasan dan kemanusiaan kepada mereka.”

Bagaimanapun, bagi Israel, agensi itu dan penyokongnya adalah penghalang untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Ramai rakyat Palestin mahu pelarian itu kembali ke rumah mereka yang dahulu, di kawasan yang kini dikenali sebagai Israel.

Israel pula khuatir penghijrahan seperti itu akan menjejaskan golongan Yahudi Israel. Orang Israel berkata kewujudan UNRWA yang berasingan daripada sistem perlindungan pelarian PBB yang lebih luas, menghalang mereka daripada bertapak di tempat-tempat lain di Timur Tengah.

“UNRWA menjadi penghalang utama yang kekal mempersoalkan kewujudan negara Yahudi,” kata Cik Einat Wilf, pengarang bersama buku tentang UNRWA.

Pertubuhan itu membantu untuk memupuk semangat “nasionalisme yang fokus kepada idea untuk pulang dan membalas dendam,” dakwanya.

Israel berkata kurikulum sekolah UNRWA memupuk sikap menentang kewujudan Israel, satu dakwaan yang disangkal oleh UNRWA, dan Israel juga menuduh agensi itu berada di bawah pengaruh Hamas.

Ekoran perkembangan terbaru, Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz, pada 3 Februari telah menyeru UNRWA agar menghentikan tugasnya di Gaza selepas kempen ketenteraan Israel di sana berakhir.

Beliau akan mendapatkan sokongan untuk matlamat itu, daripada Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat dan lain-lain negara.

UNRWA secara konsisten menegaskan pendirian berkecualinya. Kadangkala ia juga mengkritik Hamas kerana menggunakan kemudahannya untuk menyimpan senjata.

Menurut laman web agensi itu, ia telah mengenakan tindakan disiplin dan malah memecat kakitangan yang terlibat dalam aktiviti politik yang tidak sesuai.

UNRWA juga berkongsi senarai pekerjanya dengan pemerintah serantau termasuk Israel.

Lewat 2023, kumpulan itu menuduh Hamas telah “memindahkan simpanan minyak dan peralatan perubatan daripada pekarangan agensi di Bandar Gaza,” dan sebagai tindakan susulan, ia kemudian memindahkan pusat simpanan itu.

“Pihak keselamatan Israel sejak dulu lagi berpendapat bahawa UNRWA perlu ditiadakan,” kata Cik Anne Irfan, pengarang sebuah buku tentang UNRWA dan pelarian Palestin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >