Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

UNRWA siap tutup operasi di Baitulmakdis atas arahan Israel

Jan 28, 2025 | 2:05 PM
Pemerintah Israel mengarahkan UNRWA mengosongkan perkarangan dan menghentikan operasinya di Baitulmakdis Timur di bawah undang-undang yang melarang agensi itu beroperasi di negaranya.
Pemerintah Israel mengarahkan UNRWA mengosongkan perkarangan dan menghentikan operasinya di Baitulmakdis Timur di bawah undang-undang yang melarang agensi itu beroperasi di negaranya. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Puluhan ribu pelarian Palestin di Baitulmakdis Timur dijangka kehilangan peluang pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan lain yang disediakan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) kerana larangan Israel berkuat kuasa pada 30 Januari.

Pemerintah Israel mengarahkan UNRWA mengosongkan perkarangan dan menghentikan operasinya di Baitulmakdis Timur di bawah undang-undang yang melarang agensi itu dan pihak berkuasa Israel mempunyai hubungan dengannya.

Di pejabat UNRWA di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah Baitulmakdis Timur, pekerja sedang mengemas barang-barang dan memuatkan bangunan mudah alih ke atas trak pada 27 Januari.

“Ia adalah keputusan yang tidak boleh diterima,” kata jurucakap UNRWA, Encik Jonathan Fowler.

“Kami tidak dapat memberitahu mereka yang memanfaatkan khidmat kami apa yang akan berlaku setakat akhir minggu ini,” tambahnya.

Israel belum mengumumkan peruntukan untuk menggantikan aktiviti UNRWA, dan pejabat perdana menteri Israel tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

UNRWA selama beberapa dekad mengendalikan sekolah dan klinik di Baitulmakdis Timur, bahagian timur bandar yang diduduki Israel sejak perang 1967, untuk puluhan ribu pelarian Palestin yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

“Kami mempunyai segala-galanya di sini. Apabila saya mendengar ia akan ditutup, saya sangat sedih kerana di sini adalah tempat untuk orang yang memerlukan dan untuk orang yang tidak mempunyai wang untuk membayar ubat,” kata Cik Sara Saeed di pusat perubatan UNRWA di Kota Lama Baitulmakdis.

Pusat perubatan itu menyediakan kemudahan rawatan kepada 30,000 pelarian. Antaranya ialah bagi pesakit diabetes dan darah tinggi, wanita hamil dan kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin.

“Ke mana mereka hendak pergi selepas ini?” tanya ketua jururawat Encik Manal AlKhayat.

UNRWA juga beroperasi di Tebing Barat yang diduduki Israel dan Gaza tetapi tidak jelas bagaimana undang-undang itu akan menjejas operasinya di sana.

Agensi itu ditubuhkan 75 tahun yang lalu, berkhidmat kepada kira-kira 750,000 pelarian Palestin yang terjejas ketika perang pada 1948 dan penciptaan negara Israel.

Agensi itu telah lama menjadi duri di mata pemerintah Israel yang menganggap agensi itu secara asasnya memusuhi Israel.

Israel menuduh agensi itu berat sebelah, anti-Israel dan sesetengah kakitangannya menganggotai Hamas, kumpulan yang melancarkan serangan rentas sempadan maut ke atas Israel pada 7 Oktover 2023. UNRWA telah menafikannya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg