Konflik antara Israel dengan Hezbollah, berada dalam keadaan berbahaya selepas lebih lapan bulan pertempuran yang dicetuskan oleh perang Gaza.
Paling jelas, permusuhan antara kedua-dunya semakin memuncak dengan setiap pihak memberi isyarat kesediaan untuk menghadapi penentangan lebih besar.
Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata pada 4 Jun, Washington tidak mahu melihat perang besar-besaran dan ia sedang cuba untuk meneruskan penyelesaian diplomatik, sambil menambah Israel mempunyai hak mempertahankan diri daripada Hezbollah yang disokong Iran.
Tetapi tekanan politik semakin meningkat di Israel, agar tindakan lebih tegas terhadap kumpulan bersenjata berat itu diambil.
Hezbollah mula berperang dengan Israel pada 8 Oktober, sehari selepas gerakan Hamas menyerang selatan Israel dan mencetuskan perang Gaza.
Hezbollah, sekutu Hamas, berkata serangannya bertujuan menyokong rakyat Palestin di bawah pengeboman Israel di Gaza.
Keganasan itu adalah sebahagian daripada limpahan serantau dalam perang Gaza, yang telah menarik militan yang disokong Iran di seluruh rantau itu.
Hezbollah secara meluas dianggap sebagai ahli paling berkuasa dalam rangkaian yang disokong Iran, yang dikenali sebagai Axis of Resistance.
Walaupun dikaitkan dengan Gaza, konflik itu mempunyai dinamiknya sendiri.
Israel dan Hezbollah telah berperang banyak kali. Yang terakhir pada 2006.
Israel telah lama melihat Hezbollah sebagai ancaman terbesar di sempadannya dan amat bimbang dengan senjatanya yang semakin meningkat, dan gerakan yang telah ditubuhkan di Syria.
Ideologi Hezbollah sebahagian besarnya ditakrifkan oleh konflik dengan Israel.
Ia diasaskan oleh Pengawal Revolusi Iran pada 1982, untuk memerangi tentera Israel yang telah menyerang Lebanon pada tahun itu, dan melancarkan perang gerila selama bertahun-tahun, yang menyebabkan Israel berundur dari selatan Lebanon pada tahun 2000.
Hezbollah menganggap Israel sebagai negara tidak sah, yang ditubuhkan di tanah Palestin yang didudukinya dan ingin melihat Israel lenyap.
Konflik itu telah menjejas kedua-dua belah pihak.
Puluhan ribu orang terpaksa meninggalkan rumah mereka di kedua-dua belah sempadan.
Serangan udara Israel telah melanda kawasan Hezbollah beroperasi di selatan Lebanon dan melanda Lembah Bekaa, berhampiran sempadan Syria.
Israel juga kadang-kadang menyerang tempat lain, terutamanya membunuh seorang komander kanan Hamas di Beirut, pada 2 Januari.
Serangan Israel telah membunuh sekitar 300 anggota kumpulan Hezbollah di Lebanon – lebih ramai daripada yang tewas pada 2006, berdasarkan pengiraan Reuters.
Kira-kira 80 orang awam telah terbunuh.
Serangan dari Lebanon telah membunuh 18 askar Israel dan 10 orang awam, kata Israel.
Walaupun keganasan permusuhan itu masih dilihat sebagai konfrontasi yang agak terkawal, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata pada 5 Jun, Israel bersedia untuk tindakan keras di utara.
Beliau memberi amaran pada Disember bahawa Beirut akan bertukar “menjadi Gaza” jika Hezbollah memulakan perang habis-habisan.
Timbalan pemimpin Hezbollah, Sheikh Naim Qassem, memberi isyarat pada 4 Jun bahawa kumpulan itu tidak berusaha untuk meluaskan konflik tetapi berkata Hezbollah bersedia memerangi sebarang peperangan yang dikenakan ke atasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg