NEW YORK: Para pemimpin dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru Israel agar mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan perang besar di Lebanon, sehari selepas pihak berkuasa Beirut melaporkan serangan Israel meragut nyawa sekurang-kurangnya 558 orang, termasuk 50 kanak-kanak.
“Perang berskala penuh tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa. Walaupun keadaan semakin tegang, penyelesaian diplomatik masih boleh dicapai,” kata Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, dalam ucapannya.
Beliau turut menekankan bahawa penyelesaian diplomatik adalah satu-satunya cara untuk mencapai keamanan berpanjangan, yang membolehkan rakyat kedua-dua negara kembali ke rumah mereka dengan selamat, terutama di kawasan sempadan yang terjejas.
Kenyataan itu dibuat sebelum sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB, yang akan membincangkan situasi di Lebanon, dijadual berlangsung pada 25 September.
Pemimpin dunia sedang berkumpul di New York seiring senarai konflik dan krisis sejagat yang semakin meningkat untuk dibincangkan.
Perhimpunan Agung tahunan PBB itu berlangsung dengan agenda berlatar krisis perang yang semakin teruk di Timur Tengah dan konflik lain di pelbagai bahagian dunia.
Menteri Luar Lebanon, Encik Abdullah Bou Habib, menzahirkan kekecewaan dengan kenyataan Encik Biden itu, yang disifatkannya sebagai “tidak akan menyelesaikan masalah Lebanon”.
Beliau sekali gus menganggarkan bilangan penduduk Lebanon yang hilang tempat tinggal akibat serangan Israel terus melonjak menghampiri angka setengah juta orang.
“Dunia kita berada dalam puting beliung,” kata Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, dalam ucapan pembukaannya untuk menunjukkan cabaran sejagat, termasuk peperangan yang “meruncing tanpa petunjuk bagaimana ia akan berakhir”.
Encik Guterres, seorang pengkritik kuat serangan Israel ke atas Gaza, berkata “kita semua harus cemas dengan peningkatan ketegangan” di Lebanon, yang menyaksikan Israel menyasarkan Hezbollah untuk mencegah serangan pengganas.
“Rakyat Lebanon, rakyat Israel dan penduduk dunia tidak mampu menjadikan Lebanon satu lagi Gaza,” ujarnya.
Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, duduk bersama delegasi Palestin, yang ditempatkan mengikut susunan abjad, pada Perhimpunan Agung itu, untuk kali pertama.
Menteri Luar Britain, Encik David Lammy, turut menyuarakan kebimbangan terhadap krisis semakin buruk di Lebanon itu.
“Saya amat khuatir mengenai risiko peningkatan ketegangan itu dan ia merebak menjadi konflik serantau yang lebih meluas,” katanya kepada AFP.
Qatar, yang bertindak sebagai perantara, menuduh Israel menghalang rundingan gencatan senjata di Gaza, dengan Amir Sheikh Tamim Hamad Al-Thani menekankan “tiada rakan Israel untuk keamanan” di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu.
Ramai pemimpin lain bercakap tentang konflik Timur Tengah, termasuk dari Afrika Selatan, negara yang telah membawa kes pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel ke Mahkamah Dunia.
“Kami orang Afrika Selatan tahu rupa aparteid,” kata Presiden Cyril Ramaphosa, merujuk kepada layanan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Kami tidak akan berdiam diri melihat aparteid dilakukan terhadap orang lain.”
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, berkata: “Sama seperti Hitler dihalang oleh pakatan kemanusiaan 70 tahun lalu, Netanyahu dan rangkaian pembunuhannya mesti dihentikan oleh ‘pakatan kemanusiaan’.”
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskyy, telah meminta sokongan untuk “rancangan kemenangannya” daripada pemimpin dunia sebelum membentangkannya kepada Presiden Biden di Washington pada 26 September.
“Russia hanya boleh dipaksa untuk berdamai, dan itulah yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata Korea Utara dan Iran bersekongkol dengan Russia kerana membekalkan senjata kepadanya.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata sokongan kepada Russia “bukan jalan sehala”, dan Russia membalas dengan komitmen ketenteraan, perkongsian teknologi dan wang.
“Dan semakin banyak Putin memberi kepada Pyongyang dan Teheran, semakin beliau memburukkan ancaman terhadap keamanan dan keselamatan – bukan sahaja di Eropah, malah di Indo-Pasifik, di Timur Tengah, namun di seluruh dunia,” kata Encik Blinken.
Duta Russia di PBB, Encik Vassily Nebenzia, mengkritik Majlis Keselamatan kerana menjadi tuan rumah kepada Encik Zelenskyy.
Tidak banyak butiran tentang rancangan kemenangan Encik Zelenskyy, tetapi beliau memberitahu, ABC News, bahawa ia adalah “jambatan kepada cara diplomatik untuk menghentikan perang” dan “bukan menerusi rundingan dengan Russia”.
Encik Biden berkata Encik Putin telah gagal dalam perang kerana Ukraine kekal bebas dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) telah berkembang dari segi saiz dan kekuatan.
Perhimpunan itu turut memberi perhatian terhadap perang saudara di Sudan yang telah menyebabkan 10 juta orang kehilangan tempat tinggal dan 15,000 orang terbunuh. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg