BEIRUT: Serangan udara Israel di Beirut membunuh seorang komander kanan Hezbollah pada 24 September, ketika serangan roket rentas sempadan oleh kedua-dua belah pihak meningkatkan kebimbangan meletusnya perang di Timur Tengah.
Lebanon berkata hanya Washington boleh membantu menamatkan pertempuran melibatkan kedua-dua belah pihak.
Hezbollah mengesahkan komander kanannya, Encik Ibrahim Qubaisi, terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Beirut pada 24 September.
Israel mendakwa Encik Qubaisi mengetuai pasukan peluru berpandu dan roket kumpulan itu.
Serangan Israel sejak pagi 23 September telah membunuh 569 orang, termasuk 50 kanak-kanak, dan mencederakan 1,835 orang di Lebanon, kata Menteri Kesihatan, Encik Firass Abiad, kepada media.
Serangan baru terhadap Hezbollah telah mencetuskan kebimbangan konflik hampir setahun antara Israel dengan kumpulan Palestin, Hamas, di Gaza semakin memuncak dan boleh menjejas kestabilan Timur Tengah.
Ekorannya, Britain menggesa rakyatnya supaya meninggalkan Lebanon dan berkata ia sedang memindahkan 700 askar ke Cyprus untuk membantu rakyatnya berpindah.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia akan mengadakan mesyuarat pada 25 September untuk membincangkan konflik tersebut.
“Penduduk Lebanon, rakyat Israel, dan penduduk dunia tidak mampu menjadikan Lebanon satu lagi Gaza,” kata Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres.
Di Perhimpunan Agung PBB, Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, meminta semua pihak supaya bertenang.
“Peperangan berskala penuh bukan kepentingan sesiapa. Walaupun keadaan semakin tegang, penyelesaian diplomatik masih boleh dicapai,” kata beliau.
Menteri Luar Lebanon, Encik Abdallah Bou Habib, mengkritik ucapan Encik Biden sebagai “tidak kuat, tidak menjanjikan”, dan berkata Amerika adalah satu-satunya negara “yang benar-benar boleh membawa perubahan di Timur Tengah, khususnya di Lebanon”.
Washington ialah sekutu kuat dan pembekal senjata terbesar kepada Israel.
Di Beirut, beribu-ribu orang yang melarikan diri dari selatan Lebanon berlindung di sekolah dan bangunan lain.
Di Institut Teknikal Bir Hassan, sukarelawan membawa botol air, ubat-ubatan dan bekalan lain untuk mereka yang mendapatkan perlindungan.
Setengah juta orang dianggarkan telah kehilangan tempat tinggal di Lebanon, kata Encik Bou Habib. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg