NEW YORK: Pasukan keselamatan Israel dan Russia telah disenaraihitamkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung keganasan seksual yang berlaku dalam konflik, berdasarkan laporan yang dilihat agensi berita, AFP, pada 28 Mei.

Senarai tahunan PBB itu merangkumi puluhan negara dan kumpulan bukan negara yang disyaki terlibat “secara sistematik” dalam keganasan seksual di zon konflik sejagat, seperti Sudan, Haiti, Republik Demokratik Congo (DRC), Myanmar, Syria, dan Mali.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, telah mengeluarkan amaran kepada Israel dan Russia mengenai kemungkinan penyenaraian mereka seawal Ogos 2025.

Walaupun amaran telah dibuat, laporan yang diedarkan kepada anggota Majlis Keselamatan PBB itu menyatakan bahawa “kejadian dan corak keganasan seksual terus didokumentasikan” dalam peperangan di Ukraine dan di wilayah Palestin yang diduduki.

Para penyiasat PBB turut berdepan “sekatan akses berterusan” daripada pihak berkuasa di kedua-dua negara.

Laporan tersebut mendokumentasikan secara khusus “corak keganasan seksual (Israel) terhadap warga Palestin yang ditahan di Israel dan Wilayah Palestin yang Diduduki pada 2025”.

PBB menjelaskan bahawa kes yang disahkan hanyalah petunjuk kepada trend berbilang tahun dan tidak “menyeluruh” disebabkan sekatan akses ke pusat tahanan Israel.

Meskipun begitu, PBB pada 2025 mengesahkan pelbagai kes keganasan seksual sejak 2023, “termasuk sebagai satu bentuk penyeksaan”, terhadap 14 lelaki, tujuh wanita, sembilan kanak-kanak lelaki, dan seorang kanak-kanak perempuan di Jaluran Gaza serta di Tebing Barat.

Pelanggaran itu termasuk rogol menggunakan objek, rogol berkumpulan, dipaksa bertelanjang, serta pemeriksaan badan yang dijalankan “tanpa alasan keselamatan yang jelas”.

PBB menyatakan tindakan keganasan itu dilakukan oleh anggota tentera, pasukan keselamatan, dan perkhidmatan penjara Israel.

Pada pagi 28 Mei, Israel mengutuk keputusan Encik Guterres sebagai “memalukan dan tidak munasabah”, menuduhnya cuba “mewujudkan keseimbangan palsu” dengan Hamas yang turut disenaraikan.

“Hubungan kami dengan Setiausaha Agung ini sudah berakhir,” tegas Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, melalui hantaran di laman X.

Kenyataan tersebut menandakan “pembekuan” hubungan antara Israel dengan pejabat Setiausaha Agung sehingga tempoh jawatan Encik Guterres tamat pada 31 Disember.

Beliau menolak dakwaan sekatan akses oleh PBB, sebaliknya menegaskan wakil pertubuhan itu diundang untuk menyiasat di Israel namun “memilih untuk tidak datang; sebaliknya meneruskan kempen menentang Israel”.

Sementara itu, mengenai Russia, laporan tersebut menyerlahkan keganasan seksual oleh angkatan tentera dan perkhidmatan penjara di wilayah Ukraine yang diduduki serta di dalam Russia sendiri, terutama terhadap tawanan perang.

Berdasarkan Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia di Ukraine, laporan itu memetik 310 kes keganasan seksual berkait konflik, termasuk rogol dan renjatan elektrik, yang sebahagian besarnya dialami oleh kaum lelaki. – AFP.