Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel sahkan calon ketua baru Hezbollah dibunuh

Israel dakwa Hashem Safieddine terbunuh dalam serangan tiga minggu lalu di pinggir selatan Beirut
Oct 23, 2024 | 2:24 PM
Tentera Israel mengesahkan ia telah membunuh, Encik Hashem Safieddine, pewaris pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, yang terbunuh dalam serangan Israel pada 27 September. 
Tentera Israel mengesahkan ia telah membunuh, Encik Hashem Safieddine, pewaris pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, yang terbunuh dalam serangan Israel pada 27 September.  - Foto AFP

TEL AVIV: Israel mengesahkan ia telah membunuh, Encik Hashem Safieddine, pewaris sah pemimpin Hezbollah Encik Hassan Nasrallah, yang sebelum ini terbunuh dalam serangan Israel.

Dalam satu kenyataan pada 22 Oktober, tentera Israel berkata Encik Safieddine terbunuh dalam serangan yang dilakukan tiga minggu lalu di pinggir selatan Beirut.

Pada qwal Oktober, Israel berkata beliau mungkin telah disingkirkan.

Tiada maklum balas segera daripada Hezbollah berikutan kenyataan Israel bahawa ia telah membunuh Encik Safieddine.

Israel telah meningkatkan serangan di Lebanon selepas setahun pertempuran sempadan dengan Hezbollah, pasukan bersenjata proksi Iran yang paling hebat di seluruh Timur Tengah.

Kumpulan itu telah bertindak menyokong Hamas yang memerangi Israel di Gaza tetapi agak kucar-kacir akibat pembunuhan komander kanannya dalam serangan udara Israel dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Encik Safieddine, saudara kepada Encik Nasrallah, dilantik ke Majlis Jihad Hezbollah – badan yang bertanggungjawab bagi operasi ketenteraan dan majlis eksekutifnya, yang menyelia hal ehwal kewangan dan pentadbiran kumpulan itu.

Encik Safieddine mengambil alih peranan penting dengan bercakap bagi pihak Hezbollah pada tahun terakhir permusuhan dengan Israel, menguruskan pengebumian dan acara lain yang tidak dapat dihadiri oleh Encik Nasrallah atas sebab keselamatan.

Israel setakat ini tidak menunjukkan sebarang tanda untuk mengalah dalam kempen ketenteraannya di Gaza dan Lebanon walaupun selepas membunuh beberapa pemimpin Hamas dan Hezbollah, yang kehilangan Encik Nasrallah, setiausaha agungnya yang berkuasa, dalam serangan udara pada 27 September.

Diplomat berkata Israel berhasrat mengukuhkan kedudukannya sebelum pentadbiran baru Amerika Syarikat mengambil alih kuasa selepas pilihan raya pada 5 November.

Di Tel Aviv, Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, memberitahu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 22 Oktober bahawa Israel setakat ini tidak mengambil langkah yang mencukupi untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan menggesanya supaya segera berbuat demikian.

Encik Blinken, yang kini dalam rangka lawatan ke Timur Tengah, mengadakan perbincangan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza dengan Encik Netanyahu dan pemimpin kanan Israel yang lain, yang komited untuk bertindak atas permintaan Amerika, kata pegawai Jabatan Negara yang tidak mahu namanya disiarkan.

Baru-baru ini, Encik Blinken dan Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, telah menulis surat kepada para pemimpin Israel, mendesak mereka mengambil lebih banyak langkah bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza atau menghadapi kemungkinan sekatan terhadap bantuan ketenteraan Amerika.

Ia adalah salah satu amaran paling kuat sejak perang Israel dengan Hamas meletus pada Oktober 2023.

Dalam kunjungan terbarunya itu, Encik Blinken juga cuba menghidupkan semula rundingan gencatan senjata selepas gagal berulang kali untuk menjadi perantara antara Israel dengan Hamas. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg