Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden UAE, Trump bincang gencatan senjata Gaza

Mar 26, 2025 | 12:41 PM
Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump dilaporkan berbincang menerusi panggilan telefon mengenai usaha mencapai gencatan senjata di Gaza. 
Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump dilaporkan berbincang menerusi panggilan telefon mengenai usaha mencapai gencatan senjata di Gaza.  - Foto Reuters

ABU DHABI: Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilaporkan berbincang menerusi panggilan telefon mengenai usaha mencapai gencatan senjata di Gaza, menurut agensi berita negara Emirati WAM pada 25 Mac, ketika Israel menyambung semula kempen ketenteraan di wilayah itu minggu lalu.

Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, menamatkan gencatan senjata selama dua bulan yang rapuh itu.

Hampir 700 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh angkara serangan Israel, menurut pegawai kesihatan Palestin.

Dalam panggilan telefon dengan Encik Trump, presiden UAE itu juga menggesa agar bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk Gaza.

Beliau juga melahirkan sokongan terhadap gagasan penyelesaian dua negara bagi merungkaikan konflik Palestin-Israel, lapor WAM.

Kedua-dua pemimpin juga menyemak hasil lawatan rasmi ke Washington minggu lalu oleh penasihat keselamatan negara UAE, Sheikh Tahnoon Zayed Al-Nahyan.

Perjanjian penting antara kedua-dua negara dicapai semasa lawatannya itu. Ini termasuk dalam bidang kecerdasan buatan, teknologi canggih, infrastruktur dan tenaga.

Pada awal Februari, Encik Trump telah membentangkan rancangan membangunkan Gaza sebagai “Riviera Timur Tengah” yang melibatkan pemindahan penduduk Palestin secara paksa ke Mesir dan Jordan.

Kedua-dua negara itu sekeras-kerasnya menolak cadangan Encik Trump yang mereka sifatkan sebagai tindakan pembersihan etnik di Gaza.

Malah, cadangan itu mendapat kecaman daripada ramai pemimpin global termasuk negara-negara Islam.

Negara-negara Arab termasuk UAE mengguna pakai pelan pembinaan semula alternatif Mesir untuk Gaza yang akan menelan belanja AS$53 bilion ($70.8 bilion) dan sekali gus mengelak penduduk Palestin daripada dipindahkan.

Laporan WAM tidak menyebut sama ada kedua-dua pemimpin itu menyentuh rancangan tersebut dalam perbincangan mereka.

Penasihat diplomatik kepada presiden UAE, Encik Anwar Gargash, dipetik sebagai berkata pada 26 Februari bahawa rancangan pembinaan semula Gaza tidak boleh berlaku tanpa laluan yang jelas kepada penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin.

UAE adalah antara beberapa negara Arab yang menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel pada 2020 dalam perjanjian yang diperantarakan oleh Amerika di bawah pentadbiran penggal pertama Encik Trump.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata serangan darat dan udara Israel di Gaza yang disambung semula minggu lalu telah sejauh ini membunuh lebih 50,000 orang.

Peperangan yang berlanjutan lebih setahun itu menyebabkan sebahagian besar wilayah Palestin itu musnah dan menyebabkan 2.3 juta penduduk Palestin mengalami masalah kebuluran akibat kekurangan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza.

Perang meletus pada 7 Oktober 2023 apabila pejuang Hamas menyerbu merentasi sempadan selatan Israel, membunuh lebih 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg