Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu ulangi ancaman rampas tanah di Gaza jika Hamas tidak bebaskan tebusan

Mar 27, 2025 | 4:25 PM
Rakyat Palestin mengambil bahagian dalam protes anti-Hamas, menyeru penamatan perang dengan Israel, di Beit Lahia di utara Gaza pada 26 April 2025.
Rakyat Palestin mengambil bahagian dalam protes anti-Hamas, menyeru penamatan perang dengan Israel, di Beit Lahia di utara Gaza pada 26 April 2025. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sekali lagi memberi amaran bahawa Israel akan merampas tanah di Gaza jika Hamas tidak membebaskan saki baki tebusannya di tengah-tengah protes anti-Hamas masuk hari kedua, menyeru agar peperangan dihentikan.

Kenyataan Encik Netanyahu itu dibuat seminggu selepas Israel memulakan semula operasi ketenteraannya di Gaza. Pertempuran itu sekali gus menamatkan gencatan senjata yang singkat tetapi rapuh bermula pada 19 Januari.

“Semakin Hamas meneruskan keengganannya untuk membebaskan tebusan kami, semakin kuat penindasan yang akan kami lakukan,” kata Encik Netanyahu dalam sidang di Parlimen.

“Saya menyatakan ini kepada rakan sekerja saya di Knesset, dan saya juga menyatakannya kepada Hamas: ini termasuk rampasan wilayah, bersama-sama dengan langkah lain yang saya tidak akan huraikan di sini,” katanya.

Dalam satu perkembangan lain, beribu-ribu rakyat Palestin berarak melalui runtuhan sebuah bandar yang musnah di utara Gaza pada 26 Mac, menandakan hari kedua protes anti-perang.

Ramai penunjuk perasaan menyuarakan kemarahan terhadap Hamas.

Protes itu, kebanyakannya di utara Gaza, menggesa supaya menamatkan 17 bulan konflik maut dengan Israel, kerana perang telah menyebabkan kehidupan tidak tertanggung di wilayah itu.

Kritikan terbuka terhadap Hamas jarang berlaku di Gaza, di mana kumpulan itu telah menindas secara ganas perbezaan pendapat pada masa lalu.

Di Beit Lahiya yang menyaksikan protes juga meletus pada 25 Mac, seramai kira-kira 3,000 orang berarak, melaungkan, “Rakyat mahukan kejatuhan Hamas.”

Di kawasan kejiranan Shijaiyah yang dilanda perang di Bandar Gaza, berpuluh-puluh lelaki menjerit, “Keluar, keluar, keluar! Hamas, keluar!”

“Anak-anak kami telah dibunuh. Rumah kami telah musnah,” kata Encik Abed Radwan, sambil menambah bahawa beliau menyertai protes di Beit Lahiya bagi “menentang perang, menentang Hamas dan puak (politik Palestin), menentang Israel, dan menentang sikap dunia yang memandang sepi terhadap masalah kami”.

Perang meletus pada 7 Oktober apabila pejuang Hamas menyerang secara mengejut selatan Israel, membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan balas dan berterusan Israel sehingga kini telah membunuh lebih 49,000 rakyat Palestin, kebanyakan orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.

Perang juga menyebabkan wilayah Palestin itu hampir musnah sepenuhnya dan menyebabkan krisis kemanusiaan - kelaparan, penyakit berjangkit, kekurangan ubat-ubatan dan keperluan asas akibat bantuan sama ada disekat atau jauh daripada memenuhi keperluan penduduk Gaza. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg