Israel sasar komander pasukan keselamatan dalaman Iran, Basij

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel sasar komander pasukan keselamatan dalaman Iran, Basij

Mar 18, 2026 | 12:20 PM

Israel sasar komander pasukan keselamatan dalaman Iran, Basij

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
israel, komander, iran, basij
Encik Gholamreza Soleimani, komander Basij Iran, terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan kepimpinan keselamatan negara itu. - Foto AFP

TEL AVIV/TEHERAN: Israel mengumumkan pada 17 Mac bahawa pihaknya telah membunuh komander militia Basij Iran, Encik Gholamreza Soleimani, dalam siri serangan yang menyasarkan teras sistem keselamatan Iran ketika perang Asia Barat memasuki minggu ketiga.

Pembunuhan Encik Soleimani itu dilaksanakan serentak dengan pembunuhan Ketua Keselamatan Iran, Encik Ali Larijani, dalam serangan Israel yang menyasarkan kepimpinan tertinggi negara itu.

Tentera udara Israel dalam satu kenyataan berkata ia telah melancarkan serangan terhadap kedudukan Basij di sekitar Teheran.

“Angkatan udara telah menyerang anggota dan posisi unit Basij yang ditempatkan di seluruh Teheran dalam beberapa jam kebelakangan ini,” menurut kenyataan itu, yang turut disertakan dengan rakaman video serangan.

Kematian Encik Soleimani kemudian disahkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), yang menyatakan beliau terbunuh dalam serangan oleh “musuh Amerika-Zionis”.

“Komander unit Basij, Gholamreza Soleimani, telah syahid dalam serangan musuh Amerika-Zionis,” menurut kenyataan IRGC yang disiarkan agensi berita Tasnim.

Basij merupakan pasukan separa tentera sukarelawan di bawah IRGC yang ditubuhkan selepas Revolusi Islam 1979 dan berperanan mengekalkan keselamatan dalaman negara.

Pasukan ini mempunyai rangkaian luas di seluruh Iran, termasuk di kawasan perumahan, universiti dan tempat kerja, sekali gus menjadikannya antara instrumen utama pemerintah dalam memantau dan mengawal masyarakat.

Basij juga sering dikerahkan untuk mengekang protes, termasuk demonstrasi antipemerintah yang tercetus pada Januari lalu serta protes besar pada 2009 yang dipertikaikan sebagai pilihan raya yang dicemari penipuan.

Menurut anggaran, pasukan ini mempunyai sehingga satu juta anggota aktif dan simpanan, menjadikannya antara struktur keselamatan paling besar dan berpengaruh di Iran.

Serangan terhadap Basij dilihat sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas oleh Amerika Syarikat dan Israel untuk melemahkan bukan sahaja kekuatan ketenteraan Iran, tetapi juga rangkaian keselamatan dalaman yang menjadi tunjang kepada kelangsungan pemerintah.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa pembunuhan tokoh kanan Iran bertujuan membuka ruang kepada kebangkitan rakyat.

“Kami sedang melemahkan rejim ini dengan harapan memberi peluang kepada rakyat Iran untuk menyingkirkannya,” katanya.

Tentera Israel turut memaklumkan bahawa serangan terkini menyasarkan lebih 10 lokasi berbeza di Teheran, termasuk pusat pemeriksaan yang dikendalikan Basij.

“Kemusnahan terhadap komander unit ini serta serangan berterusan telah memberi kesan besar terhadap keupayaan Basij,” menurut kenyataan tentera Israel.

Basij telah lama dikaitkan dengan tindakan keras terhadap penentang pemerintah.

Kumpulan hak asasi manusia menuduh pasukan itu memainkan peranan utama dalam menindas protes besar-besaran, termasuk insiden di mana ribuan orang dilaporkan terbunuh.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kehadiran Basij di jalanan dilaporkan semakin meningkat, dengan penubuhan sekatan jalan raya di Teheran dan bandar lain sebagai langkah mengawal keselamatan.

Langkah keselamatan dipertingkat ketika pihak berkuasa Iran bersiap sedia menghadapi kemungkinan bantahan awam menjelang sambutan Nowruz, tahun baharu Parsi.

Dalam suasana itu, pengumuman kematian Encik Soleimani dan Encik Larijani dibuat, sekali gus menambah ketegangan.

Pemerintah turut memberi amaran kepada rakyat agar tidak keluar ke jalanan, dengan alasan wujud ancaman daripada ejen Israel yang didakwa mahu mencetuskan kekacauan.

Walaupun serangan yang menyasarkan kepimpinan tertinggi dilihat sebagai signifikan, penganalisis berpendapat kesannya terhadap kestabilan pemerintah Iran masih tidak menentu.

Ini kerana struktur keselamatan negara itu dianggap kukuh, berakar umbi dan didorong oleh ideologi yang kuat.

Setakat ini, tiada tanda jelas bahawa sistem keselamatan Iran akan runtuh dalam masa terdekat, walaupun berdepan serangan berterusan ke atas kemudahan ketenteraan, risikan dan polis.

Sebaliknya, Basij dilaporkan terus memperluas kehadiran di lapangan sebagai langkah mempertahankan kawalan dalaman. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg