Trump dakwa Mojtaba Khamenei cedera, Netanyahu suarakan ancaman bunuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump dakwa Mojtaba Khamenei cedera, Netanyahu suarakan ancaman bunuh

Mar 13, 2026 | 3:18 PM

Trump dakwa Mojtaba Khamenei cedera, Netanyahu suarakan ancaman bunuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Muslim Syiah memegang poster pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, bersama poster bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, ketika menyertai perarakan keagamaan memperingati ulang tahun kewafatan Imam Ali, menantu Nabi Muhammad SAW, semasa bulan Ramadan di Karachi, Pakistan, pada 11 Mac 2026. REUTERS/Imran Ali.
Muslim Syiah memegang poster pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, bersama poster bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, ketika menyertai perarakan keagamaan memperingati ulang tahun kewafatan Imam Ali, menantu Nabi Muhammad SAW, semasa bulan Ramadan di Karachi, Pakistan, pada 11 Mac 2026. REUTERS/Imran Ali. - Foto REUTES

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau percaya pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, masih hidup tetapi mengalami kecederaan selepas perang antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran tercetus pada 28 Februari lalu.

Ayatollah Khamenei dilantik sebagai pemimpin tertinggi Iran pada8 Mac lalu oleh sebuah majlis pemimpin agam, beberapa hari selepas bapanya yang juga pemimpin tertinggi sebelum ini terbunuh pada hari pertama serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

Sejak pelantikannya, Ayatollah Khamenei tidak dilihat di khalayak ramai. Kenyataan pertamanya kepada rakyat Iran hanya disampaikan melalui seorang penyampai televisyen negara pada 12 Mac.

Menurut seorang pegawai Iran yang dipetik oleh Reuters pada 11 Mac, pemimpin tertinggi baharu itu mengalami kecederaan ringan namun masih menjalankan tugasnya seperti biasa. Televisyen negara Iran sebelum ini menggambarkan beliau sebagai “cedera akibat peperangan”.

Encik Trump berkata beliau percaya Ayatollah Khamenei masih hidup walaupun mengalami kecederaan.
“Saya fikir dia mungkin masih hidup. Saya rasa dia cedera, tetapi saya percaya dia masih hidup dalam satu keadaan,” kata Encik Trump dalam wawancara bersama Fox News menerusi rancangan The Brian Kilmeade Show. Kenyataan itu disiarkan oleh Fox News lewat 12 Mac.

Dalam mesej pertamanya selepas dilantik, Ayatollah Khamenei berikrar untuk terus menutup Selat Hormuz, laluan strategik utama bagi perdagangan minyak dunia.

Beliau juga memberi amaran kepada negara-negara jiran supaya menutup pangkalan tentera Amerika Syarikat di wilayah mereka atau berdepan risiko menjadi sasaran serangan Iran. “Kami akan mempertahankan negara ini dan bertindak balas terhadap sebarang ancaman,” menurut kenyataan yang dibacakan bagi pihak beliau.

Perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran bermula pada 28 Februari apabila Washington dan Tel Aviv melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran di Iran.

Teheran kemudiannya bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat.

Kini, konflik tersebut menghampiri minggu kedua dengan ribuan orang dilaporkan terbunuh, selain menggoncang pasaran kewangan global dan mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan bekalan tenaga dunia.

Walaupun tekanan antarabangsa semakin meningkat agar konflik dihentikan, pemimpin Iran, Israel dan Amerika Syarikat masing-masing menunjukkan sikap tegas dan memberi isyarat bahawa mereka bersedia meneruskan peperangan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada 12 Mac menyuarakan ancaman tersirat untuk membunuh Ayatollah Khamenei.

Namun pada masa sama, Netanyahu mengaku perang yang dilancarkan Israel bersama Amerika Syarikat ke atas Iran berkemungkinan tidak akan membawa kepada kejatuhan pemerintahan pemimpin agama Teheran.

Bercakap pada sidang media pertamanya sejak perang itu meletus, Encik Netanyahu mendakwa bahawa Iran ‘kini tidak lagi sama’ selepas berdepan serangan sejak 28 Februari lalu yang menjejaskan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan pasukan separa tentera Basij.

Selain itu, Encik Netanyahu berikrar untuk terus melancarkan serangan terhadap kumpulan Hezbuollah di Lebanon yang bertindak balas terhadap Israel atas pembunuhan Pemimpin Agung Iran sebelum ini, Ayatollah Ali Khamenei.

Ketika menjawab soalan melalui pautan video, Encik Netanyahu turut ditanya mengenai tindakan yang mungkin akan diambil Israel terhadap Ayatollah Khamenei dan pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem.

“Saya tidak berhasrat untuk memberikan laporan tepat di sini mengenai perancangan kami atau apa yang kami akan lakukan,” katanya tatkala kedengaran gema bunyi siren amaran serangan peluru berpandu dari Iran ke Israel.

Ditanya sama ada Israel membekalkan senjata kepada pembangkang Iran dan juga perihal tindakan Tel Aviv berkemungkinan akan gagal meruntuhkan pemerintah Iran ketika ini pula, Encik Netanyahu mendakwa bahawa pemerintah Iran tetap akan lemah walaupun jika tidak dapat dijatuhkan.

“Saya tidak akan memperincikan tindakan yang kami sedang ambil. Kami sedang mencipta keadaan optimum untuk menggulingkannya.

“Saya tidak akan menafikan bahawa saya tidak dapat memberitahu anda dengan pasti yang rakyat Iran akan menggulingkannya - sesuatu rejim itu digulingkan dari dalam - tetapi kami pasti boleh ‘membantu’ dan kami sedang melakukannya,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Presiden Trump pula mendakwa bahawa Washington sedang ‘menghancurkan sama sekali rejim Iran’.

“Kita mempunyai kuasa senjata yang tiada tolok tanding, amunisi tanpa had, dan banyak masa,” katanya melalui media sosial, pada 13 Mac. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg