Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel sedia lancar serangan darat ke atas Gaza

Oct 11, 2023 | 6:38 PM
BUAT PERSEDIAAN: Artileri Howitzer diguna pakai oleh tentera Israel berhampiran sempadan dengan Gaza di selatan Israel.
BUAT PERSEDIAAN: Artileri Howitzer diguna pakai oleh tentera Israel berhampiran sempadan dengan Gaza di selatan Israel. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Tentera Israel dilaporkan bakal memulakan operasi ketenteraan baru untuk melancarkan serangan darat ke atas Hamas dengan sekitar 300,000 tentera simpanan telah dikerah di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak berikutan serangan mengejut Hamas ke bandar-bandar Israel.

Kebanyakan serangan Israel terhadap Gaza sepanjang empat hari lalu dilakukan dari udara tetapi pihak berkuasa mengatakan serangan dari darat mungkin perlu dilaksanakan.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah menggerakkan 300,000 anggota simpanan sejak konflik di Semenanjung Gaza meruncing, kata jurucakap IDF, Encik Daniel Hagari.

“IDF tidak pernah menggerakkan begitu ramai anggota simpanan secepat itu – 300,000 dalam tempoh 48 jam,” kata Encik Hagari dalam siaran radio Kan, sambil menambah bahawa askar mempunyai peralatan ketenteraan yang mencukupi.

Al Jazeera melaporkan pesawat pertama Amerika Syarikat yang membawa ‘peluru canggih’ tiba di Israel untuk digunakan dalam konflik dengan Hamas.

Encik Hagari, dalam satu kenyataan terdahulu, berkata pesawat itu mendarat di Pangkalan Udara Nevatim di Gurun Negev selatan Israel.

Persediaan serangan darat itu dirancang sedang Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden berkata Washington akan berkongsi risikan dengan Israel dan mengerahkan pakar tambahan bagi menyelamatkan tebusan.

Pentadbiran Amerika percaya terdapat 20 warganya masih hilang ekoran serangan Hamas di Israel, kata Rumah Putih.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika, Encik Jake Sullivan, tidak dapat mengesahkan berapa banyak rakyatnya yang menjadi tawanan. Sehubungan itu, beliau mahu Amerika menjejaki warganya yang masih hilang sebagai ‘keutamaan tertinggi’.

Sehingga Selasa, jumlah rakyat Palestin yang terbunuh di Gaza mencecah 900, termasuk sekurang-kurangnya 260 kanak-kanak dan 200 wanita, menurut Kementerian Kesihatan yang berpangkalan di Gaza. Jumlah mangsa yang cedera pula melebihi 4,500 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Israel, sekurang-kurangnya 1,200 warga Israel terbunuh dan lebih 2,806 yang lain cedera. 

Israel telah memutuskan bekalan air dan elektrik ke Gaza yang memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di kawasan terkepung itu.

Pasukan Pertahanan Awam Palestin (PCD) di Semenanjung Gaza berdepan tugas getir berikutan kekurangan petugas untuk membantu mangsa yang terperangkap selepas rumah mereka musnah akibat serangan Israel. 

Dalam satu kenyataan pada Rabu, PCD berkata ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan di pelbagai kawasan di Gaza akibat serangan udara yang bertalu-talu.

Utusan Khas Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Riyad Mansour, mengecam Israel kerana menyekat bekalan makanan, elektrik, air ke Gaza supaya penduduknya mati kebuluran.

Turkey pula sedang berusaha untuk menjadi pengantara bagi mencari jalan menamatkan konflik Israel-Palestin, kata Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan.

“Kami sedang berikhtiar untuk menjadi pengantara. Kami mahu membantu menamatkan perang ini secepat mungkin, memulihkan keamanan di rantau ini,” kata Encik Erdogan. – Agensi berita.

Laporan lanjut di Muka 7

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg