GAZA: Israel melancarkan serangan dan serbuan di utara Gaza Utara pada 15 Disember selepas beberapa hari serangan udara yang memusnahkan di wilayah itu.
Menurut kenyataan tentera Israel, mereka menyasarkan “pusat pertemuan pengganas” di Beit Hanoun selain beberapa lokasi lain.
Agensi berita Wafa melaporkan bahawa tentera Israel menyerbu sebuah bangunan sekolah di Beit Hanoun dan memaksa keluarga pelarian keluar dalam keadaan bahaya.
Menurut petugas perubatan, sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza pada 14 Disember.
Tentera Israel pula mendakwa serangan itu menyasarkan anggota Hamas yang beroperasi dari tempat perlindungan dan stor bantuan.
Sekurang-kurangnya 10 maut dalam serangan berhampiran bangunan perbandaran di Deir Al-Balah di tengah Gaza, lokasi orang ramai berkumpul untuk menerima bantuan, kata petugas perubatan.
Tentera Israel bagaimanapun tidak mengulas secara langsung dakwaan itu tetapi menyatakan mereka telah menyerang puluhan “pengganas” melalui serangan darat dan udara.
Di Gaza Tengah, jurukamera Palestin yang bekerja dengan Al Jazeera dan media lain, Encik Ahmad Baker al-Louh, terkorban dalam serangan udara di kem pelarian Nuseirat.
Al Jazeera mengutuk serangan itu, menyatakan bahawa Encik al-Louh sedang melaporkan operasi menyelamat sebelum serangan berlaku.
Dalam kenyataan balas, tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan pusat kawalan milik Hamas dan Jihad Islam Palestin yang digunakan untuk merancang serangan terhadap tentera Israel.
“Langkah-langkah telah diambil untuk mengurangkan kesan terhadap orang awam,” dakwa kenyataan tersebut.
Israel turut menamakan Encik al-Louh sebagai komander platun Jihad Islam Palestin, namun tidak memberikan bukti sokongan terhadap dakwaan tersebut.
Sejak Oktober, tentera Israel meningkatkan serangan di Gaza Utara dengan tujuan menghancurkan Hamas di situ.
Tentera Israel menyeru orang awam agar meninggalkan kawasan tersebut, tetapi kebanyakan penduduk memilih untuk tidak berbuat demikian kerana tiada tempat selamat untuk berlindung.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut membincangkan isu tebusan dengan bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
“Kami membincangkan keperluan untuk memastikan kemenangan Israel dan bercakap dengan panjang lebar mengenai usaha yang sedang dilakukan untuk membebaskan tebusan kami,” kata Encik Netanyahu.
Encik Netanyahu menyatakan bahawa usaha membebaskan tebusan dan menyelesaikan konflik menjadi tumpuan utama.
Rundingan antara Mesir, Qatar dengan Amerika untuk mencapai gencatan senjata dan pembebasan tebusan dilaporkan semakin mendapat momentum. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg