Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel serang Rafah lepas ICJ arah henti serangan

May 25, 2024 | 1:47 PM
Asap dilihat selepas serangan udara Israel di Rafah, selatan Jaluran Gaza, pada 24 Mei.
Asap dilihat selepas serangan udara Israel di Rafah, selatan Jaluran Gaza, pada 24 Mei. - Foto EPA-EFE

GAZA: Israel mengebom Jaluran Gaza, termasuk bandar Rafah, pada 25 Mei, sehari selepas mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkannya menghentikan operasi ketenteraan di selatan wilayah Palestin itu.

Ini sedang usaha dijalankan di Paris untuk mencapai gencatan senjata.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga menuntut pembebasan segera semua tebusan yang masih ditahan oleh militan Palestin, beberapa jam selepas tentera Israel mengumumkan mereka menemui mayat tiga lagi tawanan di utara Gaza.

Mahkamah berpangkalan di The Hague itu, yang perintahnya terikat secara sah tetapi tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan langsung, juga mengarahkan Israel terus membuka persimpangan Rafah antara Mesir dan Gaza, yang ditutupnya awal bulan ini pada permulaan serangan ke atas bandar itu.

Israel tidak memberi sebarang tanda ia sedang bersiap untuk mengubah haluannya di Rafah, sebaliknya menegaskan mahkamah itu silap.

“Israel tidak dan tidak akan menjalankan operasi ketenteraan di kawasan Rafah yang boleh menyebabkan kemusnahan penduduk awam Palestin, secara keseluruhan atau sebahagiannya,” kata Penasihat Keselamatan Negara, Encik Tzachi Hanegbi, dalam satu kenyataan bersama jurucakap kementerian luarnya.

Hamas, yang memerintah Gaza sejak 2007, mengalu-alukan keputusan ICJ itu tetapi mengkritiknya kerana mengecualikan seluruh wilayah Gaza daripada perintah tersebut.

Beberapa jam selepas keputusan ICJ, Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada awal 25 Mei, manakala pertempuran antara tenteranya dan sayap bersenjata Hamas berterusan.

Saksi Palestin dan pasukan agensi AFP melaporkan serangan Israel di Rafah dan pusat bandar Deir al-Balah.

“Kami berharap keputusan mahkamah akan memberi tekanan kepada Israel untuk menamatkan perang yang memusnahkan ini, kerana tiada apa yang tinggal di sini,” kata Cik Oum Al-Ashqa, seorang wanita Palestin dari Kota Gaza yang dipindahkan ke Deir al-Balah akibat perang.

“Tetapi Israel adalah sebuah negara yang menganggap dirinya lebih tinggi daripada undang-undang. Oleh itu, saya tidak percaya tembakan atau peperangan akan berhenti selain melalui kekerasan,” kata Encik Mohammed Saleh di bandar tengah Gaza itu.

Dalam keputusannya yang dinanti-nantikan, ICJ berkata Israel mesti “segera menghentikan serangan tenteranya, dan sebarang tindakan lain di Rafah, yang boleh menjejas keadaan kehidupan di Gaza hingga memusnahkan fizikalnya secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya”.

Ia mengarahkan Israel membuka persimpangan Rafah bagi bantuan kemanusiaan dan juga menggesa “pembebasan segera dan tanpa syarat” tebusan yang ditahan Hamas di Gaza.

Perang Gaza meletus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu mengakibatkan kematian lebih 1,170 orang berdasarkan angka rasmi Israel. Hamas juga menawan 252 tebusan.

Serangan balas Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 35,800 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah itu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg