Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel serang Syria selepas 100 maut dalam pertempuran minoriti Druze

Jul 15, 2025 | 12:18 PM
syria, pertempuran badwi, etnik druze, sweida
Para anggota keselamatan Syria berada di tempat meletusnya pertempuran antara kaum Badwi dengan anggota etnik Druze di daerah antara Mazraa dengan Walga dekat bandar Sweida pada 14 Julai. - Foto AFP

DAMSYIK: Israel melancarkan serangan di selatan Syria pada 14 Julai susulan pertempuran berdarah yang melibatkan masyarakat Druze, kumpulan minoriti yang sebelum ini dijanjikan perlindungan oleh negara Yahudi tersebut.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menyerang beberapa kereta kebal yang mara ke arah Sweida – daerah tercetusnya konfrontasi pada 13 Julai dan berterusan sehingga 14 Julai.

“IDF menyerang kereta kebal untuk menghalang ketibaan mereka ke kawasan itu,” kata tentera di Telegram.

Menteri Pertahanan Israel Encik Israel Katz menyifatkan serangan itu sebagai “amaran jelas” kepada pemerintah Syria bahawa Israel tidak akan membenarkan masyarakat Druze dicederakan.

Tiga serangan udara Israel menyasarkan bahagian berbeza di kawasan luar bandar Sweida, lapor agensi berita Syria, Sana.

Keganasan di Sweida, daerah majoriti etnik Druze, membunuh kira-kira 100 orang, menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Ia berkata kumpulan Druze bertempur dengan kumpulan kaum Badwi bermazhab Sunni serta pasukan tentera dan polis.

Pertempuran bermula antara kumpulan bersenjata di Sweida dan kawasan sekitarnya.

Serangan ke atas tentera negara tidak diragukan merupakan percubaan terancang menggugat kestabilan negara, kata Kementerian Luar Syria.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Syria, Encik Hassan Abdul-Ghani, berkata tentera pemerintah telah dikerahkan di Sweida untuk menamatkan keganasan yang meletus sebelum ini.

Serangan lelaki bersenjata itu membunuh 18 anggota tentera negara, tambahnya.

Pada Mei, Israel menyerang sasaran berhampiran istana Presiden di ibu negara Syria, Damsyik, selepas masyarakat Druze di kedua-dua negara meminta bantuan berikutan beberapa siri pertempuran ganas antara kumpulan minoriti itu dengan tentera negara Syria.

Selepas serangan itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata negaranya tidak akan membenarkan sebarang ancaman terhadap kaum minoriti etnik Arab Druze itu.

Presiden Syria, Encik Ahmed Al-Sharaa, yang kumpulan Hayat Tahrir Al-Sham mengetuai pemberontakan Islam terhadap rejim mantan Presiden Bashar al-Assad, telah cuba menghalang keganasan yang berlaku di Syria beberapa bulan selepas kejatuhan pendahulunya.

Beliau telah berusaha merampas semua senjata dan membubarkan puak bersenjata di negara ini.

Pada Mac, lelaki bersenjata yang dikatakan pihak berkuasa bergabung dengan rejim yang telah digulingkan, menyerang kemudahan keselamatan dan premis pemerintah di sepanjang pantai Mediterranean Syria.

Ini mencetuskan keganasan terhadap kaum minoriti Alawi.

Tiga bulan kemudian, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dalam sebuah gereja di timur Damsyik, membunuh 22 orang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg