Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael sifatkan perjanjian AS-Iran tidak penuhi tuntutan keselamatan
Israel sifatkan perjanjian AS-Iran tidak penuhi tuntutan keselamatan
Antara kebimbangan utama Tel Aviv ialah tiada penjelasan jelas mengenai stok uranium diperkaya Iran
Israel sifatkan perjanjian AS-Iran tidak penuhi tuntutan keselamatan
TEL AVIV: Perjanjian damai yang sedang dirundingkan antara Amerika Syarikat dan Iran mencetuskan kebimbangan besar di Israel apabila ramai pemimpin dan penganalisis negara itu melihatnya sebagai tidak memenuhi tuntutan keselamatan utama Tel Aviv.
Akhbar popular Ibrani, Yediot Aharonot, pada 14 Jun menampilkan tajuk utama ringkas tetapi tajam – ‘Perjanjian Buruk’ bagi menggambarkan sentimen meluas rakyat Israel terhadap usaha damai yang diumumkan Presiden Donald Trump.
Pengumuman Encik Trump mengenai persetujuan awal antara Washington dengan Teheran untuk membuka semula Selat Hormuz serta melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari disambut baik banyak negara dunia, namun di Israel, reaksi yang timbul jauh lebih berhati-hati.
Israel sebelum ini melancarkan dua peperangan terhadap Iran dalam tempoh setahun, termasuk kempen bersama Amerika pada Februari lalu.
Kini, pemerintah Israel dilihat tidak terlibat secara langsung dalam rundingan damai tersebut.
Di bawah memorandum persefahaman awal yang dipersetujui, Iran akan membuka semula Selat Hormuz manakala Amerika pula akan menarik balik sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.
Kedua-dua pihak juga bersetuju meneruskan rundingan lanjut mengenai program nuklear Iran dan pengurangan sekatan ekonomi Amerika dalam tempoh 60 hari selepas perjanjian awal dimeterai.
Ramai pemimpin Israel berpendapat perjanjian itu jauh tersasar daripada matlamat utama negara tersebut.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebelum ini menegaskan bahawa objektif peperangan adalah untuk “menghapuskan ancaman kewujudan” terhadap Israel.
Menurut Encik Netanyahu, ancaman itu termasuk program nuklear Iran, peluru berpandu balistik serta usaha mewujudkan keadaan yang boleh membawa kepada kejatuhan pemerintah Iran.
Israel juga mahu Iran menghentikan sokongan kepada kumpulan proksinya seperti Hezbollah di Lebanon, Houthi di Yaman dan Hamas di Gaza.
Namun, beberapa pakar keselamatan Israel berkata isu-isu utama tersebut langsung tidak disebut secara jelas dalam butiran awal perjanjian yang tersebar kepada media.
Mantan penasihat keselamatan nasional Israel, Encik Jacob Nagel, berkata Encik Trump dijangka mengisytiharkan kemenangan walaupun banyak persoalan penting masih belum terjawab.
“Amat mudah untuk menyebut perkara yang akan dirundingkan pada masa depan, tetapi isu peluru berpandu balistik Iran dan sokongannya terhadap kumpulan proksi langsung tidak kelihatan dalam butiran yang diketahui umum,” katanya dalam satu taklimat video.
Tokoh pembangkang Israel turut melontarkan kritikan keras terhadap pendekatan damai itu.
Mantan Menteri Pertahanan Israel, Encik Avigdor Liberman, menyifatkan perkembangan tersebut sebagai “malapetaka dari sudut pandangan Israel”.
Sementara itu, ketua pembangkang parlimen Israel, Encik Yair Lapid, berkata beliau berharap laporan mengenai perjanjian itu tidak benar.
“Jika benar, ini adalah antara kegagalan paling mengejutkan dalam dasar luar dan keselamatan Israel,” katanya.
Walaupun kritikan semakin memuncak, pemimpin pemerintah Israel dilihat berhati-hati dalam memberi kenyataan terbuka kerana tidak mahu menjejaskan hubungan rapat dengan Encik Trump.
Dalam kenyataan pada 12 Jun, Encik Netanyahu hanya menegaskan bahawa beliau dan Encik Trump sependapat bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyentuh soal peluru berpandu balistik atau kumpulan proksi Iran di rantau Asia Barat.
Seorang pegawai Israel yang mengetahui rundingan tersebut berkata antara kebimbangan utama Tel Aviv ialah tiada penjelasan jelas mengenai stok uranium diperkaya Iran dan kekurangan mekanisme tegas bagi menghalang Teheran meneruskan program nuklearnya.
Pegawai itu juga berkata perjanjian tersebut boleh membantu mengalirkan semula dana kepada pemerintah Iran, sekali gus mengukuhkan kedudukan Teheran.
Selain itu, tiada mekanisme khusus untuk memaksa Iran menghentikan sokongan kepada Hezbollah dan kumpulan bersenjata lain.
Perkara itu menjadi kebimbangan besar Israel kerana konflik dengan Hezbollah di Lebanon masih berterusan.
Ketegangan di Lebanon kembali memuncak selepas Hezbollah melancarkan serangan ke atas Israel beberapa hari selepas perang Amerika-Israel terhadap Iran bermula pada Februari lalu.
Iran sebelum ini menegaskan bahawa sebarang perjanjian damai lebih luas perlu turut merangkumi konflik di Lebanon.
Keadaan menjadi semakin tegang pada 14 Jun apabila Israel melancarkan serangan ke atas kubu Hezbollah berhampiran Beirut.
Serangan itu menimbulkan kebimbangan bahawa rundingan damai boleh gagal jika konflik antara Israel dan Hezbollah kembali memuncak.
Namun menurut dua pegawai Israel yang enggan dikenali, insiden tersebut secara tidak langsung mempercepatkan proses memuktamadkan teks akhir perjanjian damai.
Encik Trump sebelum ini turut menggesa Israel dan Hezbollah supaya menahan diri agar tidak menggagalkan usaha damai.
Pemerhati politik berkata Encik Netanyahu kini berada dalam tekanan besar menjelang pilihan raya nasional Israel yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya Oktober depan.
Beliau berdepan tekanan daripada sekutu politik sendiri dan pembangkang supaya tidak tunduk kepada tekanan Washington.
Encik Netanyahu juga dilihat sukar menentang Encik Trump secara terbuka kerana hubungan rapat dengan presiden Amerika itu sering menjadi antara kekuatan politik utamanya.
Dengan rundingan lanjut mengenai program nuklear Iran masih bakal berlangsung dalam tempoh dua bulan akan datang, banyak pihak kini melihat perjanjian awal ini sebagai permulaan baharu yang masih penuh cabaran dan ketidakpastian bagi Asia Barat. – Agensi berita.
