KAHIRAH: Hamas memberitahu bahawa Israel menawarkan gencatan senjata selama 45 hari jika separuh daripada baki tebusan yang masih ditahan di Gaza dibebaskan.
Ia berlaku ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran Gaza kini berdepan krisis kemanusiaan paling buruk sejak perang bermula.
Seorang pegawai Hamas memberitahu Israel turut menuntut supaya kumpulan Palestin itu meletak senjata sebagai syarat menamatkan perang Gaza, namun ia dianggap sebagai ‘melampau’ oleh kumpulan tersebut.
Pegawai itu berkata pengantara dari Mesir menyampaikan cadangan Israel yang termasuk pembebasan separuh daripada tebusan dalam minggu pertama perjanjian, lanjutan gencatan senjata sekurang-kurangnya 45 hari dan kemasukan bantuan kemanusiaan.
Kumpulan Hamas menawan 251 tebusan ketika serangan pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang.
“Seramai 58 masih ditahan di Gaza, termasuk 34 yang menurut tentera Israel sudah meninggal dunia.
“Saranan itu turut termasuk peletakan senjata oleh Hamas dan semua kumpulan bersenjata Palestin di Semenanjung Gaza sebagai syarat untuk penamatan perang secara kekal,” kata pegawai tersebut.
Pusingan terbaru rundingan untuk memulihkan gencatan senjata Gaza dan membebaskan tebusan Israel berakhir tanpa sebarang kejayaan jelas, kata sumber Palestin dan Mesir pada 14 April.
Sumber menyatakan ini kerana Hamas tetap berpegang pada pendiriannya bahawa sebarang perjanjian mesti membawa kepada penamatan perang di Gaza.
Ini adalah hasrat fasa kedua perjanjian gencatan senjata yang enggan dilaksanakan oleh Israel.
Israel meneruskan serangan terhadap rakyat Palestin di Gaza pada Mac, membunuh 1,500 orang, selepas gencatan senjata yang dipersetujui pada Januari berakhir.
Dengan tegas, Israel berkata ia tidak akan menamatkan perang sehingga Hamas dihapuskan, meskipun bersetuju bahawa gencatan senjata akan mempunyai tiga fasa, termasuk fasa kedua melibatkan pengunduran tentera Israel dari Gaza dan mengakhiri pertempuran.
Hamas pula menegaskan gencatan senjata fasa kedua sepatutnya dipatuhi oleh Israel.
Di sebalik perselisihan itu, sumber berkata bahawa delegasi Hamas yang diketuai oleh ketua kumpulan Gaza, Encik Khalil Al-Hayya, telah menunjukkan sedikit kelonggaran terhadap bilangan tebusan yang boleh dibebaskan sebagai pertukaran tahanan Palestin di penjara Israel jika gencatan senjata dilanjutkan.
Sumber Mesir memberitahu agensi berita, Reuters, bahawa cadangan terkini untuk melanjutkan gencatan senjata itu akan menyaksikan Hamas membebaskan lebih ramai tebusan.
Menteri Israel, Encik Zeev Elkin, yang juga anggota Kabinet keselamatan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, memberitahu Radio Tentera pada 14 April bahawa Israel sedang mengusahakan pembebasan sekitar 10 tebusan, yang dibangkitkan daripada persetujuan Hamas sebelum ini untuk membebaskan lima orang.
Hamas telah meminta lebih masa untuk menimbangkan usulan terbaru itu, kata sumber Mesir.
“Hamas tidak mempunyai masalah, tetapi ia mahu jaminan bahawa Israel bersetuju memulakan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata, yang membawa kepada penamatan perang,” tambah sumber tersebut.
Hamas telah membebaskan 33 tebusan Israel sebagai balasan kepada ratusan tahanan Palestin semasa fasa pertama gencatan senjata selama enam minggu yang bermula pada Januari.
Namun, fasa kedua yang sepatutnya bermula pada awal Mac dan membuka jalan kepada penamatan perang tidak diteruskan, apabila Israel memilih untuk melanjutkan fasa pertama.
Ini bermakna Israel tidak terikat dengan kewajipan untuk mengundurkan tenteranya dari Gaza atau menghentikan serangan.
Pemimpin dua negara Arab yang mengetuai usaha perantaraan gencatan senjata, Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah Al-Sisi, dan Amir Qatar, Sheikh Tamim Bin Hamad Al-Thani, bertemu di Doha pada 13 April.
Sumber Mesir berkata Encik Sisi telah meminta jaminan tambahan di peringkat antarabangsa untuk perjanjian gencatan senjata, di luar perjanjian yang disediakan oleh Mesir dan Qatar sendiri.
Dalam pada itu, kedua-dua negara perantara tersebut telah membentangkan saranan baru Israel untuk gencatan senjata Gaza kepada Hamas, kata Televisyen Berita Al Qahera, pada 14 April.
Namun, Hamas menyatakan cadangan baru Israel itu bukan pemula untuk dibincangkan.
Israel buat pertama kali menggesa pelucutan senjata Hamas dalam fasa rundingan seterusnya – sesuatu yang akan ditolak oleh kumpulan itu.
Terdahulu, pegawai kanan Hamas, Encik Sami Abu Zuhri, berkata cadangan itu tidak memenuhi tuntutan kumpulan Palestin supaya Israel beriltizam untuk menghentikan permusuhan sepenuhnya. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg