WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada 7 April, beliau ingin perang di Gaza dihentikan dan berpandangan ia akan berlaku tidak lama lagi.
Encik Trump yang menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih ketika ditanya sama ada beliau akan menunaikan janji kempen pilihan rayanya untuk menamatkan perang di Gaza, berkata:
“Saya ingin melihat perang berhenti, dan saya fikir perang akan berhenti pada satu ketika, itu tidak akan berlaku dalam masa yang terlalu lama.”
Israel melancarkan perang selepas pasukan pimpinan Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.
Perang yang berlarutan telah memusnahkan Gaza yang mempunyai 2.3 juta penduduk dan telah mengorbankan lebih 50,000 rakyat Palestin, kata pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Rakyat Palestin turut dibelanggu masalah kebuluran yang teruk akibat kekurangan bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk ke Gaza atau disekat oleh tentera Israel.
Encik Trump berkata usaha sedang dijalankan untuk membebaskan baki tebusan yang masih ditahan Hamas di Gaza tetapi menekankan bahawa pembebasan semua tebusan adalah “proses yang panjang”.
Encik Trump dan Encik Netanyahu bercakap kepada pemberita di Pejabat Oval selepas pertemuan mereka itu.
Berikutan gencatan senjata pada Januari yang menyaksikan sejumlah tebusan dibebaskan, Encik Netanyahu berkata Israel sedang mengusahakan “satu lagi perjanjian yang kami harap akan berjaya”.
“Kami komited untuk membebaskan semua tebusan, tetapi juga menghapuskan kezaliman Hamas di Gaza dan membolehkan penduduk Gaza bebas membuat pilihan untuk pergi ke mana-mana sahaja mereka mahu,” katanya.
Encik Netanyahu berkata beliau juga telah berbincang dengan Encik Trump mengenai “wawasan berani” Presiden Amerika itu untuk membangunkan masa depan Gaza.
Ia merujuk kepada cadangan Amerika untuk mengambil alih wilayah seperti yang dikatakan Encik Trump beberapa kali semasa minggu permulaan pentadbirannya.
Rancangan Encik Trump yang melibatkan pemindahan secara paksa penduduk Gaza ke Jordan dan Mesir itu bagaimanapun dikutuk di peringkat sejagat dan tindakan itu disifatkan sebagai ‘pembersihan etnik’.
Encik Trump turut berkata menempatkan “pasukan keamanan seperti Amerika di sana bagi mengawal dan memiliki Jaluran Gaza adalah satu perkara yang baik” dan sekali lagi mencadangkan bahawa rakyat Palestin dari Gaza boleh dipindahkan ke negara yang berbeza. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg