Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel temui ‘terowong terbesar’ Hamas

Terowong yang boleh menempatkan kenderaan didakwa digunakan bagi bawa muatan militan Hamas dari Gaza hingga ke sempadan Israel
Dec 18, 2023 | 2:19 PM
TEMUI TEROWONG: Para anggota tentera Israel berjalan lalu dalam terowong konkrit bersalut besi yang mereka temui dekat lintasan Erez di utara Gaza.
TEMUI TEROWONG: Para anggota tentera Israel berjalan lalu dalam terowong konkrit bersalut besi yang mereka temui dekat lintasan Erez di utara Gaza. - Foto REUTERS

SEMPADAN GAZA/ISRAEL: Tentera Israel berkata mereka telah menemui terowong konkrit bersalut besi yang luar biasa besarnya dan direka untuk membawa muatan militan Hamas dari Gaza sehingga ke sempadan.

Memusnahkan atau melumpuhkan ratusan kilometer laluan bawah tanah dan kubu adalah antara matlamat serangan Israel yang dilancarkan selepas militan Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober yang membunuh lebih 1,200 orang.

Antara kawasan yang diserbu Hamas dalam serangan itu ialah sempadan Erez yang melintasi Gaza dan Israel. Ia hanya terletak 100 meter menghala ke selatan dari pusat pemeriksaan.

Tentera Israel telah menunjukkan kepada pemberita pintu keluar dan masuk terowong berkenaan yang tersembunyi di dalam beting pasir. Ia dikatakan sebagai projek utama Hamas.

Terowong lengkap dengan bekalan elektrik itu menjunam ke bawah secara menyerong hingga kedalaman 50 meter serta tinggi dan lebar sekitar tiga meter.

Ketua jurucakap tentera Laksamana Muda Daniel Hagari menaksirkan terowong itu sepanjang empat kilometer – cukup untuk sampai ke utara Bandar Gaza yang pernah menjadi pusat pentadbiran Hamas dan kini zon tempur yang musnah.

Ia adalah “terowong terbesar yang kami pernah temui di Gaza dan bertujuan untuk menyasarkan lintasan Erez”, kata Laksamana Hagari, tanpa menyatakan sama ada ia digunakan oleh Hamas dalam serangan pada 7 Oktober.

“Berjuta-juta dolar telah dilaburkan dalam terowong ini. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk membina terowong ini... kenderaan pun boleh melaluinya,” tambahnya.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata pasukannya turut menemui senjata di dalam sebuah terowong yang digunakan Hamas bagi menyerang tenteranya di Shejaia, pinggir Bandar Gaza.

Pihak berkuasa Israel juga memusnahkan depot senjata Hamas di dalam rumah salah seorang militan yang terletak di pinggir Bandar Gaza.

Secara amnya, terowong tersebut adalah sempit dan rendah – direka untuk satu barisan lelaki bersenjata berjalan kaki.

Rangkaian terowong itu telah menjadi cabaran bagi jurutera Israel kerana ia boleh digunakan untuk menyembunyikan tebusan yang ditahan oleh Hamas.

Laksamana Hagari menunjukkan kepada pemberita video Encik Mohammed Sinwar, abang kepada pemimpin Hamas Yahya Sinwar, yang merupakan pegawai kanan dalam kumpulan itu, duduk di tempat duduk penumpang kenderaan yang dikatakan sedang dipandu dalam terowong.

Pada 29 Oktober, laman berita Ynet Israel melaporkan bahawa tentera Israel membunuh beberapa lelaki bersenjata yang menyerang Erez selepas mengakses kawasan itu dari terowong. Pejabat Laksamana Hagari tidak menjawab pertanyaan sama ada ia merujuk kepada terowong yang ditunjukkannya itu.

Kumpulan militan Hamas melancarkan serangan mengejut terhadap selatan Israel, membunuh kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan menahan 240 tebusan, menurut angka terbaru Israel.

Sebagai tindak balas, Israel yang berhasrat untuk memusnahkan Hamas, telah melancarkan pengeboman tanpa henti dan pencerobohan darat ke atas Jaluran Gaza untuk mencapai matlamat itu. Kementerian kesihatan Hamas di Gaza berkata sehingga kini serangan berterusan Israel telah membunuh lebih 18,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg