Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Ratusan terowong rahsia berselirat di perut bumi Gaza

Perisikan Israel mendakwa ibu pejabat Hamas terletak di rangkaian kompleks terowong yang luas merentasi seluruh Gaza. Selain terowong terdapat ratusan lagi terowong yang berselirat antara Gaza dengan Mesir. Ikuti laporan berikut.
Dec 11, 2023 | 05:31 AM



GAZA: Apabila tebusan Israel berusia 85 tahun, Cik Yocheved Lifshitz, dibebaskan pada Oktober, beliau mendedahkan bahawa Hamas menyembunyikan dirinya dan tebusan lain dalam sistem terowong yang kelihatan seperti ‘sarang labah-labah’ seperti yang dilaporkan oleh agensi berita, Reuters.


Tentera Israel turut mendakwa Hamas menyembunyikan tebusan yang ditahan di dalam terowong bawah tanah yang merentasi Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza.

“Ia adalah perasaan yang membingungkan, berjalan-jalan dengan pengetahuan bahawa, di bawah kaki anda, tentera Hamas sedang bersembunyi, menyeludup barangan dan merancang serangan.

“Terowong-terowong itu sangat berbahaya, nadi perang Hamas terhadap Israel. Ia adalah lokasi keganasan dan ia memerlukan bahan api dan oksigen untuk berfungsi,” kata pegawai Israel mengenai rangkaian bawah tanah itu, lapor The New York Times.


Salah satu sebab Israel enggan membenarkan bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah kerana dibimbangi kumpulan Hamas ‘menyedut’ bekalan yang sangat diperlukan untuk memastikan terowong tersebut dapat terus beroperasi.

Rangkaian sarang
labah-labah

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) beranggapan, untuk memenangi perang di Gaza, mereka harus memusnahkan terowong bersama kumpulan Hamas di dalamnya.

“Kekuatan Hamas ialah rangkaian terowong di bawah Gaza, terutamanya di kawasan bandar. Ia benar-benar menggerunkan.

“Anda tidak boleh memusnahkan jentera tentera Hamas tanpa berurusan dengan rangkaian bawah tanahnya. Itulah sebabnya kami menghantar pasukan darat kami masuk,” kata pegawai kanan Israel kepada syarikat media, Al Jazeera.


Profesor Universiti Reichman Israel dan pengarang Underground Warfare, Dr Daphné Richemond-Barak, berkata pada peringkat taktikal, terowong menentukan bagaimana operasi ketenteraan Israel akan diteruskan dan bagaimana perang akan berlaku.


Katanya kepada akhbar Britain, The Guardian, mana-mana pasukan tentera secara tradisinya akan mengerahkan pasukan dan senjata mereka yang paling berkuasa untuk menangani terowong tersebut.


“Peperangan jenis ini menimbulkan risiko serius kepada IDF. Apabila berperang di bawah tanah, tentera mesti memikirkan semula kuasa yang digunakannya, bagaimana ia melengkapkan dan melatih askar termasuk garis panduan taktikal apakah yang akan dilaksanakan.

“Pertempuran dalam terowong pada umumnya melibatkan satu lawan satu. Jika anda cedera, anda mungkin tidak akan diekstrak dan sudah tentu Hamas sangat berminat untuk menculik tentera Israel.

“Kemudian terdapat jerangkap samar. Ini boleh jadi apa-apa sahaja daripada alat letupan buatan sendiri (IED) sehinggalah tebusan yang dilekatkan wayar untuk diletupkan,” katanya.

Metro Gaza bawah tanah

Rangkaian terowong itu dianggarkan sejauh 482 kilometer dan sangat luas sehingga disifatkan sebagai ‘sistem metro’ yang lebih besar daripada rangkaian kereta api bawah tanah London.

Sumber IDF memberitahu, terowong terdiri daripada koridor sempit kira-kira 1.8 meter ke laluan luas yang boleh membawa kereta dan juga trak, lapor agensi AFP.


Ada juga yang menyatakan terowong yang berselirat di bawah tanah Jaluran Gaza memiliki sejarah yang panjang.

Ia dibina bertahun dulu dengan pelbagai kedalaman dan keluasan antara 800 dengan 1,400 meter panjangnya dengan kedalaman antara 15 dengan 30 meter.

Terowong itu dikatakan menempatkan pusat arahan, depoh peluru dan kilang senjata untuk melancarkan serangan ke atas Israel dan juga untuk menyeludup segala-galanya daripada kenderaan hingga senjata jarak jauh.

Pada 2014, ketika satu perang darat, seorang tentera Israel, Leftenan Kolonel Oshik Azulai, terkejut dan beliau dilaporkan melihat sebuah terowong gelap di perbatasan Jaluran Gaza.

Kedalamannya mencecah sekitar 46 kaki atau sekitar 14 meter.

Telefon bimbit tidak dapat aktif di dalam terowong itu.

Kolonel Azulai, yang merupakan Komandan Divisyen Gaza Selatan Tentera Israel, menceritakan terowong yang beliau temui itu membentang ke wilayah Israel. Bentuknya bulat, separuh mirip seperti bentuk tembikai, lapor The New York Times dalam artikel yang diterbitkan pada 2014


Sejumlah terowong itu yang membuat penduduk dan pemerintah Israel bimbang, termasuk Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Sekurang-kurangnya terdapat lebih dari 70 terowong milik Hamas.Salah satu terowong adalah terowong Ein Hashlosha, lapor BBC pula


Melalui terowong itu terdapat air, makanan, sekali gus roket dan senapang automatik. Ada juga bilik kecil untuk tidur atau bersembunyi.

“Itu adalah satu terowong yang sangat baik,” kata Kolonel Azulai. Ia seperti laluan kereta bawah tanah, di bawah tanah Gaza, katanya.

Pakar mengatakan untuk membangun setiap terowong itu akan memakan waktu hingga setahun dan biaya hingga AS$2 juta ($2.68 juta).

Bahkan untuk membuatnya memerlukan puluhan penggali yang bekerja dengan tangan dan alatan-alatan elektrik kecil, lapor USA Today.


Serang hendap

Walaupun IDF dikatakan terlatih, serba lengkap dan bilangan anggotanya melebihi kumpulan Hamas, namun medan perang menanti mereka di Gaza mungkin boleh menyebabkan angka korban yang tinggi di pihaknya.

Menurut laporan, Daily Mail, militan Hamas beroperasi dalam rangkaian terowong yang kompleks. Sebahagian daripadanya tertimbus sehingga 12 hingga 19 meter di bawah tanah.


Malah, kesemua terowong itu dikatakan boleh mengelakkan serangan hendap, dijadikan jerangkap samar atau dipenuhi dengan bahan letupan.

“Ini bermakna Israel boleh membedil Gaza sesuka hati dan melancarkan amunisi pemusnah kubu untuk membersihkan terowong.

“Namun, IDF masih perlu mengerahkan ratusan ribu anggota tenteranya untuk memusnahkan ‘Metro Gaza’ dan meneutralkan setiap anggota Hamas sekiranya mahu menghapuskan kumpulan itu sepenuhnya,” tambah Daily Mail.


Pada 2011, Hamas pernah memaklumkan pihaknya sudah membina sistem terowong sepanjang kira-kira 482 kilometer (km).

Malah, kumpulan Hamas juga dipercayai sudah meluaskan rangkaian terowongnya sejak itu.

Penganalisis pertahanan terkemuka, Encik Sam Cranny-Evans, berkata militan Hamas mungkin akan melombong terowong berkenaan dan menggunakan alat letupan buatan IED untuk melumpuhkan anggota IDF yang ditugaskan membersihkan terowong tersebut.

“Dron mungkin digunakan untuk menggugurkan bom ke atas tentera Israel selain penggunaan alat letupan IED bagi melumpuhkan pasukan.

“Sudah tentu, IDF pernah berdepan teknologi ini, namun mereka mungkin berdepan angka korban yang tinggi,” katanya kepada The Financial Times.


Penyeludupan

Ada rekod menunjukkan ratusan terowong dibina oleh rakyat Palestin untuk ke Mesir tanpa perlu melalui Lintasan Rafah.

Pembinaan terowong yang biasanya digali bermula dari dalam bangunan atau rumah yang runtuh mengambil masa paling kurang enam bulan hingga setahun untuk disiapkan.

Sejarah terowong di Gaza sudah lama wujud itu berubah fungsi daripada dijadikan laluan menyeludup makanan kepada membawa senjata, lapor CBS News.


Sejak Hamas menguasai Gaza pada Jun 2006, jumlah barangan yang dibawa melalui terowong dari Mesir ke Gaza semakin bertambah.

Terowong telah menjadi laluan pelbagai barangan daripada anak kambing kepada roket. Malah, ada yang hanya dikhaskan untuk golongan kenamaan dengan laluan yang lebih pendek.

Sebelum ini, Israel pernah menimbangkan untuk menangani kewujudan terowong itu dengan menggali parit yang dipenuhi dengan air laut. Justeru, setiap pengguna terowong berisiko untuk lemas.

Bagaimanapun, pelan itu tidak menjadi kerana ia boleh mendedahkan Gaza pada keadaan bawah tanah yang rapuh.

Israel juga pernah meminta Amerika Syarikat membekalkan jurutera tentera yang boleh membina dinding bawah tanah di sebelah Mesir bersebelahan Koridor Philadelphi, menurut Reuters.


Amerika bersetuju pada prinsipnya walaupun tidak jelas sama ada pihak Mesir memberikan kebenaran.

Malah, Israel cuba memusnahkan jaringan bawah tanah itu dengan bom jenis ‘bunker-busting’ atau bom yang boleh menembusi sasaran bawah tanah yang diperoleh dari Amerika.

Encik Nicholas Pelham, penganalisis dari Kumpulan Krisis Antarabangsa berkata penutupan terowong itu secara kekal memerlukan proses yang berpanjangan, katanya kepada The Washington Post.


“Tanpa memperoleh semua wilayah, sukar untuk menutup terowong ini dalam masa yang lama,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >