Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Israel: Tentera berada di tengah Bandar Gaza

Netanyahu ulangi tiada gencatan senjata, bahan api tidak dihantar ke Gaza sehingga tebusan dibebas
Nov 08, 2023 | 03:00 PM



TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata pada Selasa bahawa tidak akan ada bahan api dihantar ke Gaza dan tiada gencatan senjata dengan Hamas melainkan tebusan yang ditahan kumpulan Palestin itu dibebaskan.


Dalam satu kenyataan di televisyen menandakan bulan pertama perang Israel dengan Hamas, Encik Netanyahu turut memberi amaran kepada kumpulan Hezbollah yang disokong Iran bahawa “ia akan melakukan kesilapan dalam hidup mereka” jika ia membuka medan perang baru dari pangkalannya di Lebanon.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, pula berkata tentera Israel berada “di tengah-tengah Bandar Gaza” ketika negara itu menyambut peperangan yang masuk sebulan dengan Hamas di wilayah Palestin.

Pemimpin paling kanan Hamas di Gaza, Encik Yahya Sinwar, telah pun diasingkan di kubunya, tambahnya dalam sidang akhbar di televisyen.

“Kami berada di tengah-tengah Bandar Gaza,” kata Encik Gallant.

“Gaza adalah pangkalan pengganas terbesar yang pernah dibina. Kami akan memusnahkan Hamas,” tegas beliau.

Peperangan Israel-Hamas bermula apabila Hamas melakukan serangan mengejut di selatan Israel pada 7 Oktober.

Sekitar 1,400 orang terbunuh dan lebih 240 dijadikan tebusan.

Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Hamas di kawasan yang menempatkan kira-kira 2.4 juta orang.

Kementerian Kesihatan Hamas menyatakan serangan berterusan Israel itu telah membunuh lebih 10,300 orang, kebanyakan orang awam termasuk kanak-kanak.

Sejak itu, Israel telah melakukan lebih 12,000 serangan udara dan bedilan meriam serta menghantar pasukan tentera darat masuk ke Gaza.

Terdapat gesaan antarabangsa yang semakin meningkat supaya gencatan senjata segera dilaksanakan.

Namun, Encik Netanyahu berkata “tidak akan ada kemasukan bahan api dan... tiada gencatan senjata tanpa pembebasan tebusan kami”.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata konvoi kemanusiaan yang membawa bekalan perubatan telah diserang di Bandar Gaza.

Konvoi lima trak dan dua kenderaan Palang Merah sedang membawa bekalan ke kemudahan kesihatan, termasuk ke hospital Al-Quds, apabila ia dibedil, kata ICRC, sambil menambah dua trak rosak dan seorang pemandu cedera ringan.

ICRC tidak menyatakan siapa yang melepaskan bedilan ke arah konvoinya atau dari arah mana bedilan itu datang.

“Ini bukan keadaaan yang membolehkan kakitangan kemanusiaan bekerja,” kata Encik William Schomburg, ketua subdelegasi ICRC di Gaza.

“Kami berada di sini untuk membawa bantuan segera kepada orang awam yang memerlukan. Memastikan bantuan penting boleh sampai ke kemudahan perubatan adalah kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tegasnya.

Perang yang semakin memuncak itu menyaksikan tentera darat Israel terus mara memerangi Hamas jauh di dalam bandar terbesar Gaza dan sekali gus akan meningkatkan angka korban.

Para pemimpin Israel meramalkan pihaknya akan mengawal keselamatan wilayah itu selepas perang.

Encik Netanyahu menyatakan Israel akan mengawal keselamatan Gaza untuk “tempoh yang tidak ditentukan” – tanda pengakhiran perang yang tidak pasti, berpanjangan dan penuh kesukaran.

Namun, jurucakap Hamas, Encik Ghazi Hamad, yang bercakap dari Beirut menafikan bahawa tentera Israel mencapai kemajuan besar atau mara jauh ke Bandar Gaza. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >