Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera Israel tempur lebih sengit jauh ke dalam Rafah

May 23, 2024 | 1:59 PM
Palestin
Para penduduk Palestin berlindung di bangunan yang telah musnah akibat dibom tentera Israel yang kini menggempur semakin jauh ke dalam kawasan Rafah. - Foto REUTERS

RAFAH: Kereta-kereta kebal Israel memasuki pinggir daerah yang sesak di tengah-tengah Rafah pada 22 Mei dalam salah satu pengeboman paling sengit di bandar selatan Gaza sejak Israel melancarkan serangannya di sana pada Mei.

Serangan Israel ke atas Rafah telah menyebabkan ratusan ribu orang melarikan diri ke tempat perlindungan.

Ia juga telah memutuskan laluan akses utama untuk bantuan ke Gaza, menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap masalah kebuluran teruk di wilayah Palestin itu.

Israel berkata ia tidak mempunyai pilihan selain menyerang bandar itu bagi menumpaskan batalion terakhir kumpulan Hamas yang dipercayai berlindung di sana.

Penduduk dan anggota Hamas berkata kereta-kereta kebal Israel telah mengambil kedudukan lebih jauh ke barat berbanding sebelum ini di sepanjang sempadan selatan Gaza dengan Mesir.

Tentera Israel kini ditempatkan di pinggir kejiranan Yibna di tengah Rafah.

Mereka belum lagi memasuki daerah itu kerana pertempuran sengit yang berlaku.

Sayap bersenjata Hamas berkata ia telah menyerang dua pengangkut tentera berperisai Israel di kawasan sempadan dengan roket antikereta kebal.

Penduduk Palestin berkata dron Israel melepaskan tembakan ke pinggir bandar Yibna dan telah melepaskan tembakan semalaman ke atas bot nelayan di pantai Rafah menyebabkan beberapa bot terbakar.

“Serangan Israel tidak henti-henti sepanjang malam, daripada dron, helikopter, pesawat pejuang dan kereta kebal,” kata seorang penduduk Rafah yang enggan namanya disebutkan.

Tiada berita segera daripada tentera Israel mengenai serangan ke atas Rafah.

Tentera Israel mendakwa ia telah membunuh beberapa militan dalam operasi besar-besaran yang disasarkan di Khan Younis, di utara Rafah, dan di utara Gaza.

Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Gaza, menganggarkan setakat 20 Mei, lebih 800,000 orang telah melarikan diri dari Rafah sejak Israel mula menyasarkan bandar yang menjadi tempat perlindungan lebih sejuta rakyat Palestin itu pada awal Mei.

Israel berbuat demikian di sebalik terdapat rayuan antarabangsa termasuk sekutu utamanya, Amerika Syarikat, supaya menahan diri.

Israel melancarkan serangannya ke atas Gaza berikutan serangan mengejut Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan menawan lebih 250 tebusan.

Sejak itu, serangan Israel telah membunuh lebih 35,000 orang, dengan ribuan lagi dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan, kata pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Tentera Israel berkata ia telah membunuh, Encik Ahmed Yasser Alkara, yang disifatkan sebagai orang kanan Hamas, bersama dua anggota militan lain, dalam serangan di Khan Younis.

Di bandar Zawayda di tengah Gaza, serangan udara Israel membunuh tujuh orang dalam sebuah rumah, kata pegawai perubatan.

Serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kem Al-Nuseirat di tengah Gaza membunuh lapan rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, kata pakar perubatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg