BAITULMAKDIS: Israel berkata pada 29 September, ia sedang melakukan siri serangan udara baru yang membedil “berpuluh-puluh” sasaran Hezbollah di Lebanon, selepas membunuh ketua kumpulan mereka, Encik Hassan Nasrallah.
Pembunuhan ketua mereka pada 27 September, memberi tamparan hebat kepada Hezbollah, yang berada di bawah pimpinannya selama beberapa dekad.
Pembunuhan Encik Nasrallah menandakan peningkatan mendadak dalam pertempuran rentas sempadan antara Hezbollah dan Israel yang telah berpanjangan hampir setahun, dan berisiko mengheret seluruh wilayah itu ke dalam peperangan yang lebih luas.
Israel terus membedil Lebanon pada 29 September, dengan tentera mereka berkata ia telah “menyerang berpuluh-puluh sasaran pengganas di wilayah Lebanon sejak beberapa jam lalu”.
Mereka mendakwa serangan itu menyasarkan “bangunan di mana senjata dan struktur ketenteraan organisasi disimpan”.
Tentera Israel menambah bahwa mereka telah menyerang ratusan sasaran Hezbollah di seluruh Lebanon sejak 28 September, dalam usaha untuk melumpuhkan operasi dan infrastruktur ketenteraan kumpulan itu.
Hezbollah memulakan serangan rentas sempadan berintensiti rendah ke atas tentera Israel sehari selepas sekutunya di Gaza, Hamas, melancarkan serangan ke atas Israel, pada 7 Oktober 2023.
Israel bertindak balas dengan menyerang Palestine, memulakan konflik yang berlarutan sehingga hari ini.
Selepas kematian Encik Nasrallah, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu berkata, Israel telah “membalas tindakan” pembunuhan warga Israel dan rakyat negara lain, termasuk Amerika.
Jurucakap tentera Israel, Encik Daniel Hagari berkata: “Penyingkirannya menjadikan dunia lebih selamat.”
Naib Presiden Pertama Iran, Encik Mohammad Reza Aref pula, mengecam “pertumpahan darah yang tidak adil”, dan memberi ancaman bahawa pembunuhan Encik Nasrallah akan membawa kepada “kemusnahan” Israel.
Hamas menyifatkan pembunuhan Encik Nasrallah, sebagai “tindakan pengganasan yang pengecut”.
Lebanon, Iraq, Iran dan Syria, semuanya mengisytiharkan perkabungan awam.
Sementara itu, kumpulan Houthi, Yaman, berkata mereka melepaskan peluru berpandu ke lapangan terbang Ben Gurion, Israel, pada 28 September, dengan harapan ia terkena sewaktu perjalanan pulang Encik Netanyahu ke Israel.
Presiden AS, Encik Joe Biden, yang pemerintahnya merupakan pembekal senjata utama Israel, berkata, pembunuhan itu adalah satu “langkah yang adil”.
Iran mengajak supaya mesyuarat tergempar diadakan di Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai protes terhadap pembunuhan Encik Nasrallah.
Dalam sepucuk surat, utusan PBB Iran, Encik Amir Saeid Iravani, menyeru Majlis Keselamatan untuk “mengambil tindakan segera dan tegas untuk menghentikan pencerobohan berterusan Israel” dan menghalangnya “daripada mengheret rantau itu ke dalam perang besar-besaran”.
Penganalisis memberitahu AFP bahawa pembunuhan Encik Nasrallah memberi tekanan kepada Hezbollah untuk membuat tindak balas.
Encik Netanyahu berikrar untuk terus berjuang sehingga sempadan dengan Lebanon terjamin. “Israel mempunyai hak untuk menghapuskan ancaman ini dan mengembalikan rakyat kita ke rumah mereka (dengan selamat),” katanya.
Diplomat berkata usaha untuk menamatkan perang di Gaza adalah kunci untuk menghentikan pertempuran di Lebanon dan mengeluarkan wilayah itu dari ketegangan berterusan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg