BAITULMAKDIS: Tentera Israel mengumumkan pada 28 September, bahawa ketua Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, terbunuh dalam serangan udara yang dijalankannya di Beirut pada malam sebelumnya.
Hezbollah, dalam kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam selepas pengumuman Israel itu, mengesahkan ketuanya telah meninggal dunia.
Dua jurucakap tentera Israel, secara berasingan mengumumkan menerusi akaun media sosial X mengenai kematian Encik Nasrallah.
Salah seorang daripada mereka, Kapten David Avraham, memberitahu agensi berita AFP bahawa ketua Hezbollah telah “dihapuskan” berikutan serangan pada 27 September di ibu negara Lebanon itu.
Tentera Israel turut mengumumkan di X, bahawa ia telah menamakan operasi untuk membunuh Encik Nasrallah dengan nama kod ‘Pemerintahan Baru’ atau ‘New Order’.
Menurut satu kenyataan tentera Israel, serangan itu turut membunuh sebilangan komander Hezbollah yang lain dan juga membunuh Encik Ali Karake, yang didakwa dalam kenyataan itu sebagai komander Hezbollah di selatan kawasan yang dikuasai kumpulan tersebut.
“Serangan itu dilakukan semasa rangkaian ketua kanan kumpulan Hezbollah beroperasi dari ibu pejabat mereka dan sedang melakukan aktiviti pengganasan terhadap rakyat Israel,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyatakan semasa pemerintahan Encik Nasrallah selama 32 tahun sebagai setiausaha agung Hezbollah, beliau bertanggungjawab atas pembunuhan ramai orang awam serta tentera Israel; dan terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan beribu-ribu kegiatan pengganasan.
“Beliau bertanggungjawab memberi arahan dan melaksanakan serangan pengganasan di seluruh dunia di mana orang awam dari pelbagai bangsa dibunuh. Nasrallah adalah pemimpin yang membuat keputusan utama dan pemimpin strategik organisasi itu,” dakwa kenyataan itu.
Ketua tentera Israel berikrar pada 28 September untuk “mencari” sesiapa sahaja yang mengancam warga Israel.
“Mesejnya mudah, sesiapa sahaja yang mengancam warga Israel, kami tahu cara untuk mencari mereka,” kata Leftenan Jeneral Herzi Halevi, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata serangan yang berjaya membunuh Encik Nasrallah telah mengambil masa yang panjang untuk dilaksana.
“Serangan ini telah mengambil masa yang lama untuk dilaksana dan dijalankan pada masa yang tepat dengan kadar ketepatan yang tinggi. Kini kami bergerak ke hadapan dengan persediaan rapi untuk langkah seterusnya,” katanya.
“Yang penting, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kami bersedia sepenuhnya di mana-mana. Semua pasukan, termasuk penyelarasan dengan organisasi lain, perlu memastikan kesepaduan dan kesediaan yang terbaik.”
Dalam kenyataannya, Hezbollah berkata:
“Kepimpinan Hezbollah berikrar... untuk teruskan jihad dan bersemuka dengan musuh (Israel), menyokong Gaza dan Palestin dan mempertahankan Lebanon dan rakyatnya yang teguh dan terhormat.”
Hezbollah mula membedil Israel sehari selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober yang mencetus serangan balas dari Israel dan perang di Gaza yang berlarutan sehingga hari ini.
Lebih 1,000 warga Israel terkorban dengan sekitar 250 lagi diculik sebagai tebusan. Seramai 41,000 rakyat Palestin telah terkorban buat masa ini.
Israel sejak beberapa hari lalu telah mengalihkan tumpuan operasi ketenteraannya dari Gaza ke Lebanon, di mana pengeboman bertubi-tubi telah membunuh lebih 700 orang dan menyebabkan sekitar 118,000 orang awam kehilangan tempat tinggal. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg