Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sejarah panjang konflik Israel-Hezbollah

Oct 7, 2024 | 5:30 AM
Pasukan penyelamat menggali runtuhan bangunan, sehari selepas ia berhadapan serangan Israel, di perkampungan Ain El Delb di selatan Lebanon pada 30 September 2024.
Pasukan penyelamat menggali runtuhan bangunan, sehari selepas ia berhadapan serangan Israel, di perkampungan Ain El Delb di selatan Lebanon pada 30 September 2024. - Foto AFP

BEIRUT: Peningkatan ketara dalam peperangan sempadan antara kumpulan Hezbollah yang disokong Iran dengan Israel menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan serangan darat baru oleh Israel di Lebanon.

Berikut rentetan episod dalam konflik selama beberapa dekad di sepanjang sempadan Lebanon-Israel.

Sejarah Ringkas:

1948
Lebanon, bersama negara Arab lain, menentang pembentukan negara Israel yang baru diwujudkan pada 1948. Ketika itu, perang Arab-Israel berlaku, menyebabkan sekitar 100,000 rakyat Palestin melarikan diri atau diusir dari tanah air mereka di Palestin, yang sebelum ini dikuasai British.

Mereka tiba di Lebanon sebagai pelarian, menyebabkan krisis kemanusiaan yang berlarutan. Dalam usaha mengurangkan konflik, Lebanon dan Israel akhirnya mencapai persetujuan untuk gencatan senjata pada 1949. Gencatan senjata itu mengukuhkan sempadan antara kedua-dua negara, namun ketegangan tetap wujud.

1968
Komando Israel melancarkan serangan ke atas lapangan terbang Beirut, memusnahkan beberapa pesawat penumpang sebagai tindak balas susulan serangan gerila Palestin terhadap pesawat Israel.

Kejadian itu memperlihatkan peningkatan konflik antara Israel dengan kelompok Palestin yang berpangkalan di Lebanon.

Pada 1970, dua tahun selepas kejadian itu, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) berpindah ke Lebanon selepas diusir dari Jordan.

Kehadiran PLO di Lebanon membawa kepada ketegangan sempadan yang lebih serius menambah kepada konflik sedia ada antara Israel dengan kumpulan Palestin di wilayah tersebut.

1973
Tentera khas Israel yang menyamar telah membunuh tiga pemimpin gerila Palestin di Beirut sebagai tindak balas terhadap pembunuhan atlet Israel di Sukan Olimpik Munich 1972.

Kejadian itu mencetuskan peningkatan serangan gerila Palestin ke dalam Israel, diikuti oleh tindak balas Israel yang menyasar lokasi di Lebanon.

Sepanjang era 1970-an, ketegangan itu semakin meningkat, menyebabkan ramai rakyat Lebanon melarikan diri dari bahagian selatan negara mereka. Keadaan itu bukan sahaja memperburuk situasi keselamatan malah menambah ketegangan sektarian yang sudah sedia ada di negara itu.

1978
Israel menceroboh selatan Lebanon dan menubuhkan zon pendudukan yang sempit sebagai tindak balas kepada serangan militan berhampiran Tel Aviv.

Dalam operasi itu, Israel jmemberikan sokongan kepada militia Kristian tempatan yang dikenali sebagai Tentera Lebanon Selatan (SLA).

Keputusan itu bertujuan menguatkan kedudukan Israel di kawasan tersebut dan mengawal ancaman daripada gerila Palestin yang beroperasi di sempadan.

Pendudukan itu mencetuskan pelbagai ketegangan dalam kalangan penduduk setempat serta tambah merumitkan konflik yang sudah berlarutan.

1982
Israel melancarkan serangan ke atas Lebanon, termasuk Beirut, sebagai tindak balas kepada serangan balas di sempadan.

Ribuan anggota kumpulan Palestin diselamatkan melalui laut selepas pengepungan berdarah yang berlangsung selama 10 minggu di ibu kota Lebanon. Ia menyaksikan serangan sengit oleh Israel ke atas Beirut Barat.

Dalam kem pelarian Palestin di Sabra dan Shatila, ratusan orang awam dibunuh setelah pembunuhan presiden Maronite Katolik yang baru dipilih di Lebanon akibat serangan bom kereta. Kejadian itu menambah lagi kesengsaraan yang dialami oleh penduduk di kawasan tersebut dan menyebabkan suasana menjadi lebih tegang di seluruh Lebanon..

1985
Israel menarik diri dari Lebanon pada tengah pada 1983 tetapi masih mengekalkan kehadiran pasukan di selatan negara tersebut.

Dalam usaha itu, Israel menubuhkan zon pendudukan formal di selatan Lebanon, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari sempadan, dan mengawal kawasan tersebut dengan bantuan sekutunya, Tentera Lebanon Selatan (SLA).

Dalam situasi itu, Hezbollah melancarkan perang gerila untuk melawan pasukan Israel, menandakan peningkatan ketegangan dan konflik di kawasan tersebut.

Tindakan Hezbollah bertujuan untuk menghalang kehadiran tentera Israel dan menuntut kedaulatan Lebanon.

1993

Israel melancarkan, ‘Operasi Kebertanggungjawapan’ pada Julai, yang merupakan serangan selama seminggu oleh pasukannya terhadap Lebanon.

Menurut Israel, tujuan operasi itu adalah untuk menyerang Hezbollah secara langsung, dengan harapan dapat menyukarkan kumpulan tersebut menggunakan selatan Lebanon sebagai pangkalan bagi melancarkan serangan ke atas Israel.

Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha agar Israel tetap selamat dan mengurangkan ancaman daripada Hezbollah, yang dianggap sebagai musuh utama.

Serangan itu membawa kepada peningkatan ketegangan antara kedua-dua pihak dan memberi kesan besar kepada keadaan keselamatan di kawasan tersebut.

1996
Dengan Hezbollah secara rutin melancarkan serangan ke atas pasukan Israel di selatan dan melepaskan roket ke utara Israel, Israel melancarkan, ‘Operasi Grapes of Wrath’, yang berlangsung selama 17 hari.

Operasi itu mengakibatkan lebih 200 kematian di Lebanon, termasuk 102 orang yang terkorban ketika Israel menyerang pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhampiran kampung Qana di selatan Lebanon.

Serangan itu mencetuskan kemarahan antarabangsa dan menimbulkan kritikan terhadap tindakan Israel yang dilihat melanggar undang-undang kemanusiaan.

Operasi itu juga menyebabkan ribuan penduduk Lebanon terpaksa meninggalkan rumah mereka dan menyebabkan keadaan kemanusiaan yang semakin buruk di kawasan konflik.

2000
Israel menarik diri dari selatan Lebanon, selepas serangan berterusan ke atas kedudukan tentera Israel di wilayah Lebanon yang diduduki oleh Hezbollah, mengakhiri pendudukan selama 22 tahun.

2006
Pada Julai, Hezbollah melintasi sempadan ke Israel, menculik dua tentera Israel dan membunuh yang lain, mencetuskan perang selama lima minggu yang melibatkan serangan berat Israel ke atas kedudukan Hezbollah dan prasarana nasional.

Walaupun pasukan darat Israel masuk ke selatan Lebanon, kebanyakan konflik dijalankan melalui serangan udara Israel dan tembakan roket Hezbollah.

Perang itu berakhir tanpa Israel mencapai matlamat ketenteraannya dan Hezbollah mengisytiharkan ia sebagai “kemenangan”.

Sekurang-kurangnya 1,200 orang di Lebanon, kebanyakannya orang awam, dan 158 orang Israel, kebanyakannya tentera, terbunuh.

2024

Pada 23 September, Israel melancarkan, ‘Operasi Anak Panah Utara’ terhadap Hezbollah.

Operasi itu dimulakan kurang seminggu selepas alat komunikasi yang digunakan Hezbollah meletup di seluruh Lebanon dalam satu serangan yang dilaporkan dilakukan oleh Israel.

Kejadian itu merupakan peningkatan peperangan sempadan yang bermula sehari selepas serangan Hamas ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023.

Hezbollah menegaskan serangan mereka ke atas Israel adalah untuk menyokong rakyat Palestin yang sedang diserang di Jaluran Gaza.

Israel pula menyatakan bahawa matlamat ketenteraannya di sempadan utara adalah untuk memastikan penduduk di kawasan tersebut dapat pulang dengan selamat ke rumah mereka.

Serangan udara Israel semakin meningkat, menyasarkan kawasan di selatan Lebanon dan lembah Bekaa, serta lokasi di pinggir selatan Beirut, bahkan mencapai daerah Keserwan yang majoritinya Kristian di utara Beirut untuk pertama kalinya.

Hezbollah membalas dengan melancarkan roket bertalu-talu ke arah Israel. Kekacauan itu mengakibatkan ratusan orang terbunuh dan ribuan cedera di Lebanon, sementara puluhan ribu penduduk terpaksa melarikan diri di selatan ke pelbagai lokasi di seluruh Lebanon.

Ada juga yang mencari perlindungan di Syria, telah berlindung terutamanya di sekolah-sekolah. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg